September 16, 2024

Search
Close this search box.
Overall

JOHOR BAHRU, 12 Jul. – Alumni universiti ini buat pertama kalinya dihimpunkan bersama pemilik Syarikat Hiliran UTM dalam Majlis Stream & Sip: Spin-Off Founders & Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Alumni baru-baru ini.

Majlis yang berlangsung di Dewan Inderaputera, Pulai Spring Resort, Johor Bahru berjaya menghimpunkan kira-kira 100 orang yang terdiri daripada pemilik Syarikat Hiliran UTM, Alumni UTM yang turut melibatkan kehadiran barisan Pihak Pengurusan dan Pegawai Kanan UTM.

Majlis ini memberi impak yang sangat bermakna dengan kehadiran Naib Canselor UTM, Professor Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail yang juga salah seorang pemilik Syarikat Hiliran UTM. Turut hadir, Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (ICC) UTM, Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azurati Ahmad @ Salleh dan Pengarah UTMAlumni, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hisyam Rashidi.

Ucapan
Prof. Datuk Ahmad Fauzi ketika berucap sempena Majlis Stream & Sip: Spin-Off Founders & UTM Alumni

Program ini merupakan program sinergi pertama anjuran ICC UTM dan UTMAlumni dalam usaha untuk meningkatkan aktiviti pengkomersialan inovasi UTM selain meneroka peluang pelaburan antara syarikat hiliran bersama alumni UTM serta membuka peluang jalinan kerjasama antara kedua-duanya bagi penghasilan produk-produk baharu dalam menyokong kemapanan universiti.

Menurut Prof. Datuk Ahmad Fauzi, majlis ini  bakal menjadi titik permulaan program mentorship antara alumni UTM dengan syarikat hiliran universiti dalam berkongsi pengalaman dan penasihatan bagi melebarkan rangkaian perniagaan masing-masing. Alumni UTM juga mampu memberikan idea-idea baharu atau penambahbaikan inovasi sedia ada kepada penyelidik untuk menghasilkan produk-produk yang memenuhi kehendak  pasaran.

Untuk rekod, tahun 2023 menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan di mana UTM telah menjana pendapatan sebanyak RM2.78 juta berbanding RM1.97 juta pada tahun 2022 melalui aktiviti pengkomersialan. Beberapa pemilik Syarikat Hiliran UTM juga telah menunjukkan prestasi yang membanggakan di mana mereka telah memenangi beberapa pertandingan berprestij seperti Dr. Mariani binti Abd. Hamid bagi Anugerah Akademik Negara ke 15 (Kategori Inovasi dan Pengkomersilan Produk bagi produk DERMAGs: Skin Solution melalui Syarikat Biopro Cosmeceutical Sdn Bhd).

Selain itu, bagi Anugerah Malaysia Commercialisation Year (MCY) yang diadakan pada tahun lepas menyaksikan Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Khairi memenangi kategori Anugerah Usahasama Penyelidikan dan Perniagaan berdasarkan pengkomersialan produk dan perkhidmatan melalui syarikat ACTS Smart Solutions Sdn. Bhd., iaitu Structural Dynamic Monitoring for Ageing Offshore Platform. Manakala, Prof. Dr. Siti Hamidah binti Setapar telah memenangi Anugerah Usahawan Penyelidik bagi produk NK Age-Reverse melalui Syarikat SHE Empire Sdn. Bhd. Selain itu, Prof Ir. Ts. Dr. Ahmad ‘Athif Mohd Faudzi, telah menerima hadiah sagu hati dalam kategori Anugerah Inovator Baharu melalui syarikat A2Tech Sdn. Bhd.

Logo
Pelancaran Logo Syarikat Hiliran

Majlis turut meunyaksikan pelancaran logo Syarikat Hiliran UTM, selain pengisian forum “Membina Kerjasama Mampan antara Syarikat Hiliran dan Alumni’ yang melibatkan empat orang panel jemputan, Presiden, Alumni UTM & Pengasas, Khairi Consult Sdn. Bhd., Dato’ Ir. Hj. Mohamad Khairi Ambran; Pengasas, Pure Aims Sdn. Bhd., Ts. ChM. Dr. Faizuan bin Abdullah; Timbalan Pengarah ICC UTM Kuala Lumpur, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Khairi bin Abu Husain; dan Pengarah Urusan, Malayan Local Product Sdn. Bhd. & Malayan Digital Tech Sdn. Bhd., Cik Syakirah Ismail.

Forum
Sesi forum yang bertajuk “Membina Kerjasama Mampan antara Syarikat Hiliran dan Alumni”.

Explore More