Disember 19, 2024

MBNC Jun Featured

UTM komited wujudkan ekosistem terbaik lahirkan bakat berprestasi tinggi

JOHOR BAHRU, 25 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sentiasa komited dalam melahirkan bakat bagi memenuhi keperluan kapasiti pembangunan negara dalam mengejar kemajuan digitalisasi era ini.

Atas tuntutan sebagai gedung ilmu sektor pendidikan tinggi negara yang bertanggungjawab membangun bakat intelektual dan berprestasi tinggi, UTM telah menggerakkan pelbagai strategi dan inisiatif yang kini sudah mula dapat dilihat hasilnya.

Bakat Berprestasi Tinggi Penjana Ekosistem Mampan Universiti

Dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2024, warga UTM telah mencapai pelbagai kejayaan signifikan. Antaranya termasuk pelancaran Fakulti Kecerdasan Buatan yang pertama di Malaysia dan Konsortium Kecerdasan Buatan Malaysia (MAIC) yang telah pun direalisasikan pada 10 Mei yang lalu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Mandat yang diberikan oleh negara dalam menerajui pembangunan bakat dalam bidang kecerdasan buatan ini menjadi refleksi kepada kemampuan UTM memenuhi keperluan ke arah aspirasi ini.

Menurut Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, UTM mencatatkan kadar Kebolehpasaran Graduan (GE) yang mencapai 100% bagi 2023 selain mengungguli kategori pendapatan premium serta berkemahiran tinggi dalam kalangan universiti awam di Malaysia.

Keunggulan institusi ini juga terserlah melalui peningkatan penarafan global seperti THE Asia University Rankings 2024 pada kedudukan 85 dan QS World University Rankings 2025 pada kedudukan 181. QS World University Rankings by Subject 2024 turut mengiktiraf beberapa kursus yang ditawarkan oleh UTM sebagai antara yang terbaik di dunia (Top 100).

“Pencapaian ini mencerminkan ekosistem kukuh di UTM dalam melaksanakan teras aktiviti utama universiti, iaitu pengajaran, penyelidikan, dan khidmat komuniti. UTM terbukti mampu melahirkan graduan berprestasi tinggi, seiring dengan keperluan pembangunan negara, khususnya dalam menghadapi arus perubahan teknologi yang pesat” 

Pemantapan Tatakelola Tingkatkan Kualiti dan Integriti Universiti

Dalam masa yang sama, bagi memperkukuh usaha pemantapan tatakelola, UTM telah mewujudkan Indeks Governan yang berfungsi sebagai penanda aras tadbir urus dalam membantu Universiti membuat “health check” terhadap tatakelola PTJ dalam tempoh setiap tiga tahun.

“UTM juga dalam usaha untuk memperkasakan fungsi dan peranan Unit Audit Dalam dalam memastikan semak imbang, ketelusan dan akauntabiliti dalam sebarang pembuatan keputusan.

“Tatakelola yang berkesan akan mendorong kepada pencapaian Universiti berdasarkan by design dan bukannya by chance

Sementara itu, Majlis Bersama Naib Canselor (MBNC) edisi Jun kali ini turut menyaksikan buat julung kalinya upacara lafaz ikrar ISES (Integrity, Synergy, Excellence, Sustainability) oleh seramai 52 orang staf UTM yang menerima kenaikan pangkat antara Januari sehingga Jun 2024. Lafaz ikrar telah dipimpin oleh Encik Mohd Afizan Alang, Arkitek Landskap dari Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan).

MBNC Ikrar ISES
Upacara lafaz ikrar ISES oleh seramai 52 orang staf UTM yang menerima kenaikan pangkat.

Di samping itu, komitmen dan kredibiliti universiti ini terus diperkukuh dengan beberapa pencapaian yang turut diterjemahkan melalui pengiktirafan dan pelancaran program pada MBNC kali ini.

Antaranya pelancaran Program Penilaian APEL.A T7 (Penyelidikan) dan APEL.A T8 (Kedoktoran) dan Program APEL.Q (Kelayakan Akademik) di Pusat APEL UTM, pelancaran Platform Sokongan Penyelidikan oleh Perpustakaan UTM, dan Pusat Pemulihan Bencana (DRC) di UTMDigital, UTM Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, turut berlangsung acara penyampaian Dana Geran Endowment UTM-MTDC Signature Program kepada dua syarikat milik mahasiswa UTM, Uninet Technology dan InspireTech Solutions daripada Malaysian Technology Development Corporation (MTDC).

MBNC Geran MTDC
Penyampaian Dana Geran Endowment UTM-MTDC Signature Program kepada dua syarikat pemula milik mahasiswa UTM.

Kedua-dua syarikat ini masing-masing menerima geran bernilai RM 20,000 dan RM 15,000 sebagai daya penujah dan penghargaan atas inisiatif pelajar dalam mewujudkan syarikat pemula (startup) berasaskan teknologi untuk meneroka penemuan baharu yang boleh dimanfaatkan kepada komuniti, industri dan juga negara.

MBNC Printex
Uninet Technology menampilkan produk PrinTEX, perkhidmatan percetakan dokumen secara automatik dan ‘on-demand’.

MBNC edisi kali ini telah dihadiri oleh seramai 3,960 orang staf UTM dari Kampus Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Pagoh. Hadir bersama ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Dr. Rosli Md Illias,  Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad; Pendaftar, Puan Hajah Nor Azizah Ismail dan Ketua Pustakawan, Puan Nor Asikin Mohamad.

Explore More