November 23, 2024

Search
Close this search box.
Logo OSHE UTM

Peranan OSHE UTM pastikan Tiga S dipatuhi

JOHOR BAHRU, 24 April –  Peranan Pejabat Keselamatan, Kesihatan Pekerjaan Sekitaran (OSHE) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) adalah memastikan tiga elemen ’S’ dipatuhi dengan sepenuhnya bagi menghasilkan persekitaran kerja yang kondusif dan selamat.

gambar kesihatan pekerjaan
Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) adalah langkah yang perlu dilihat dengan serius bagi membolehkan golongan pekerja di Malaysia lebih selamat di tempat kerja (gambar hiasan)

Timbalan Pengarah Pejabat OSHE UTM, Prof. Madya Dr. Saidin Misnan berkata peranan pejabatnya adalah untuk memastikan tiga perkara utama iaitu Selamat, Sihat dan Sejahtera (Tiga S) dipatuhi dengan sepenuhnya bagi menghasilkan persekitaran kerja yang selamat.

”Ketiga-tiga akronim S ini berkait rapat dengan bahaya di tempat kerja dan ini menjadi keutamaan kami dalam menjalankan peranan yang diberikan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu diwawancara oleh Pejabat Pelestarian Kampus (UTMCS) di pejabatnya sempena Hari OSH Sedunia 2024.

Dalam wawancara berkenaan, Dr. Saidin menjelaskan bahawa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan atau OSH merujuk kepada usaha dan sistem yang dilaksanakan untuk memastikan tempat kerja adalah persekitaran yang selamat dan sihat untuk pekerja.

”Selain memastikan persekitaran tempat kerja yang selamat, OSH juga meliputi langkah-langkah untuk mengenal pasti dan mengurangkan bahaya, melaksanakan langkah keselamatan dan menyediakan pendidikan dan latihan untuk menggalakkan kesejahteraan pekerja,” katanya lagi.

Mengulas lanjut berkenaan dengan OSHE UTM, Dr. Saidin berkata bahagian ini dibahagikan kepada tiga bahagian yang utama iaitu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Alam Sekitar dan juga Radiasi.

pejabat OSHE JB
Pejabat OSHE UTM Johor Bahru.

Unit Keselamatan Kesihatan Pekerjaan menjalankan fungsi-fungsi seperti menjalankan audit dan pemeriksaan tempat kerja, bangunan dan kemudahan di Universiti.

”Unit ini juga merancang dan melaksanakan program dan aktiviti yang berkaitan dengan tempat kerja yang selamat dan sihat untuk komuniti kampus dan orang ramai.

”Kami juga melalui unit ini menyiasat aduan yang berkaitan dengan kemalangan, penyakit yang diakibatkan oleh pekerjaan dan keracunan di samping melakukan pemantauan bahaya kesihatan di tempat kerja yang terhasil daripada aktiviti kerja,” katanya.

Dr. Saidin berkata unit ini juga diberikan mandat untuk memantau aktiviti kerja yang dijalankan oleh kontraktor dari segi aspek keselamatan.

Seksyen Alam Sekitar (SAS) pula berperanan dalam membuat penasihatan, promosi, pemeriksaan, pemantauan dan penyiasatan terhadap perkara yang melibatkan alam sekitar hasil daripada aktiviti pekerjaan di UTM Kampus Johor Bahru dan Pagoh.

”Antara tugas yang dilaksanakan oleh Unit Alam Sekitar adalah menjalankan pemantauan terhadap air sungai dan juga kumbahan dalam kampus UTM,” katanya.

Unit Radiasi pula berfungsi memastikan pematuhan kepada penggunaan sinar radiasi adalah mematuhi Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) yang mana membataskan penggunaan dan aktiviti sinaran mengion di UTM adalah hanya melibatkan aktiviti pengajaran dan penyelidikan sahaja.

Explore More