KOTA BELUD, SABAH, 6 Mei– Sayembara Santapan Rohani dan Insaniah merupakan salah satu program yang dilaksanakan didalam Kembara Razak Ke Desa (KERAKED) yang berkonsepkan pertandingan islamik yang dianjuran Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Kolej Tun Razak (KTR), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Pusat Islam UTM. Sayembara ini dilaksanakan di Masjid Al-Hadari, Kampung Menunggui dengan penglibatan 3 buah kampung iaitu Kampung Menunggui, Kampung Sembirai dan Kampung Lebak Engad di Mukim Kota Belud, Sabah.
Sayembara Santapan Rohani dan Insaniah mempertandingkan 4 pertandingan iaitu pertandingan bercerita sirah nabi, pertandingan melaungkan azan, pertandingan mewarna keamanan: Palestin Merdeka dan Kuiz Islamik. Keempat-empat pertandingan ini terbuka kepada anak-anak dari Kampung Menunggui, Kampung Sembirai dan Kampung Lebak Engad yang berusia 6 tahun hingga 17 tahun di Mukim Kota Belud.
Sayembara ini bertujuan untuk mengasah bakat kanak-kanak mukim Kota Belud dalam melaungkan azan dan penyampaian berkisahkan sirah nabi-nabi dalam islam, menambah pengetahuan umum kanak-kanak mukim Kota Belud tentang agama Islam. Selain itu, Sayembara Santapan Rohani dan Insaniah juga dapat membentuk peribadi dan akhlak mulia kanak-kanak. Sayembara Santapan Rohani dan Insaniah ini juga diadakan untuk meningkatkan pengelibatan mahasiswa UTM dalam penganjuran program yang berteraskan kerohanian.
Seramai 10 orang pemenang bagi setiap kategori. Menurut Ketua Kampung Menunggui, Taip@Mohd Taip bin Sidum menyatakan program Sayembara Santapan Rohani Dan Insaniah sebegini sewajarnya dianjurkan lagi supaya dapat menarik minat anak-anak muda memeriahkan masjid.