Mei 7, 2024

Search
Close this search box.
WhatsApp Image at PM

Sinergi Kolej Tun Fatimah dan ADABI merewang sediakan juadah berbuka puasa

JOHOR BAHRU, 29 Mac – Kolej Tun Fatimah (KTF), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan program Taste of Blessing (Iftar Perdana) sempena bulan Ramadan yang mulia ini. Program ini merupakan program kemuncak anjuran Jawatankuasa Mahasiswa (JKM) KTF dan merupakan salah satu T dalam program Hubbun Ramadhan 2024: 5T.  Penyediaan dan pengagihan iftar perdana ini telah mendapat kerjasama Produk Optima Sdn. Bhd, Adabi Consumers Industries Sdn. Bhd. Program ini bermula seawal 9 pagi dengan kedatangan krew Adabi seramai 20 orang beserta sukarelawan UTM seramai 45 orang, dan juga barisan Majlis Felow KTF bagi membantu penyediaan juadah berbuka puasa. Program rewang ini telah menyediakan juadah berbuka puasa sebanyak 300 pek juadah nasi putih beserta ayam masak kurma bersama ulam-ulaman kepada semua warga KTF. Dalam pada itu, program ini  mengekalkan tradisi iftar iaitu juadah yang disediakan di dalam talam bagi merapatkan silaturrahim antara warganya. Selain itu, melalui kaedah makan bertalam ini juga mampu mempercepatkan proses pembersihan.

IMG
Aktiviti Merewang bagi Penyediaan Juadah berbuka puasa
WhatsApp Image at PM ()
Krew ADABI bersama sukarelawan menyediakan Juadah berbuka puasa

Acara kemuncak berlangsung pada pukul 6 petang dengan majlis perasmian penutup bagi program Hubbun Ramadan 2024:5T. Majlis ini telah disempurnakan lagi dengan kehadiran tetamu-tetamu kehormat iaitu Encik Arman Md Yasin selaku wakil rasmi Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Puan Norhafizah Mohd Hanapiah, Timbalan Pendaftar Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Encik Hazmi Ithnin wakil rasmi Produk Optima Sdn. Bhd., Puan Nur Azira Tuan Man, Pegawai Jualan Produk Optima Sdn. Bhd. dan Pengetua Kolej Tun Fatimah, Dr. Noor Mala Ibrahim.

IMG
Majlis Perasmian Penutup

Program ini diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada penaja utama ADABI, penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan Tilawah Al-Quran peringkat Kolej iaitu Farah Nur Ain dari Kolej Tun Dr Ismail (KTDI) yang mendapat tempat pertama, diikuti Fildza Arifa dari Kolej Rahman Putra (KRP) di tempat kedua dan tempat ketiga dirangkul oleh penghuni KTF iaitu Nurun Nazifah. Para pemenang telah membawa pulang wang tunai tajaan Pusat Islam, UTM beserta sijil penyertaan dan cenderahati. Seterusnya, penyampaian insentif kepada 14 Imam dan Bilal solat Terawih yang sebahagiannya dijemput khas dari pelajar 5ETP Tekno Hafiz, UTM. Program seterusnya diserikan lagi dengan penyampaian duit raya, sijil penghargaan serta sumbangan barangan mentah tajaan Syarikat Faiza Sdn Bhd dan juga ADABI Consumer Industries Sdn. Bhd. kepada pelajar-pelajar tahfiz Madrasah al Quran Nur Al Hikmah yang turut hadir bagi mengetuai Majlis Khatam Al-Quran.

IMG
Pemberian Duit Raya kepada Pelajar Tahfiz Madrasah al Quran Nur Al Hikmah
IMG
Majlis Khatam Al-Quran

Pelaksanaan program rewang ini turut memberi peluang kepada pelajar dan kakitangan merasai pengalaman merewang dan menyediakan juadah dalam kuantiti yang besar dalam masa yang singkat. Melalui program ini, nilai tambah diberikan kepada pelajar dalam melahirkan individu yang holistik, seimbang, dan berdaya saing, selain itu dapat memberi pendedahan kepada pelajar dalam menguruskan program-program seperti tanggungjawab sosial korporat dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan komuniti kolej.

WhatsApp Image at AM ()
Sebahagian Barisan Imam, Bilal dan Sukarelawan Lelaki Menikmati Juadah Berbuka Puasa secara Bertalam

 

WhatsApp Image at AM ()
Warga KTF Menikmatai Juadah Berbuka Puasa secara Bertalam

Sepanjang bulan Ramadan ini, KTF juga menganjurkan pelbagai aktiviti bagi mengimarahkan bulan yang mulia ini dengan penganjuran 5T yang merangkumi Iftar Perdana bersama ADABI (Taste of Blessing); Solat Tarawih dan moreh; Tadarus Al-Quran; Sentuhan Pemberian (Touch of Giving); dan Pertandingan Tilawah Al-Quran yang telah memberi peluang masyarakat warga kampus dan masyarakat setempat untuk turut sama menyertainya.

 

Explore More