Mei 11, 2024

Search
Close this search box.
Featured Image KPustakawan

JOHOR BAHRU, 10 MacPerpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mengekalkan komitmen untuk menjadi pusat ilmu pengetahuan yang utama dengan menggabungkan pengurusan perpustakaan masa kini dan mengadaptasi teknologi terkini, khususnya kecerdasan buatan (AI).

Ketua Pustakawan UTM iaitu Puan Nor Asikin Mohamad, menegaskan bahawa walaupun perpustakaan berusaha untuk memanfaatkan kemajuan teknologi seperti AI, mereka juga tidak mengabaikan aspek pengurusan maklumat lain yang penting seperti langganan pangkalan data, pembangunan dan pemerkasaan koleksi cetak dan digital bagi menyokong pembelajaran, pengajaran dan penyelidikan di universiti.

Dalam mengimbangi kemajuan teknologi dalam pengurusan perpustakaan, beberapa cabaran yang perlu dihadapi oleh Perpustakaan UTM, antaranya adalah peningkatan kos langganan pangkalan data yang dipengaruhi oleh faktor pertukaran mata wang asing dan penurunan mata wang Ringgit Malaysia yang memberi kesan kepada peruntukan tahunan perpustakaan.

Walau bagaimanapun, peruntukan yang diberikan oleh pihak Universiti masih menjadikan UTM antara UA yang menerima peruntukan memberangsangkan di negara ini bagi memastikan langganan pangkalan data dikekalkan dan membolehkan warga UTM mengakses sumber maklumat ilmiah digital secara berterusan.

Selain itu, pihak perpustakaan juga aktif dalam memperluas koleksi e-buku (e-book) yang relevan dengan keperluan silibus fakulti. Langkah-langkah telah diambil untuk memantau penggunaan setiap langganan dan melakukan perundingan dengan pihak pembekal pangkalan data untuk meningkatkan penjimatan dan keberkesanan kos langganan.

Puan Nor Asikin yang juga merupakan pengerusi MOLEC (Malaysian Online E-Resources Consortium) dan Ahli Jawatankuasa Konsortium Sumber Elektronik Pendidikan Tinggi (KONSEPt) berkata “Sekiranya perundingan tidak berlaku, harga langganan pangkalan data boleh mencecah kenaikan sebanyak 10% hingga 15% setahun. Sebaliknya menerusi perundingan oleh KONSEPt, penjimatan melalui penurunan kadar kenaikan kos langganan tahunan (2%) dan penawaran pakej langganan fleksibel kepada UA telah dilaksanakan.”

Bergerak seiring kerancakan teknologi AI

Pihak Perpustakaan UTM sedar wujudnya peningkatan ke arah penerimaan teknologi kecerdasan buatan dalam kalangan pelajar. Pihak perpustakaan sedar akan potensi besar AI untuk membantu pelajar dalam menghasilkan idea dan karya, namun penting untuk memastikan penggunaan teknologi ini dilakukan dengan etika yang betul. Justeru, pihak Perpustakaan akan menyediakan modul baharu berkaitan penggunaan AI untuk pelajar dan staf dalam usaha untuk memastikan penggunaan teknologi ini adalah beretika dan berhemah.

“Semester baharu nanti menjadi sasaran pihak pihak kami untuk menggunakan modul pertama dalam penggunaan AI. Pustakawan juga sama seperti pelajar yang perlu bergerak seiiring dengan arus pemodenan bersama kemunculan teknologi AI yang kian berkembang pesat kerana Perpustakaan merupakan centre of knowledge, serta pusat yang menyokong semua aktiviti pembelajaran, pengajaran dan penyelidikan di universiti” ujar Puan Nor Asikin.

Perpustakaan UTM juga terlibat dalam inisiatif memperluas dan memperkasa capaian maklumat akses terbuka melalui pembangunan repositori akses terbuka seiring dengan arus transformasi digital negara yang bertujuan untuk membolehkan semua universiti membenarkan akses maklumat dalam talian secara percuma tanpa sekatan. Perpustaaan UTM juga giat menggembleng usaha untuk memperluas capaian maklumat koleksi institusi universiti melalui akses terbuka bagi meningkatkan keterlihatan para akademik atau penyelidik universiti di peringkat global.

“Kita juga telah membangun dan mengurus data penyelidikan atau Research Data Management (RDM) yang merupakan komponen Sains Terbuka atau Open Science, bagi memudahkan perkongsian data penyelidikan. Lima (5) Research University (RU) telah membangunkan platform untuk berkongsi data penyelidikan masing-masing. Menjadi harapan pada masa akan datang, universiti lain juga boleh menggunakan data daripada platform ini sebagai sumber rujukan atau untuk penyelidikan seterusnya. Ini juga merupakan hasrat kerajaan dan ini menunjukkan kita bukan sahaja menyokong pelan universiti bahkan menyokong pelan negara,” tambah beliau.

Pendigitalan Bahan Perpustakaan

Meskipun ada pihak yang berpendapat bahawa semua koleksi fizikal sebaiknya didigitalkan, namun cabaran seperti isu hak cipta tetap menjadi halangan dalam usaha untuk memindahkan koleksi fizikal ke dalam bentuk digital. Selain isu hak cipta, kos menyediakan peralatan mengimbas berteknologi tinggi (high-end scanner) dan kekangan storan penyimpanan digital juga menjadi penghalang untuk memindahkan bentuk koleksi ini. Justeru, Puan Nor Asikin yang berpendapat bahawa naskhah buku fizikal lama lebih elok dikekalkan dalam bentuk sedia ada.

“Buku fizikal ini menunjukkan tamadun bangsa, sedangkan negara maju mengekalkan buku sedia ada walaupun buku tersebut sebagai contoh telah diterbitkan pada tahun 1400. Buku sedemikian dikategorikan sebagai rare books, tetap disimpan dengan baik dalam koleksi perpustakaan berkenaan,” ujar beliau.

Harapan Puan Nor Asikin adalah untuk menjadikan perpustakaan sebagai pusat pemusatan ilmu pengetahuan yang utama dalam era digital ini yang menyokong kepada aktiviti pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan di UTM.

Selain itu, perpustakaan berperanan sebagai pusat pemusakaan koleksi ilmu pengetahuan institusi dalam memertabatkan koleksi khazanah warisan berharga universiti (cetak dan digital) dan mempamerkan kesarjanaan akademik institusi ini di peringkat global.

Dengan pelbagai inisiatif yang dilakukan, Perpustakaan UTM terus berusaha untuk memartabatkan universiti dan memastikan kebitaraan UTM dalam bidang kejuruteraan, teknologi, dan sains.

Puan Nor Asikin Mohamad merupakan Ketua Pustakawan di Perpustakaan UTM. Beliau memulakan kerjaya sebagai Pustakawan bermula 1 April 1994 di Unit Bahan Khas. Beliau memainkan peranan signifikan terutamanya dalam bidang Pembangunan Automasi di Perpustakaan UTM yang membolehkan jabatan berkenaan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna seiring dengan era transformasi digital.

Explore More