November 21, 2024

Search
Close this search box.
Kelulut

UTM muncul UA pertama laksana ladang ternakan kelulut terbesar di Malaysia

JOHOR BAHRU, 25 Feb –  Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mencatat sejarah unik sebagai universiti awam (UA) pertama di Malaysia yang mempunyai ladang ternakan Lebah Kelulut terbesar di negara ini.

Projek yang dikenali sebagai Lembah Kelulut ini mempunyai sebanyak 500 unit sarang kelulut dan diuruskan oleh Jawatankuasa Agrotani UTM yang bernaung di bawah Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) atau JTNCP.

Pengerusi Jawatankuasa Agrotani UTM, Dr. Raja Kamarulzaman Raja Ibrahim berkata matlamat utama projek ini adalah untuk memperkenalkan kaedah penternakan kelulut secara besar-besaran yang lebih lestari.

Kelulut
Dr Raja Kamarulzaman Raja Ibrahim bersama salah satu dari sarang kelulut di bawah kelolaan Jawatankuasa Agrotani UTM yang dipengerusikannya.

”Tujuan kami laksanakan projek ini adalah bagi memperkenalkan kaedah penternakan kelulut tanpa perlu menebang pokok hutan kerana pokok-pokok liar ini mesti ditebang bagi tujuan mendapatkan sarang kelulut.”

”Projek ini juga dikenali sebagai pecah koloni kerana memperkenalkan kaedah penternakan tanpa sarang dan juga pembuatan perangkap untuk lebah kelulut membuat sarang di kawasan perangkap seterusnya menghasilkan madu untuk kegunaan manusia,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu sesi wawancara khas kendalian Pejabat Pelestarian Kampus (UTMCS) di Lembah Kelulut, kampus UTM Johor Bahru baru-baru ini.

Kelulut
Sarang kelulut milik peserta yang terdiri dari staf dan pesara UTM serta juga komuniti sekitar UTM

Menurutnya lagi, projek yang bermula pada tahun 2017 ini juga sehingga kini sudah menerima seramai 45 orang peserta yang terdiri dari pesara, staf UTM dan juga masyarakat yang tinggal di sekeliling kampus yang menyertai program menternak lebah kelulut ini.

”Bagi membolehkan seseorang itu menyertai program ini,  yuran sebanyak RM300.00 setahun perlu dibayar bagi membiayai kos operasi dan juga premium tanah.  Tapak projek adalah terletak di dalam kampus universiti dan pihak pengurusan memungut sewa tapak ini bagi melaksanakan kos penyelenggaraan yang diperlukan.

”Peserta juga dikehendaki untuk mengikuti kursus khas berkaitan dengan penternakan kelulut yang disusun oleh Jawatakuasa Agrotani ini bagi memudahkan mereka mengikuti program ini tanpa sebarang masalah,” katanya lagi.

Menurut Dr Raja Kamarulzaman lagi, peserta yang telah mengikuti program ini kini dikehendaki untuk membimbing peserta baharu yang akan menyertai program ini di masa hadapan.

”Program ini berjalan dengan baik dan ramai dari para peserta sebelum ini telah pun dikurniakan dengan sijil MyGAPS iaitu sijil amalan baik dalam aktiviti tanaman dan penternakan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia.

Kelulut
Sarang kelulut milik peserta yang terdiri dari staf dan pesara UTM serta juga komuniti sekitar UTM yang memilih untuk menyertai program ternakan kelulut anjuran Jawatankuasa Agrotani UTM.

”Antara syarat yang dikenakan adalah tidak boleh ada sebarang aktiviti penternakan di kawasan lembah kelulut ini dan semua peserta dikehendaki untuk buat pemantauan dan juga penyenggaraan di sangkar ternakan masing-masing,” katanya.

Mengulas mengenai cadangan masa hadapan projek ini, Dr Raja Kamarulzaman berkata beliau selaku Pengerusi Agrotani UTM akan berbincang dengan pihak-pihak berkepentingan bagi menjadikan projek ini sebagai penjana kewangan universiti di masa akan datang.

”Projek ini berpotensi untuk dikomersilkan dan dapat menjana kewangan universiti. Madu yang dihasilkan dapat dijual dalam kuantiti yang lebih besar dengan harga yang berpatutan.”

”Komuniti sekitar lebih mudah untuk ke ladang ternakan untuk mendapatkan bekalan madu segar untuk makanan harian mereka.  Jualan madu yang berlogo UTM memang sesuatu yang sukar untuk kita jangkakan tetapi itulah harapan saya,” katanya lagi.

Explore More