KUALA LUMPUR, 25 Jan. – Bengkel Training of Trainers (ToT) merupakan anjuran bersama Disaster Preparedness and Prevention Center (DPPC), Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), TNB Genco dan TNB Research Sdn Bhd. Bengkel ToT juga melibatkan pemegang taruh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Perdana Menteri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam pembangunan modul pembelajaran dan pengajaran pengukuhan daya tahan dan kesiapsiagaan komuniti menghadapi risiko bencana berasaskan empangan.
Ketua Unit Kejuruteraan Awam dan Geoinformatik, TNB Research Sdn Bhd, Ts Dr Rashidi Sabri Muda berkata hampir 40% empangan besar di Malaysia dikategorikan sebagai berisiko dan sebahagiannya berusia lebihi 50 tahun, maka aspek keselamatan empangan dan kesiapsiagaan komuniti yang menetap di hilir empangan sangat dititik beratkan.
Bengkel ToT ini merupakan siri terakhir (Siri 3) selepas Kuala Kangsar, Perak (Siri 1), Kenyir, Terengganu dan Pergau, Kelantan (Siri 2). Bengkel ToT yang berlangsung selama 3 hari bermula 22-24 Januari 2024 yang diadakan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur dan TNB Research Sdn. Bhd. (TNBR) Kajang, Selangor adalah untuk sesi pembelajaran dan pengajaran yang melibatkan komuniti Kg. Gajah, Perak dan komuniti Cameron Highlands, Pahang seramai 24 orang turut dihadiri oleh wakil dari Stesen-Stesen Janakuasa Sungai Perak & Cameron Highlands.
Segala input, idea, cadangan dan maklumat yang diberikan oleh komuniti setempat akan digunapakai semasa sesi latihan simulasi di komuniti Kg. Gajah, Perak dan Cameron Highlands, Pahang pada bulan Mac 2024.
Modul latihan ToT dikendalikan oleh jurulatih-jurulatih profesional untuk setiap lima (5) modul pembelajaran dan pengajaran yang ditawarkan bagi mencapai objektif-objektif program untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman, mewujudkan mekanisme komunikasi risiko, memperkasakan pelbagai pihak pemegang taruh empangan dan memberikan kepimpinan dan pemilikan program.
Modul 1-3 dikendalikan pada hari pertama oleh Dr Khamarrul Azahari Razak, Pengarah DPPC MJIIT-UTM dan Dato’ Zakaria Mohamad, Profesor Adjung UTM; Pengerusi Persatuan Bencana Geologi dan Daya Tahan Komuniti (NGDRC).
Modul 4 dikendalikan pada hari kedua oleh En. Roslan Ab Ghani, Ahli Bersekutu DPPC MJIIT-UTM; Pengerusi Persatuan Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADIM) bersama Ir. Ts. Dr Sumiaty Ambran, Pensyarah Kanan MJIIT-UTM.
Modul terakhir iaitu modul 5 dikendalikan oleh Dr Khamarrul Azahari Razak, Pengarah DPPC MJIIT-UTM sebelum sesi pembentangan kumpulan (Alpha, Bravo, Charlie, Delta) yang dinilai oleh panel dari wakil UTM, NADMA, APM, TNB Genco dan TNB Research Sdn. Bhd.
Pada hari terakhir, para peserta berpeluang mengikuti sesi lawatan teknikal di TNB Research Sdn. Bhd. Antara aktiviti yang dilakukan semasa sesi lawatan adalah melawat sistem solar terapung di atas air, stesen mengecas EV untuk kereta elektrik, pengenalan organisasi TNBR dan pendedahan berkenaan kegunaan algae bagi pengurangan karbon.
Bengkel ToT penting untuk meningkatkan kapasiti tempatan menghadapi bencana dengan lebih baik, memajukan pemahaman setempat tentang risiko bencana dan mengukuhkan tahap daya tahan komuniti berasaskan sains dan teknologi, selaras dengan komitmen nasional terhadap pencapaian sasaran global yang ditetapkan oleh UNDRR Kerangka Sendai dalam Pengurangan Risiko Bencana 2015-2030 (UNDRR Sendai Framework for Disaster Risk Reduction 2015-2030).