Mei 10, 2024

Search
Close this search box.
Para pelajar mendengar ucapan dan penerangan dari Pegawai yang bertugas

Lawatan Patriotik KDSE UTM bersama delegasi cilik SK LKTP PEMANIS 1 ke Galeri Darurat Bukit Kepong

SEGAMAT, 22 Ogos – Sebuah kembara merdeka telah dilaksanakan bermula dari SK LKTP Pemanis 1, Segamat sehingga ke Galeri Bukit Kepong, Muar. Dua buah motosikal polis trafik, satu van Jabatan Penerangan, 10 trak pacuan 4 roda dari Kelab Brother Truckers, tiga buah bas sekolah, sebuah bas UTM dan beberapa kenderaan para guru turut menyertai kembara ini.

Kembara ini disertai oleh sekurang-kurangnya 280 orang peserta yang terdiri daripada delegasi dari Kolej Datin Seri Endon, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), guru-guru dan para pelajar Tahun 4, 5 dan 6 dari SK LKTP Pemanis 1, Segamat, Barisan Majlis Belia Daerah Segamat, Barisan Generasi Kedua (G2) Belia Felda Pemanis dan beberapa Agensi Kerajaan yang terlibat.

Pelepasan kembara bermula jam 8.15 pagi diketuai oleh Polis Trafik sebagai pengiring kembara dan diikuti kenderaan Jabatan Penerangan Daerah Segamat yang memeriahkan suasana dengan dendangan lagu-lagu patriotik sepanjang perjalanan.

Ketibaan kumpulan kembara di Galeri Bukit Kepong disambut oleh pegawai bertugas  dan ahli kembara dipecahkan kepada beberapa kumpulan dengandiketuai oleh pegawai yang memberi penerangan dari satu bahagian ke satu bahagian yang lain. Kembara ini merupakan salah satu inisiatif bersama dalam meningkatkan kesedaran terhadap perjuangan wira-wira negara yang telah menggadaikan nyawa dalam menjaga kesejahteraan negara dan sekali gus membawa kepada kemerdekaan yang dikecapi oleh negara pada hari ini.

Seorang wakil bagi setiap kumpulan telah dipilih untuk membacakan sebuah rangkap sajak yang mampu menaikkan semangat patriotik dalam kalangan ahli kumpulan. Kolej Datin Seri Endon UTM telah diwakili oleh saudara Muhamad Nur Najmi Hazeeq Bin Mohd Nor Kamal telah berjaya memukau dan menyemarakkan semangat patriotik semua ahli kembara dengan lantunan suara yang unik dan penyampaian yang menusuk jiwa terhadap rangkap yang diberikan.

 

Saudara Muhamad Nur Najmi Hazeeq Bin Mohd Nor Kamal mendeklamasi sajak yang terpahat di Galeri Bukit Kepong
Saudara Muhamad Nur Najmi Hazeeq Mohd Nor Kamal mendeklamasi sajak yang terpahat di Galeri Bukit Kepong.

Delegasi juga turut berpeluang menonton klip-klip penting dalam sebuah filem bertajuk Bukit Kepong yang dilakonkan semula dan dihasilkan pada tahun 1981 oleh Allahyarham Tan Sri Datuk Dr. Jins Shamsudin. Sebelum mengakhiri lawatan bersejarah ini, kami telah mengabadikan memori dengan beberapa keping gambar diambil bersama-sama para pegawai dan keseluruhan ahli kembara merdeka yang terlibat. Lawatan bersejarah dan bermakna seperti ini telah memberi kesan terhadap semua peserta khususnya jika ia diterapkan sejak kecil lagi. Objektif kembara ini telahpun tercapai di samping mengeratkan hubungan antara rakan kolaborasi dalam menjayakan salah satu subprogram di dalam Program Semarak Merdeka KDSE 2023: Aspirasi Semarak Cilik 2023.

 

 

 

Delegasi KDSE UTM, Para Guru, Barisan Belia Segamat dan G2 Felda Pemanis
Delegasi KDSE UTM, Para Guru, Barisan Belia Segamat dan G2 Felda Pemanis.

 

Para pelajar mendengar ucapan dan penerangan dari Pegawai yang bertugas

Para pelajar mendengar ucapan dan penerangan dari Pegawai yang bertugas
Para pelajar mendengar ucapan dan penerangan dari Pegawai yang bertugas.

 

Explore More