November 15, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 27  Ogos – Seramai dua orang  Ahli Lembaga Pengarah (LPU) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menerima lantikan baru-baru ini. Pelantikan ini dibuat oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) selaras dengan peruntukan Seksyen 17 Perlembangan UTM.

Lantikan ahli LPU baharu tersebut melibatkan YBhg. Prof. Emiritus Datuk Dr Asma Ismail dan juga YBhg. Datuk Ir. Mohammed Noor Abu Hassan  untuk tempoh tiga tahun bermula 1 Ogos 2023 hingga 31 Julai 2026.

Dr. Asma memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains (BSc) dalam Biologi dari Universiti Nevada, Reno. Beliau kemudiannya menerima Ijazah Sarjana Sains (MSc) dalam Mikrobiologi dari Universiti Indiana, Bloomington dan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dengan pengkhususan dalam biologi sel dan molekul dari Universiti Nevada, Reno.

Selain pencapaian cemerlang dalam bidang akademik, Dr. Asma juga pernah mencatat rekod unik apabila menjadi Naib Canselor wanita pertama Universiti Sains Malaysia (USM) dilantik pada 2016 selain juga muncul sebagai wanita pertama yang dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 2012 selain perlantikan sebagai Ketua Pengarah Pengajian Tinggi pada 2014.

Selain Naib Canselor di Universiti Awam (UA), Dr Asma juga pernah memegang jawatan sebagai Presiden wanita pertama Akademi Sains Malaysia berkhidmat dari 2016 hingga 2019 dan juga Pengerusi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bermula dari 1 Januari 2019 hingga 31 Disember 2021.

Sementara itu, Datuk Ir. Mohammed Noor Abu Hassan pula memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari UTM pada tahun 1993 seterusnya berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) pada tahun 2016.

Seluruh warga universiti mengucapkan syabas atas pelantikan ini. Semoga perlantikan keduanya bakal menyumbang dan membawa UTM ke arah pencapaian organisasi yang lebih cemerlang.

 

Explore More