Ahmad Adam Ismail dinobat penerima Anugerah Pelajaran DiRaja UTM

SDGSDG4SDG8

📝 Ringkasan

Ahmad Adam Ismail Abdul Hafiz, graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Proses Kimia dari Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) sempena Majlis Konvokesyen UTM ke-70. Beliau memperoleh keputusan Kelas Pertama dan pernah menerima Anugerah Naib Canselor.

JOHOR BAHRU, 17 November 2026 – Kejayaan dalam akademik bukan satu-satunya ukuran kecemerlangan seseorang mahasiswa, sebaliknya turut bergantung pada kesediaan meneroka peluang, menggalas tanggungjawab kepimpinan dan ketabahan menghadapi cabaran.

Prinsip itu menjadi sebahagian daripada perjalanan Ahmad Adam Ismail Abdul Hafiz, graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Proses Kimia dari Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) sempena Majlis Konvokesyen UTM ke-70.

Pengiktirafan itu melengkapkan pencapaian akademiknya yang memperoleh keputusan Kelas Pertama, selain pernah menerima Anugerah Naib Canselor.

Lebih daripada pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik, pencapaian tersebut turut memperlihatkan penglibatan aktif beliau dalam kepimpinan mahasiswa, penyelidikan dan aktiviti universiti.

Adam (hadapan, dua dari kanan) selepas menerima beberapa pengiktirafan dalam pertandingan dan program yang disertai sepanjang pengajian di UTM

Berasal dari Kelantan dan merupakan anak bongsu daripada tujuh orang adik-beradik, Adam dibesarkan dalam keluarga yang amat menitikberatkan pendidikan.

Latar belakang keluarganya yang terdiri daripada seorang doktor, tiga jurutera dan tiga akauntan, selain bapanya yang merupakan pemegang diploma UTM, turut menjadi sebahagian daripada persekitaran yang mendorong beliau untuk terus berusaha mencapai kejayaan.

Selepas menamatkan persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Wataniah, Machang dan Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), Klang, beliau melanjutkan pengajian ke Kolej Matrikulasi Kelantan dan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00.

Seterusnya, beliau memilih UTM untuk mengikuti pengajian dalam bidang Kejuruteraan Proses Kimia di MJIIT.

Sepanjang empat tahun pengajian, UTM menjadi ruang penting untuk Adam mengembangkan potensi diri, bukan sahaja dalam bidang kejuruteraan, malah melalui peluang membina kemahiran kepimpinan, penyelidikan dan komunikasi.

Adam bersama peserta program Adventure to Response The Community of Southern Thailand semasa program mobiliti mahasiswa di Thailand

Antara pengalaman yang memberikan kesan besar kepadanya ialah peluang menjalani latihan industri dan penyelidikan di Imperial College London, United Kingdom.

Adam merupakan antara empat pelajar UTM yang terpilih menyertai program berkenaan dengan sokongan serta pembiayaan daripada UTM, MJIIT dan University General Studies (UGS).

Di institusi berkenaan, beliau menjalankan kajian berkaitan tumbuhan Amorphophallus muelleri, iaitu spesies konjac, meskipun bidang pengajian utamanya ialah kejuruteraan kimia.

Penyelidikan itu dilaksanakan dengan bimbingan penyelia Projek Tahun Akhir (FYP), Prof. Madya Ir. Dr. Dayang Norul Fairuz.

Peluang tersebut membolehkan Adam mendapat pendedahan secara langsung kepada penggunaan peralatan penyelidikan berteknologi tinggi yang belum tersedia di Malaysia.

Selain mengembangkan kemahiran teknikal, pengalaman di United Kingdom turut membuka ruang kepada pembentukan jaringan akademik antarabangsa serta memperluas perspektifnya terhadap amalan penyelidikan di luar negara.

Adam bersama peserta program mobiliti mahasiswa semasa menyertai aktiviti kemasyarakatan di Thailand

Selain memberi tumpuan kepada akademik dan penyelidikan, Adam turut aktif dalam kepimpinan mahasiswa.

Pada tahun kedua pengajian, beliau diberi kepercayaan sebagai Presiden Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Kolej Siswajaya (KSJ), sebelum dilantik sebagai Naib Yang Dipertua (NYDP) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTM pada tahun ketiga.

Menerusi penglibatan tersebut, beliau terlibat dalam beberapa program pembangunan mahasiswa, termasuk Adventure to Response The Community of Southern Thailand sebagai pengarah program dan Kem Solidariti (Perpaduan) Pelajar Zon Sarawak.

Beliau turut mewakili UTM dalam The 4th International Student Leaders on Sustainability di Taiwan.

Selain pengalaman kepimpinan dan mobiliti mahasiswa, Adam turut menyertai 3 Minutes International Research and Innovation Competition 2025 (3MRIC) dan berjaya meraih Anugerah Perak (Silver Award).

Penglibatan dalam pelbagai program dan pertandingan ini memberikan ruang kepadanya mengembangkan kemahiran pengurusan organisasi, komunikasi dan penyelidikan.

Adam mewakili UTM dalam The 4th International Student Leaders on Sustainability di Taiwan

Sepanjang menerajui JKM KSJ, Adam turut menyaksikan penglibatan jawatankuasa itu dalam pelbagai inisiatif pembangunan mahasiswa yang menerima beberapa pengiktirafan, termasuk Anugerah Naib Canselor pada 2024.

Pengalaman tersebut menjadi sebahagian daripada perjalanan kepimpinannya di peringkat kolej.

Dalam masa yang sama, komitmen terhadap kepimpinan menuntut Adam mengurus masa dengan teliti bagi memastikan tanggungjawab akademik tidak terjejas.

Baginya, disiplin dan kebijaksanaan menetapkan keutamaan menjadi antara faktor penting untuk mengimbangi kedua-dua komitmen tersebut.

“Perkara pertama yang perlu dikorbankan adalah masa tidur. Namun, jika kita menggunakan setiap jam yang ada secara optimum, termasuk mengurangkan gangguan seperti penggunaan telefon bimbit yang berlebihan, banyak perkara yang boleh diselesaikan. Paling utama, kita perlu menikmati setiap keletihan itu,” jelasnya.

Di sebalik pelbagai pengalaman dan pencapaian tersebut, perjalanan Adam turut disertai cabaran, khususnya ketika melaksanakan FYP.

Penyelidikannya memerlukan beliau menjalankan beberapa siri ujian makmal yang panjang, dengan setiap ujian mengambil masa sehingga lapan jam.

Sepanjang proses itu, data perlu direkodkan setiap 10 minit bagi memastikan ketepatan dan kesinambungan hasil kajian.

Cabaran bertambah apabila sampel penyelidikannya mengalami pencemaran kulat, menyebabkan beberapa siri ujian perlu diulang.

Dengan jumlah ujian berulang antara 20 hingga 30 siri, beliau perlu menyusun semula jadual dan mengurus tenaga bagi memastikan penyelidikan dapat diteruskan.

Namun, pengalaman tersebut mengajarnya supaya tidak mudah berputus asa apabila berdepan hasil yang tidak dijangka.

Sebaliknya, setiap percubaan menjadi ruang untuk menilai semula kaedah dan mencari pendekatan lain.

“Jika Plan A tidak menjadi, kita beralih ke Plan B. Jika tiada Plan B, buat Plan C, teruskan usaha dari A sehingga Z,” katanya.

Usaha tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila penyelidikannya berjaya dibentangkan dalam beberapa persidangan akademik antarabangsa.

Pengalaman itu turut meningkatkan keyakinannya bahawa penyelidikan memerlukan kesabaran, ketelitian dan kesediaan untuk mencari penyelesaian alternatif apabila berhadapan dengan cabaran.

Mengimbas kembali perjalanan sehingga menerima Anugerah Pelajar Diraja, Adam menyifatkan pengiktirafan itu sebagai penghargaan yang amat bermakna, bukan sahaja buat dirinya, malah seluruh keluarga yang sentiasa memberikan sokongan.

Beliau turut menganggap pencapaian tersebut sebagai hadiah istimewa buat kedua-dua ibu bapanya atas pengorbanan mereka dalam membesarkan dan mendidik tujuh orang anak.

Adam bersama ahli keluarga selepas Majlis Konvokesyen UTM ke-70

Adam turut merakamkan penghargaan kepada barisan kepimpinan dan warga UTM, khususnya Dr. Mohamed Azlan Suhot, Pensyarah Kanan di Fakulti Kecerdasan Buatan dan Pengetua Kolej Siswajaya, serta Prof. Dr. Fauziah Sh. Ahmad, Pengarah UTM Kuala Lumpur, atas kepercayaan dan peluang yang diberikan untuk mengembangkan potensi kepimpinannya.

Penghargaan turut ditujukan kepada penyelia akademiknya, Prof. Madya Ir. Dr. Dayang Norul Fairuz, atas bimbingan dan sokongan sepanjang penyelidikan, termasuk peluang menyertai persidangan serta menjalani latihan industri di United Kingdom.

Beliau juga tidak melupakan pihak pengurusan MJIIT, para pensyarah, rakan-rakan dan seluruh warga universiti yang menjadi sebahagian daripada perjalanan akademiknya.

Kepada mahasiswa UTM, Adam berpesan agar mereka berani meneroka peluang dan tidak mengehadkan pengalaman kepada aktiviti di dalam kampus semata-mata.

Menurutnya, mahasiswa perlu mengambil inisiatif untuk menyertai persatuan, program pembangunan, jaringan industri dan persidangan yang dapat memperluas pengalaman serta meningkatkan keupayaan diri.

Perjalanan Adam memperlihatkan bahawa kecemerlangan mahasiswa terbina melalui gabungan ilmu, disiplin, kepimpinan dan ketabahan.

Pengalaman yang diperoleh daripada bilik kuliah, makmal penyelidikan hingga ke peringkat antarabangsa bukan sahaja membentuk perkembangan dirinya, malah menjadi bekalan untuk melangkah ke alam kerjaya dan menyumbang kepada masyarakat.

Explore More

UTM Open Day