Mei 16, 2024

Search
Close this search box.

Pengurusan Risiko bantu tingkatkan keberkesanan pengoperasian organisasi

Organisasi ataupun individu sentiasa berhadapan dengan risiko sama ada sewaktu melaksanakan pengoperasian atau menjalani kehidupan. Menurut ISO 31000:2018, risiko didefinisikan sebagai kesan daripada ketidakpastian  terhadap pencapaian objektif. Risiko juga boleh didefinisikan sebagai halangan kepada pencapaian objektif sesebuah organisasi.

Dalam konteks sebagai sebuah organisasi, universiti atau Pusat Tanggungjawab (PTJ) mempunyai objektif tertentu yang ditetapkan atau yang ingin dicapai. Dalam mencapai objektif berkenaan pasti muncul pelbagai halangan dan cabaran. Apa yang pasti halangan dan cabaran ini perlu diuruskan dan diselesaikan.

Kejatuhan ekonomi, kemunculan wabak baharu dan peperangan adalah antara senario semasa dunia yang dilihat dapat memberi kesan kepada usaha Universiti dalam mencapai objektif yang telah ditetapkan. Keadaan semasa yang sangat mudah berubah (volatility), tidak menentu (uncertainty), rumit (complexity) dan kabur (ambiguity) atau juga disebut sebagai VUCA menyebabkan universiti mudah terdedah kepada pelbagai implikasi atau impak.

Universiti juga terdedah kepada pelbagai jenis risiko yang dapat dilihat dan yang tidak dapat dilihat. Sebagai contoh, risiko berkaitan strategik adalah berkaitan dengan hal ehwal kewangan, reputasi dan operasi.

Antara contoh risiko yang jelas boleh memberi impak besar kepada Universiti adalah berhubung kait dengan kelangsungan pengoperasian Universiti. Antaranya adalah pemotongan bajet, pengambilan pelajar, keselamatan siber, perubahan iklim, perubahan teknologi yang drastik, dan bencana alam.

Antara contoh risiko lain yang dapat dilihat di Malaysia khususnya yang memberikan impak kepada pengoperasian Universiti adalah bencana alam seperti fenomena banjir.

Dahulunya bencana alam dilihat tidak memberi kesan kepada universiti, namun kini telah berlaku banjir berskala besar yang menunjukkan pengoperasian Universiti terkesan secara fizikal di mana pergerakan pelajar dan staf terjejas dan seterusnya menyebabkan sesi pembelajaran dan pengajaran tertangguh dan terganggu.

Pengurusan risiko hadir sebagai suatu kaedah dalam memastikan organisasi dapat mengenal pasti dengan lebih awal risiko-risiko yang bakal dihadapi dan seterusnya mengurangkan risiko dari segi kesan dan kebarangkalian, dan akhirnya menambah baik kekurangan yang ada sewaktu membuat keputusan sama ada di peringkat strategik ataupun operasi.

Antara manfaat yang akan diperoleh oleh Universiti sekiranya melaksanakan pengurusan risiko dengan efektif ialah Universiti dapat memantau dan memastikan matlamat dan objektif strategik di pelbagai peringkat bakal tercapai.

Pada masa ini, UTM telah mengambil pelbagai inisiatif dengan memastikan pengurusan risiko dilaksanakan di peringkat Universiti secara menyeluruh, tidak hanya di peringkat perancangan strategik malahan merangkumi pengoperasian.

Sebagai contoh, pengurusan risiko dijalankan bagi projek penbangunan Residensi UTM dengan nilai anggaran sebanyak RM 180 juta. Nilai kontrak yang tinggi ini mendapat perhatian diperingkat Lembaga Pengarah dan Pengurusan Universiti dengan mewajibkan pengurusan risiko projek dijalankan dalam memastikan proses pembangunan bangunan dapat dijalankan tanpa sebarang masalah dan mengikut ketetapan.

Universiti juga telah memperkemaskan pengurusan risiko dalam perancangan strategik Universiti. Semakan perancangan strategi pada tahun 2023 memberi tanggungjawab kepada setiap pemilik risiko (pemilik Key High Impact Result) untuk mengenal pasti risiko-risiko yang akan menghalang mereka daripada mencapai objektif yang telah ditetapkan dan seterusnya membangunkan pelan mitigasi risiko baharu untuk mengurangkan impak sekiranya berlakunya risiko.

Inisiatif ini dilihat mendapat sokongan daripada pihak pengurusan atasan kerana ia diakui penting bagi Universiti dalam memastikan objektif strategik yang telah ditetapkan dapat dicapai sebaik mungkin dan seterusnya mampu melonjakkan Universiti di persada dunia.

Oleh: Muhammad Hafizuddin bin Ripin

Beliau kini bertugas sebagai Pengurus Risiko di bawah Pejabat Strategi dan Hal Ehwal Korporat UTM. Beliau merupakan Pengurus Risiko Profesional Bertauliah dengan pengalaman dalam menguruskan risiko semenjak 2016.

Explore More