November 5, 2024

Search
Close this search box.

64 mahasiswa UTM ditawarkan Biasiswa Endowmen untuk sesi akademik 2022/2023

JOHOR BAHRU, 17 Mei – Seramai 64 orang mahasiswa cemerlang kategori B40 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah ditawarkan Biasiswa Endowmen pada sesi akademik 2022/2023.

Dari jumlah itu, seramai 30 orang menerima Biasiswa Endowmen Azman Hashim, 18 orang Biasiswa Endowmen Merdeka, tujuh orang Biasiswa Al-Bukhary (Johor Port Berhad), tujuh orang penerima Biasiswa UTM Alumni, seorang Biasiswa Endowmen Saripah Ahmad dan seorang Biasiswa Zainab Baba.

Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad berkata pembiayaan biasiswa tersebut menggunakan hibah simpanan tetap dari dana Tabung Endowmen UTM hasil sumbangan korporat, individu, syarikat dan philantrofi dan juga pelbagai pihak.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1444 Hijrah dan Penyampaian Sumbangan kepada mahasiswa universiti itu anjuran Unit Endowmen petang tadi.

“Sejak diperkenalkan pada tahun 2011, sebanyak 393 orang mahasiswa tajaan Biasiswa Endowmen UTM telah berjaya bergraduasi dengan cemerlang.

“Pihak UTM juga berharap para penerima biasiswa endowmen ini dapat menyumbang dana ke Tabung Endowmen universiti sekaligus dapat dimanfaatkan untuk membantu mahasiswa yang amat memerlukan bantuan semasa pengajian,” katanya lagi.

Untuk rekod sehingga April 2023, sebanyak 893 orang staf UTM dari pelbagai kategori dan gred jawatan telah menyumbang secara tetap ke Tabung Endowmen UTM melalui potongan gaji bulanan dengan jumlah sumbangan lebih RM25,000.00 sebulan.

“Alumni UTM juga memainkan peranan penting dalam menghulurkan sumbangan yang berjumlah lebih RM7.1 juta ke Tabung Endowmen Alumni UTM.

“Tidak dilupakan kepada individu dan syarikat korporat yang telah menyumbang antaranya Yayasan Azman Hashim dengan sumbangan sebanyak RM30 juta, Johor Port Berhad sebanyak RM10 juta dan juga Kiswire Cord Sdn. Bhd dengan sumbangan sebanyak RM3 juta,” katanya lagi.

Dana Endowmen UTM yang terkumpul sebanyak RM141 juta ini akan dimanfaatkan kepada pelajar UTM dalam bentuk biasiswa Endowmen, bantuan one-off dan juga aktiviti akademik.

Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof.Dr. Shamsul Sahibbudin, Pendaftar UTM, Nor Azizah Ismail, Pengerusi Bahagian Pemajuan, Prof. Madya Dr. Yusof Boon dan Pengarah Bahagian Pemajuan, Prof. Madya Dr. Mohd Hisyam Rasidi.

Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1444 Hijrah dan Penyampaian Sumbangan kepada mahasiswa universiti itu anjuran Unit Endowmen petang tadi.
Prof. Dr. Edy Tonnizam (kanan) menyampaikan sumbangan kepada mahasiswa terpilih UTM sambil diiringi oleh Pengerusi Bahagian Pemajuan, Prof. Madya Dr Yusof Boon (kiri).

Explore More