Mei 8, 2024

Search
Close this search box.

Membudaya Revolusi Industri 4.0 dan Society 5.0.

JOHOR BAHRU, 14 Feb. – Revolusi Industri 4.0  (IR 4.0) berasal daripada konsep perindustrian di Jerman yang berteraskan enam teras (masyarakat digital, tenaga mampan, mobiliti pintar, kehidupan sihat, keselamatan awam dan kemajuan teknologi di tempat kerja) yang memberi impak positif kepada ekonomi.

Ia mula diperkenalkan pada  tahun 2011. IR 4.0 ialah era digital atau era teknologi maklumat dan komunikasi, di mana internet, telefon pintar, Internet of Things (IoT) dan sambungan data telah menjadi sebahagian daripada dunia manusia samada dalam pekerjaan mahupun dalam kehidupan seharian mereka.

Konsep Society 5.0  telah diperkenalkan oleh kerajaan Jepun pada tahun 2015. Ia tidak lagi berpaksikan kepada industri, tetapi  lebih berpaksikan kepada masyarakat.

Dengan menggunakan kemajuan teknologi sebagai penggerak, kerajaan Jepun memulakan langkah ini untuk menambah baik dan mewujudkan masyarakat super pintar. Internet of Things (IoT), Artificial Intelligence (AI), Big Data dan robotik adalah empat nilai baharu dan merupakan empat teknologi utama yang digunakan oleh Jepun untuk menjayakan Society 5.0.

Terdapat beberapa  persamaan antara IR 4.0 dan Society 5.0 yang boleh dikenalpasti. Kedua-duanya  menekankan IoT, AI, mesin pintar, pengurusan pengetahuan dan teknologi web pintar untuk mewakili ketersambungan kerja. IR 4.0 dan Society 5.0 menekankan cara orang berkomunikasi menggunakan mesin atau orang melalui mesin pintar yang ada.

Kedua-duanya mempunyai kuasa untuk melakukan pelbagai tugas melalui pelbagai jenis media automatik dan platform pengkomputeran. Selain itu, kedua-duanya juga menekankan bahawa kerja pada era ini bukan lagi hanya satu kerja sejam, tetapi satu proses yang sentiasa berjalan dengan proses lain atau sebagai medium kepada prosedur lain.

Dan  akhirnya, kedua-duanya menganggap kejuruteraan mampan di tengah-tengah perkembangan teknologi yang progresif dilaksanakan tanpa mengabaikan alam semula jadi dan ekologi.

Antara perkara yang membezakan  IR 4.0 dan Society 5.0 adalah seperti berikut. Industri 4.0 menekankan bagaimana kerja dilakukan secara automatik dengan sedikit atau tiada peranan manusia dalam proses pengeluaran, manakala, Society 5.0 lebih menekankan cara mengoptimumkan tanggungjawab waktu bekerja untuk menyelesaikan sesuatu tugas.

Selain itu,  Industri 4.0 menonjolkan keberkesanan menggunakan mesin automatik dengan sedikit atau tiada peranan manusia dalam proses pengeluaran, manakala, Society 5.0 menyerlahkan keberkesanan  dengan mengoptimumkan pengetahuan manusia dengan bantuan mesin pintar.

Industri 4.0 berkait rapat dengan komunikasi berkomputer dengan segala cara, manakala, Society 5.0 bertujuan untuk memudahkan dan mempercepatkan kerja dengan bantuan mesin pintar untuk manfaat orang ramai.

Walaupun mereka mempunyai fokus yang berbeza, pada asasnya tujuan Industri 4.0 dan Society 5.0 adalah untuk memudahkan aktiviti manusia agar lebih cekap dan berkesan. Walaupun kita sedang berusaha untuk membudayakan Revolusi Industri 4.0, adalah wajar untuk kita mulai memahami konsep Society 5.0 juga supaya kita tidak ketinggalan  di belakang.

Explore More