Disember 27, 2024

Pulihkan Kepercayaan Rakyat Jadi Matlamat Utama Kepimpinan KPT – YBM KPT

Oleh : Mohd Hafizan bin Hamzah

JOHOR BAHRU, 30 Jan. – Memulihkan kepercayaan rakyat kepada kerajaan dan segala jentera pentadbiran yang bernaung di bawahnya menjadi matlamat utama kepada kepimpinan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada tahun ini.

Perkara ini telah disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dalam majlis Perutusan Tahun Baharu 2023 yang berlangsung di Dewan Za’Ba, Kementerian Pendidikan Tinggi pagi ini.

Mohamed Khaled berkata setiap strategi dan perancangan yang bakal dilaksanakan adalah bertujuan untuk memulihkan kepercayaan khususnya kepada kerajaan dan segala institusi dan agensinya.

“Lihat sahaja di sekeliling kita. Dalam segala penjuru, dari politik ke kerajaan, ke universiti dan sekolah. Atau perniagaan mahupun institusi agama. Dalam segenap ranah dan ruang amanah, semuanya dilanda krisis keyakinan yang sangat membimbangkan.

“Sama ada dari kepimpinan, budaya kerja, mutu perkhidmatan semuanya dilihat mempunyai muslihat, kepincangan dan kerancuan yang nyata,” katanya.

Menurut Mohamed Khaled lagi krisis kepercayaan ini telah menjadi satu kenihilan yang lazim dalam pelbagai institusi dan sistem kerajaan.

“Kita di KPT ini tidak terkecuali dari menerima tempias fenomena krisis kepercayaan ini yang sedang membadai negara.

“Perkara ini mesti berubah dan semua warga KPT haruslah bersama-sama saya merubah keadaan ini. Kita mesti mengembalikan dan memulihkan kepercayaan yang telah hilang ini,” tegasnya lagi.

Turut menghadiri majlis adalah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal, Ketua Setiausaha KPT, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar dan juga barisan pegawai tinggi kementerian yang lain.

 

Pengurusan UTM dan Pegawai Kanan Universiti yang hadir di Majlis Perutusan Tahun Baru 2023 Menteri KPT yang disiarkan secara langsung di Dewan Senat, UTM Johor Bahru.

Sebelas perkara yang telah digariskan adalah Penterjemahan aspirasi nasional secara tegas dan tepat, Menunjukkan sikap profesional, adil, objektif dan tidak politikal serta Membuat penilaian semula KPT secara keseluruhan.

Mohamed Khaled berkata perkara keempat yang bakal dilakukan adalah Memperkukuh kekuatan sumber intelektual Malaysia, kelima adalah membuat persediaan kaedah pengurusan pelbagai perubahan dan ledakan teknologi.

“Azam saya yang keenam ialah memperkukuh peranan Malaysia sebagai ‘the lynchpin’ bagi menarik kedatangan pelajar, penyelidik dan bakat global diikuti azam ketujuh iaitu melakukan rombakan besar-besaran terhadap sistem dan ekosistem TVET nasional.

“Perancangan kelapan adalah memastikan kepentingan Institusi Pengajian Tinggi Swasta atau IPTS akan menjadi sektor keberhasilan penting dan kualiti dan kecemerlangan akademik menjadi azam kesembilan saya,” katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai perancangannya, Mohamed Khaled berkata azam kesepuluhnya adalah memperbaiki akses dan rejim pembiayaan pendidikan dan yang terakhir adalah pemerkasaan mahasiswa.

Mohamed Khaled turut mengingatkan kepada semua warga IPT bahawa keberadaan di menara gading adalah untuk melakukan kerja-kerja kebangsaan dan tugas patriotik bukannya untuk kebahagiaan individualistik.

“Mesej utama saya dari semua yang telah diperihalkan hanya dua iaitu untuk pendidikan tinggi dipercayai semula dan keduanya untuk kita semua bersungguh-sungguh melakukan segala perubahan yang diperlukan,” katanya lagi.

 

Perutusan Tahun Baru 2023 Menteri KPT yang disiarkan secara langsung di Dewan Senat, UTM Johor Bahru.
Kakitangan UTM mengangkat papan tanda ucapan tahniah  kepada YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai Menteri Pendidikan Tinggi yang baharu.

 

Explore More