November 22, 2024

Search
Close this search box.

Inisiatif Makmal Hidup UTM-JPNJ sokong agenda Penghijauan Malaysia

PONTIAN, 1 Jan. – Sinergi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) menerusi inisiatif Makmal Hidup UTM-JPNJ telah diperkasakan dalam Program Penghijauan Malaysia “Hijaukan Bumi, Azam Bersama” bersempena Kempen Penanaman 100 Juta Pokok.

Aktiviti penanaman pokok bakau ini melibatkan penyertaan seramai 20 staf UTM dari pelbagai PTJ dan 37 orang pelajar Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU). Program ini telah dirasmikan oleh Penolong Pegawai Daerah Pontian, Encik Ahmad Azhar bin Ab Hamid. Hadir bersama dalam program ini ialah Pengarah JPNJ, Dato’ Haji Salim bin Aman; Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Puan Fauziyah Hanim binti Noubi @ Atan; Timbalan Dekan (Akademik) FABU, Prof Madya Lar Dr Sapura binti Mohamad serta veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Sebanyak 1000 anak pokok bakau pelbagai jenis telah ditanam. Program ini juga merupakan sebahagian daripada aktiviti pembelajaran luar kelas terutama kepada pelajar Tahun 2 Sarjana Muda Senibina Landskap FABU yang turut serta.

Program ini juga merupakan kesinambungan daripada aktiviti penanaman 300 anak pokok bakau yang telah dilaksanakan pada 20 Disember 2022, melibatkan penyertaan 50 orang sukarelawan UTM terdiri daripada 5 staf  Bahagian Keselamatan, Jabatan Pendaftar beserta 45 pelajar daripada Sarjana  Muda Sains Geoinformatik, FABU.

Pelaksanaan dan keterlibatan aktif sukarelawan UTM menerusi program ini diharap dapat meningkatkan lagi kesedaran, penglibatan dan pemahaman orang ramai dalam meneruskan inisiatif pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan hijau di peringkat nasional. Usaha ini diharap mampu mencapai aspirasi nasional iaitu memastikan sekurang-kurangnya 50% daripada keluasan tanah negara dilitupi dengan kawasan berhutan dan pokok-pokok.

Explore More