Disember 27, 2024

YAM Che’ Puan Besar Khaleeda Titip Pesanan Bermakna buat Graduan

Oleh Nur ‘Aina Osman 

JOHOR BAHRU, 21 Nov. – Majlis Konvokesyen ke-66 Universiti Teknologi Malaysia (UTM)  kini memasuki hari ke-3 penganjurannnya. Istiadat Sesi ke-8 hari ini menyaksikan YAM Che’ Puan Besar Khaleeda Binti Bustamam, berkenan mengurniakan Ijazah Sarjana Muda bagi graduan Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi, bersama Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (SPACE) di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru.

YAM Che’ Puan Besar Khaleeda dalam titahnya menitipkan pesanan kepada para graduan dalam mengharungi kehidupan selepas bergraduasi. Para graduan diseru agar bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugasan masing-masing dengan komited dan penuh integriti.

YAM Che’ Puan Besar Khaleeda turut menambah, “Persiapkan ilmu penuh di dada demi mendepani realiti luas dan pantas berubah.”

YAM Che’ Puan Besar Khaleeda berarak masuk bagi Sesi Penganugerahan ke-8 Majlis Konvokesyen ke-66 UTM pagi tadi.

Selain itu, YAM Che’ Puan Besar turut menasihatkan para graduan khususnya agar dapat menyeimbangkan kehidupan bekerja dengan baik, melalui amalan gaya hidup sihat demi kesejahteraan diri.

Dewasa ini, lantaran kesibukan kerja dan menguruskan tentatif hidup seharian, masyarakat perlulah memberikan perhatian terhadap kualiti hidup yang baik agar diri kekal sihat dari sudut fizikal, mahupun mental.

Sementara itu, graduan turut diingatkan agar terus merendah diri, menghormati dan mengenang jasa ibu bapa dan keluarga yang banyak berkorban demi kejayaan yang sedang dinikmati.

“Jadilah orang yang beradab dan berkeperibadian tinggi.  Sesungguhnya, keberkatan ilmu itu adalah dengan redhanya ibu bapa dan guru-guru yang mengajar saudara dan saudari sekalian.”

Dalam pada itu, YAM Che’ Puan Besar Khaleeda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada UTM atas kejayaan menempa tempat kedua di Malaysia dalam 2022−2023 Best Global Universities Rankings oleh U.S News & World Report baru-baru ini.

Explore More