November 25, 2024

Search
Close this search box.

Diuji Nahas Kemalangan, Azizan Bangkit Tamatkan Pengajian

Oleh: Muhammad Hakim bin Mohd Zain 

JOHOR BAHRU, 25 Nov. – Di sebalik senyuman kegembiraan yang terukir di wajah para graduan apabila tibanya Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia ke-66 (MK66), tersimpan sebuah kisah yang pernah menjadi detik dan sejarah hitam dalam kehidupan Azizan bin Mohd Masrom, dalam perjalanan pengajiannya sebagai seorang mahasiswa dalam kursus Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Teknologi Malaysia.

Tatkala graduan prasiswazah yang lain sedang menikmati kehidupan dan suasana pembelajaran dan kehidupan di kampus, Azizan telah terlibat dalam sebuah kemalangan jalan raya yang melibatkan kereta beliau dan sebuah lori sehingga menyebabkan beliau berada dalam keadaan koma selama 3 hari dan hilang ingatan selama beberapa minggu akibat kecederaan yang teruk di kepala. Kemalangan tersebut turut menyebabkan graduan anak kelahiran Johor Bahru itu terpaksa membuat keputusan untuk menangguhkan kuliah pengajiannya selama satu semester bagi memastikan beliau benar-benar pulih.

Berkat doa ibu bapa dan orang sekelilingnya, keadaan ingatannya itu kembali pulih sedikit demi sedikit. “Ujian saya tidak terhenti di situ, pada tahun yang sama ayah saya telah ditakdirkan kembali ke Rahmatullah pada bulan April 2019”, tambah Azizan yang turut menzahirkan rasa kesyukuran dengan perancangan Allah SWT di sebalik ujian tersebut apabila pemergian ayahandanya yang tercinta itu selepas beliau telah kembali sihat seperti sedia kala.

Namun, semangat yang  tidak pernah kenal akan erti mengalah sebagai seorang mahasiswa, Azizan tetap meneruskan pengajiannya walaupun telah ketinggalan satu semester di belakang berbanding rakan-rakan seperjuangannya akibat penangguhan pengajiannya pada ketika itu. 

Tambah beliau, senario pandemik COVID-19 yang mula melanda negara ini pada bulan Februari 2020 yang lalu turut menjadi cabaran kepada dirinya untuk mengekalkan momentum pembelajarannya apabila terpaksa menghadiri kuliah secara maya di atas talian selama hampir tiga semester. 

“Semua perkara yang berlaku ini tidak menjadi alasan untuk beliau mengundur diri dari perjuangan bagi menggenggam segulung ijazah”, ujar Azizan yang tetap bersyukur diberikan peluang untuk masih boleh menamatkan pengajian beliau dengan sempurna. 

“Saya yakin semua graduan melalui pelbagai halangan dan cabaran masing-masing sepanjang tempoh pengajian mereka, tetapi tekad dan usaha serta yakin akan kemampuan diri mampu membawa kita untuk menempuh segala rintangan tersebut ke arah jalan penyelesaian yang lebih baik”, ujar Azizan yang menyifatkan segala ujian yang dilalui oleh setiap manusia itu pasti akan hadir bersama hikmah untuk melahirkan seorang insan yang cekal dan tabah. 

Tiada kata-kata yang mampu beliau ungkapkan melainkan ucapan terima kasih kepada rakan-rakan, ibu-bapa, ahli keluarga dan para pensyarah yang menjadi tulang belakang selama melalui liku-liku perjalanan dalam bergelar seorang graduan Universiti Teknologi Malaysia.

Buat Azizan Mohd Masrom:- tidak semua manusia diuji sebagaimana yang anda lalui, semoga terus menjadi pedoman kepada bakal graduan UTM !

Explore More