Disember 26, 2024

Anugerah Zuriat Hadiah Terindah buat Pasangan Biras Raikan Konvokesyen

Oleh: Siti Nur Fatin Hakimah Ibnuzaman

JOHOR BAHRU, 21 Nov.– Kegembiraan Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia ke-66 (MK66) dapat dirasai oleh seorang graduan, Norliana Abu Bakar kerana beliau kini dapat bergraduasi bersama birasnya, Naimah Abdul Wahab selepas mereka sama-sama berjuang selama bertahun-tahun bagi memperoleh ijazah sarjana muda.

Walaupun mereka diuji dengan kesukaran untuk mendapatkan zuriat, tetapi kedua-duanya tetap tidak berputus asa walaupun salah seorang daripadanya, Norliana pernah mengalami keguguran sebanyak 9 kali manakala birasnya sukar mendapatkan zuriat selama 11 tahun. 

Namun, penantian selama 9 tahun berakhir apabila beliau selamat melahirkan zuriat lelaki pada tahun 2019, manakala biras beliau, Naimah selamat melahirkan anak lelaki juga selepas 11 tahun usia perkahwinannya. 

Norliana merupakan graduan Sarjana Muda Kejuruteraan (Elektrik) sesi 2015/2016 manakala Naimah adalah graduan Sarjana Muda Sains Komputer sesi 2012 telah menyambung pelajaran di bawah UTM Space Kuala Lumpur. Siapa sangka bahawa mereka akan bergraduasi bersama di Dewan Sultan Iskandar UTM. 

Segala cabaran dan kepayahan yang mereka hadapi amatlah getir dan perit untuk ditelan kerana kedua-dua graduan ini berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan sepanjang mereka belajar terutama sekali ujian memperoleh zuriat. 

 Detik bersejarah Norliana Abu Bakar (kanan) bergraduasi bersama birasnya, Naimah Abdul Wahab (kiri).

Satu perkara yang dikagumi Norliana adalah usaha birasnya, Naimah menyelesaikan Projek Sarjana Muda (PSM) dalam keadaan tidak berdaya kerana berada dalam keadaan sarat mengandung. Kegigihan Naimah dalam meneruskan dan menamatkan pelajaran dalam situasi ini memberikannya satu inspirasi.

Sementara itu, Norliana pula mengalami kesukaran apabila beliau perlu menghadiri ‘Lab 1’ secara fizikal dalam keadaan sedang sarat mengandung 8 bulan. Beliau perlu menaiki dan menuruni tangga berkali-kali bagi menyelesaikan tugasan beliau di makmal fakulti. 

Beliau akhirnya selamat melahirkan zuriat setelah pulang kembali ke Kuala Lumpur dan usia bayi pada ketika itu baru sahaja 8 bulan, iaitu dalam keadaan pra-matang. Namun, kekuatan yang dimiliki oleh si ibu seolah-olah memberikan kekuatan kepada anaknya untuk terus sihat.

Tidak dinafikan bukan senang untuk menyambung pelajaran secara separuh masa dengan adanya komitmen bekerja, dengan sentiasa adanya tugasan seperti ‘shooting’ dan perlu menghadiri banyak majlis dan sambutan. Norliana kini bekerja sebagai tenaga pengajar di bawah pengurusan Jabatan Tenaga Manusia manakala Naimah adalah pakar IT di Jabatan Perangkaan Malaysia.

Waktu tidur yang banyak dikorbankan, dimanfaatkan mereka dengan membuka kembali nota yang dipelajari serta menggunakan masa yang ada, iaitu selepas jam 12 malam untuk menyiapkan tugasan yang diberi oleh pensyarah serta mengulang kaji pelajaran untuk menjawab kuiz dan ujian, membuatkan mereka lebih bersemangat untuk mengakhiri perjuangan serta kepayahan dalam memperoleh ijazah sarjana muda ini.

Berkat kegigihan yang ditunjukkan oleh kedua-dua wanita ini, akhirnya mereka berjaya menyelesaikan dan akan bersama-sama menghadiri sidang konvokesyen pada sesi yang sama, iaitu sesi ke-5. 

Terima kasih tidak terhingga kepada UTM Space kerana telah merealisasikan impian mereka berdua seterusnya mereka juga memberi pesanan kepada semua pelajar yang sedang berusaha dalam pembelajaran agar tidak mudah berputus asa.

Rakaman temubual Norliana Abu Bakar dan Naimah Abdul Wahab, yang dibawakan oleh UTM Library TV.

Explore More