Disember 22, 2024

UTM Raikan Alumni Sempena Majlis Apresiasi Homecoming Alumni Sweet September 2022

JOHOR BAHRU, 24 Sept. –  Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sentiasa komited untuk mengukuhkan hubungan bersama alumni. Hasrat ini dicitrakan dengan penganjuran Majlis Apresiasi Homecoming Alumni Sweet September 2022 yang telah berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru, malam tadi.

Majlis makan malam ini merupakan salah satu agenda untuk menghimpunkan dan sekali gus meraikan para alumni UTM sama ada dari dalam atau luar negara yang sama-sama berusaha untuk meluangkan masa bersama.  Majlis ini juga adalah sebahagian daripada  program Alumni Homecoming Sweet September 2022  yang berlangsung selama dua hari bermula 24 hingga 25 September 2022 yang turut menganjurkan pelbagai aktiviti menarik untuk para alumni.

Program yang julung-julung kalinya dianjurkan bertujuan untuk membawa kembali para alumni untuk kembali ke kampus UTM Johor Bahru dan mengimbau semula memori sepanjang melanjutkan pengajian suatu ketika dahulu.

Sebahagian alumni antarabangsa UTM yang hadir.

Alumni Homecoming Sweet September 2022 turut diharapkan mampu membina kerjasama strategik antara alumni dengan alma mater, termasuk antara alumni dengan alumni.

Profesor Datuk Ir. Ts.Dr Ahmad Fauzi Ismail, Naib Canselor UTM dalam ucapannya sempena Majlis Makan Malam  Apresiasi Homecoming Alumni Sweet September 2022, amat menghargai semangat dan komitmen yang ditunjukkan oleh para alumni yang hadir untuk kembali ke kampus.

“Saya amat berbangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh para alumni yang sudi dan sedia kembali ke kampus”, ucap Profesor Datuk Dr Ahmad Fauzi.

Prof. Datuk. Dr. Ahmad Fauzi ketika berucap sewaktu Majlis Apresiasi Alumni Sweet September 2022.

Profesor Datuk Dr Ahmad Fauzi berharap agar alma mater dapat terus memperkukuhkan hubungan yang akrab dengan para alumni agar UTM akan sentiasa dikenang, diingati dan dirindui para alumni. Hubungan seperti ini juga diharap tidak terhenti selepas tamatnya program ini dan semoga alumni terus komited menyumbang semula kepada Universiti demi kelangsungan UTM.

Majlis Makan Malam Apresiasi berkenaan turut menghargai sumbangan alumni UTM melalui penganugerahan Tokoh Alumni kepada sembilan alumni yang berwibawa sama ada di dalam atau luar negara. Penerima Tokoh Alumni Dalam Negara menyaksikan enam tokoh sebagai penerima yang terdiri daripada Dato’ Seri Ir. Dr.  Zaini bin Ujang, Ketua Setiausaha Kementerian Air dan Sumber Asli, Yang Berhormat Dato’ Daing A. Malek bin Daing A. Rahaman, Ahli Penasihat Jumaah Majlis Diraja Johor Merangkap Pengarah Eksekutif Bidari Kekal Sdn. Bhd., Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Sri Hj. Azam bin Baki, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Yang Berbahagia Dato’ TPr. Fadlun bin Mak Ujud, Presiden Perbadanan Putrajaya, Yang Berbahagia Dato’ Seri Hj. Mahadi bin Che Ngah, Datuk Bandar Kuala Lumpur, dan Yang Dihormati Inspektor Jeneral Tan Sri Acryl Sani bin Hj. Abdullah Sani, Ketua Polis Negara.

Barisan penerima Anugerah Tokoh Alumni sempena Majlis Apresiasi Homecoming Alumni Sweet September 2022.

Selain itu, Prof. Dr. Ir. H. Anis Saggaff dan Prof. Ir. Dr. Zainuddin Nawawi masing-masing merupakan Rektor dan Wakil Rektor Bidang Akademik, Universitas Sriwijaya, Indonesia turut menerima Anugerah Tokoh Alumni Luar Negara. Manakala Yang Berhormat Dato’ Daing A. Malek bin Daing A. Rahaman turut dinobatkan sebagai Tokoh Alumni Filantropi pada malam itu.

Dalam pada itu, Prof. Dr. Ir. H. Anis Saggaff yang turut berucap sebagai wakil alumni semasa majlis berkenaan turut berkongsi bagaimana beliau akhirnya memilih UTM sebagai tempat menimba ilmu sebaik menjejakkan kakinya ke dalam kampus ini. Ianya amat berkait rapat dengan moto UTM iaitu “Kerana Tuhan untuk Manusia”, tambah beliau, Universiti Teknologi Malaysia telah banyak mengajar beliau erti adab dan menyantuni orang lain. Perkongsian ini disambut dengan tepukan yang gemuruh dari seluruh alumni yang hadir.

Prof. Dr. Ir. H. Anis Saggaff ketika berkongsi pengalamannya sebagai pelajar UTM.

Penganjuran program yang dijangka bakal diadakan secara dwi-tahunan diharapkan dapat merapatkan lagi ukhuwah antara alumni dan alma mater pada tahun-tahun mendatang. Para hadirin pada malam berkenaan turut dihiburkan dengan persembahan daripada wakil alumni dan penyanyi terkenal tanah air, Ayai, yang mendendangkan kompilasi lagu yang amat mengiburkan.

Dr Firdaus Aziz, wakil alumni , mendeklamasikan puisi pada malam itu.
Ayai, artis undangan yang membuat persembahan sempena Majlis Apresiasi terbabit.
Alumni UTM yang dapat berkumpul bersama dalam Majlis Apresiasi Alumni Homecoming Alumni Sweet September 2022.

Explore More