Disember 23, 2024

Refleksi Naib Canselor : Siri Jelajah UTM Vice-Chancellor Asia Tour@Indonesia 2022

UTM VC Asia Tour@Indonesia 2022 telah melabuhkan tirainya pada 12 September 2022. Siri 1 VC Asia Tour @Indonesia 1.0 telah berlangsung pada 7 hingga 10 Jun 2022 dan diikuti dengan Siri 2 UTM VC Asia Tour @Indonesia pada 8 hingga 12 September 2022. 

VC Asia Tour@Indonesia mula saya perkenalkan pada tahun ini bagi mendukung pelaksanaan enVision UTM 2025 dan juga the 5 Big Things 2022 dalam landskap pendidikan tinggi serta penyelidikan di peringkat global. Ini sekaligus meningkatkan keterlihatan (visibility) UTM di mata dunia melalui jaringan antarabangsa yang strategik dan praktikal.

Pemilihan negara Indonesia sebagai lokasi siri jelajah adalah kerana negara ini mempunyai populasi besar seramai 280,036,898 orang (tahun 2022) dan ini merupakan prospek besar kepada UTM dalam mengembangkan kepakarannya di peringkat global dalam bidang akademik, penyelidikan, penerbitan, perundingan dan perkhidmatan profesional.

Bersama UTM Alumni Indonesia Chapter (Jakarta) pada Jun 2022
Majlis pemetraian MoU antara UTM-ASEAN Centre for Energy (ACE).

Pemerkasaan Hubungan Strategik bersama Institusi Indonesia

Kedua-dua siri telah melibatkan sesi libat urus berimpak bersama satu agensi nasional Indonesia yang telah memeterai Memorandum Perjanjian (MOA) bersama UTM sebelum ini iaitu Badan Riset Inovasi dan Nasional (BRIN), satu agensi ASEAN, ASEAN Centre for Energy (ACE) dan tujuh buah universiti iaitu Universitas Sriwijaya (UNSRI), Universitas Muhammadiyah Palembang (UMP), Universitas Nahdlatul Ulama Surabaya (UNUSA), Universitas Airlangga (UNAIR), Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS), Telkom University (Tel-U) dan Universitas Negeri Malang (UM).

Hasil daripada lawatan global praktikal ini, UTM telah memeterai tiga Memorandum Persefahaman (MoU), lima kolaborasi strategik yang mempunyai potensi besar dalam projek penyelidikan, penerbitan bersama serta perundingan dan satu pelancaran Pejabat Satelit di negeri Malang.

Majlis Memperbaharui Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTM dan Universitas Sriwijaya (UNSRI)
Dari kiri: Wakil Rektor I UMP, Prof. Dr. Indawan, Rektor UMP, Dr Abid Djazuli, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ahmad Fauzi dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Dr Rosli.

Saya melihat, hubungan global praktikal bersama organisasi di Indonesia sangat dinamik ekoran perkembangan pesat ekonomi di negara kepulauan ini yang dilihat bakal menjadi kuasa ekonomi besar di rantau ini. Justeru, perkembangan pesat teknologi dunia khusus pada era Revolusi Industri 4.0, sewajarnya diambil kesempatan oleh warga UTM dengan mengambil inisiatif meningkatkan usahasama dalam pelbagai bidang bersama rakan di Indonesia, sekaligus menyumbang kepada pencapaian penarafan universiti antarabangsa seperti QS World University Rankings (WUR).

Pejabat Satelit UTM Pertama di Indonesia

Hubungan global praktikal ini dilihat bakal memberi impak kepada UTM untuk jangka masa panjang. Sebagai contoh, pelancaran Pejabat Satelit di Universitas Negeri Malang (UM) yang merupakan pejabat satelit pertama di Indonesia wajar dijadikan sebagai model hubungan dan strategi berimpak tinggi kerana keterlibatan serta keterlihatan UTM bakal menjadi rujukan utama buat warga UM, dan juga buat semua masyarakat di wilayah kepulauan Jawa Timur Indonesia.

Saya yakin, dengan adanya pusat-pusat kecemerlangan di UTM, pejabat atau makmal satelit seumpama ini mampu diwujudkan di lain-lain universiti atau institusi di Indonesia mengikut kepakaran tertentu yang diperlukan, khasnya bidang strategik seperti sains, teknologi dan kejuruteraan.

Usaha strategik yang diwujudkan bersama Universiti di Indonesia mampu mencetuskan idea atau inovasi baharu pendidikan tinggi khususnya dalam menambahbaik sistem penyampaian pengajaran dan pembelajaran secara konvensional yang kini tampak melalui proses transformasi selepas dunia dibelenggu krisis pandemik COVID-19. Hal ini mampu menarik lebih ramai pemegang taruh khususnya pelajar daripada Indonesia untuk menjadi sebahagian daripada Keluarga UTM kerana pelbagai urusan kini mampu dilaksanakan secara hibrid tanpa melibatkan kos yang tinggi, dengan gabungan medium dalam talian dan medium bersemuka.

Pelancaran Pejabat Satelit sewaktu di Malang, Indonesia.

Perancangan 2023 (Way Forward 2023)

Kolaborasi universiti ini dengan Indonesia telah dimulai ketika UTM masih bernama Institut Teknologi Kebangsaan (ITK) pada awal tahun 70-an di mana ketika itu ada tenaga pengajar UTM didatangkan dari Indonesia. Hubungan dalam bidang pendidikan antara Indonesia dan Malaysia telah berlangsung sejak ketika pemerintah republik itu menghantar guru-gurunya ke Malaysia dalam ‘Project Malay Culture’ pada zaman pemerintahan Presiden Soeharto pada tahun 70-an. Perlu dicatat bahawa kolaborasi ini tidak hanya di peringkat sekolah malahan hingga ke peringkat pendidikan tinggi dan jika dilihat dari sudut diplomatik, kolaborasi UTM dan universiti-universiti di Indonesia ini dilihat mampu mengeratkan hubungan persaudaraan kedua-dua buah negara yang merupakan negara majoriti Muslim dan dalam rumpun Nusantara.

Justeru, sebagai negara serumpun, UTM dan institusi di Indonesia haruslah menggembleng tenaga bersama-sama dengan mewujudkan pelbagai jaringan kerjasama dalam memastikan kemaslahatan serta kesejahteraan masyarakat, agama dan negara. Hal ini dapat dimanifestasikan melalui kerjasama akademik transformatif, kolaborasi penyelidikan berimpak tinggi, penerbitan bersama bersitasi tinggi, penyediaan geran padanan fleksibel dan bersifat menang-menang, serta perkongsian teknologi strategik dan futuristik yang menumpukan perhatian serta penyelesaian masalah terhadap isu-isu semasa dunia seperti status sosio-ekonomi masyarakat, tenaga diperbaharui, bencana alam, perubahan iklim dan sebagainya.

Kehadapan, saya bersama Pengurusan Tertinggi UTM komited agar inisiatif yang telah dirancang dapat direalisasikan menerusi pelan tindakan enVision UTM 2025.

Delegasi UTM bersama Rektor Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS), Prof. Dr. Ir. Mochamad Ahsari.

Sumber: Populasi Indonesia https://www.worldometers.info/world-population/indonesia-population/

Explore More