Disember 22, 2024

PUTRAJAYA, 2 Sept  –  Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah mengiktiraf para pensyarah yang cemerlang, kreatif dan inovatif dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) pada majlis Anugerah Khas YB Menteri Pengajian Tinggi: Rekabentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif Tahun 2022 (AKRI 2022), di Putrajaya, hari ini.

Majlis yang disempurnakan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad itu bertujuan untuk mengenal pasti, memberi pengiktirafan serta berkongsi amalan terbaik projek- projek serta inisiatif yang telah dilaksanakan samada di peringkat institusi atau individu dalam empat kategori.

Sempena majlis ini, pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Noor Dayana  Abd. Halim dari Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) bersama pasukan beliau telah dinobatkan sebagai Johan bagi Kategori Kurikulum Program Pengajian Inovatif menerusi inisiatif Program Sarjana Pendidikan (Teknologi Pendidikan) secara Terbuka dan Jarak Jauh (ODL).

Prof. Madya Dr. Noor Dayana binti Abd. Halim (4 dari kanan)

Menurut Prof. Madya Dr. Noor Dayana  Abd. Halim, “Program Sarjana Pendidikan (Teknologi Pendidikan) secara Terbuka dan Jarak Jauh ini adalah antara 3 program perintis di UTM yang ditransformasikan dari mod konvensional kepada Open Distance Learning (ODL).”

“Program ini telah dilaksanakan sepenuhnya dalam talian bermula dengan pendaftaran pelajar, PdP dan juga pentaksiran. Kesemua elemen bersepadu dari aspek tenaga pengajar yang bertauliah, infrastruktur yang dinamik dan infostruktur yang terbuka menjadikan program ini mempunyai elemen inovatif selari dengan Future Ready Curriculum (FRC)”, tambah beliau lagi.

Pasukan UTM bersama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan Pengurusan Tertinggi KPT

Usaha dan komitmen daripada setiap ahli pasukan menjadi pendorong kepada kejayaan yang dikecapi hari ini, beliau berkata  “Saya selaku Ketua Projek amat menghargai kerjasama berpasukan antara semua ahli-ahli projek yang terdiri dari Sekolah Pengajian Siswazah, pihak Pengurusan di FSSK khususnya Dekan,  tenaga pengajar ODL dan UTMCDex“.

Prof. Madya Dr. Noor Dayana  Abd. Halim membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, piala dan sijil penghargaan.

Penganjuran AKRI 2022 menyokong Lonjakan 1: Graduan Holistik, Berciri Keusahawanan dan Seimbang dan Lonjakan 9: Pembelajaran Dalam Talian Tahap Global dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi), PPPM(PT) 2015 – 2025.

Bagi merealisasikan hasrat ini, UTM telah memberikan fokus dan keutamaan untuk memperkasakan ekosistem pengajaran dan pembelajaran Universiti agar dapat berdaya saing dan berupaya melahirkan graduan yang kalis masa hadapan, seimbang dan global bagi memenuhi aspirasi dan wawasan negara.

Kejayaan pasukan UTM hari ini  membuktikan kurikulum program pengajian serta kualiti pengajaran dan pembelajaran di UTM adalah antara yang terbaik dan diiktiraf diperingkat kebangsaan.

Turut hadir bersama ke majlis penyampaian AKRI 2022 dari UTM  adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Professor Sr Dr Hishamuddin Mohd Ali, Pengarah Centre for Advancement in Digital and Flexible Learning (CDex), Prof. Madya Ir. Dr. Hayati Abdullah dan Pengarah Centre for Academic and Experiential Learning (CAEL), Prof. Dr. Intan Zaurah  Mat Darus.

 

Explore More