Disember 22, 2024

Raih Anugerah Dekan Serta Aktif Aktiviti Kesukarelawanan Bukti Keazaman Ivy Jadi Pendidik

JOHOR BAHRU, 26 Mei — Meraih anugerah dekan bukanlah kejayaan yang mudah diperolehi bagi setiap individu yang bergelar graduan. Pelbagai pengorbanan perlu dilakukan ditambah dengan bantuan usaha dan konsistensi yang berterusan merupakan kunci kepada kejayaan tersebut.

Namun begitu, setiap yang pahit pasti ada kemanisan di penghujungnya, begitulah perasaan yang cuba digambarkan oleh graduan Ivy Lau Ing Ing setelah menerima Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama Sains Pendidikan ,Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL).

Walaupun beliau menyifatkan kejayaannya itu sebagai tuah yang tidak dijangka, Ivy mengakui pelbagai pengalaman onak dan duri perlu ditempuhi sepanjang tempoh menuntut di UTM. Beliau berkata, kejayaan yang dituainya pada hari ini merupakan hasil titik peluh yang dilaburkan oleh dirinya sepanjang berada di dalam tempoh pengajian.

“Saya bersyukur kerana sepanjang menghabiskan pengajian, saya sentiasa dikelilingi oleh rakan dan pensyarah yang sangat membantu dalam melaksanakan setiap tugasan.

Rakan-rakan juga tidak pernah lokek untuk berkongsi ilmu dan komitmen tinggi yang sentiasa ditunjukkan oleh merka telah sedikit sebanyak mendorong saya untuk mencapai keputusan yang lebih cemerlang.”

Menurutnya, beliau amat menyanjungi profesion perguruan semenjak dari bangku sekolah lagi. Kegigihan yang ditunjukkan oleh guru-gurunya dalam memberi didikan dan usaha untuk mengembangkan potensi yang terdapat di dalam diri setiap pelajar telah menambat hati Ivy untuk turut serta menanam cita-cita yang sama dengan matlamat dirinya juga dapat menyumbang kepada pembentukan anak bangsa.

Tidak telepas dari bergelut dengan cabaran ketika belajar, Ivy yang sentiasa terlibat aktif dalam aktiviti sukarelawan seperti menjadi petugas di Pusat Pemberian Vaksin di UTM, aktiviti-aktiviti kebudayaan seperti menyertai kumpulan orkestra Cina UTM, Pesta Tanglung UTM dan pelbagai lagi mengakui dirinya sukar untuk mengurus masa dengan baik secara konsisten.

Namun begitu, keseronokan dan ilmu yang beliau perolehi melalui peglibatan aktiviti-aktiviti  tersebut baginya merupakan pengalaman yang paling berharga dan akan menjadi bekal yang bermanfaat untuk diceritakan kepada anak muridnya kelak.

Ivy Lau Ing Ing kini sudah memasuki bulan ke-3 perkhidmatannya sebagai guru Matapelajaran Bahasa Inggeris di SMJK Katholik, Petaling Jaya.  
 

Explore More