April 20, 2024

Search
Close this search box.

‘5 Big Things 2.0’ Perkasa Komitmen ‘Citizens of UTM’ Pacu Kecemerlangan Universiti

JOHOR BAHRU, 25 Jan – Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi bin Ismail sekali lagi menggariskan lima perkara penting atau ‘The #5 Big Things 2.0’ yang perlu dilaksanakan warganya bagi meningkatkan kecemerlangan UTM pada tahun 2022.

Lima perkara itu ialah Sistem Penyampaian Berkualiti Tinggi, Komitmen terhadap Tugasan Akademik dan Penyelidikan, Pemerkasaan Bidang Tujahan, Pengukuhan Kolaborasi Komuniti dan Industri dan Mempertingkatkan Kerjasama Global Praktikal.

Dalam pada itu beliau turut menyeru warga UTM atau mesra disapa ‘Citizens of UTM’ agar menjalankan amanah dan tanggungjawab pada 2022 dengan budaya kerja Speed (Pantas), Collaboration (Kerjasama) dan Resilience (Berdaya Tahan).

Lima perkara yang digariskan beliau tersebut adalah merupakan kesinambungan The #5 Big Things yang pertama kali diperkenalkan oleh beliau semasa amanat sulung pada awal tahun lalu.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail memberikan ucapan di Majlis Amanat Naib Canselor 2022 yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru pagi tadi.

Ketika mengulas tentang kelima-lima perkara berkenaan, Datuk Fauzi berkata banyak organisasi menjadi pincang disebabkan tidak mempunyai sistem penyampaian yang baik.

“Setiap staf mestilah memastikan bahawa UTM mempunyai sistem penyampaian berkualiti tinggi demi menjaga imej dan prestij universiti ini yang sememangnya dipandang tinggi oleh masyarakat luar.

Untuk itu, setiap dari Pusat Tanggungjawab (PTJ) dimestikan untuk mempunyai Piagam Pelanggan masing-masing dan menjadi tugas ketua pusat berkenaan untuk memastikan bahawa staf di bawah seliaannya sentiasa mematuhi piagam itu di samping mempunyai sistem digitalisasi dan automasi yang mantap” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Majlis Amanat Naib Canselor 2022 yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, kampus Johor Bahru pagi tadi. 

Naib Canselor, Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi bin Ismail menyampaikan amanat dengan santai dan penuh jenaka tetapi amat sarat dan padat dengan penegasan tentang jati diri, identiti dan penekanan terhadap kepentingan budaya organisasi yang cemerlang

Bertemakan Memperkasa Komitmen, Memacu Kecemerlangan, beliau turut menyorot kejayaan memberangsangkan yang dicapai oleh universiti pada tahun 2021 yang menurut beliau, UTM berjaya mencapainya melalui kesepakatan warganya yang sangat menakjubkan walaupun diuji dengan Covid-19.

“Berkhidmat dan berada di UTM adalah sebuah rezeki bagi kita semua sebagai Citizens of UTM.

Oleh itu kita sebagai ‘enabler’ terhadap rezeki ini ( UTM ) harus mempunyai komitmen atau ltizam yang tinggi untuk memacu kecemerlangan universiti,” tambah beliau.

Beliau menyifatkan pentingnya komitmen adalah untuk meningkatkan produktiviti, memberi kepuasan dalam kerja, akan menjadi sistem sokongan kepada pengurusan cekap dan untuk ke arah komunikasi yang lebih berkesan.

Tambah beliau, komitmen yang diperkasa juga akan mewujudkan persekitaran kerja yang lestari dan harmoni, melahirkan staf yang sentiasa progresif dan seterusnya akan mewujudkan budaya kerja yang cemerlang.

Menyentuh sambutan 50 Tahun UTM yang bakal diraikan oleh warga UTM menjelang 14 Mac 2022, Datuk Fauzi turut menekankan generasi pemimpin UTM terdahulu telah mencorakkan budaya organisasi yang berasaskan nilai-nilai budaya Melayu, agama Islam dan menerima pakai nilai-nilai Universal yang positif.

“Inisiatif tersebut adalah untuk memperkasa budaya organisasi bersendikan penghayatan falsafah, visi dan misi UTM agar warganya dapat memantapkan komitmen organisasi bertunjangkan dasar, polisi dan peraturan universiti.

Oleh itu sebagai penyambung legasi kecemerlangan UTM, setiap warga perlu mengamalkan kepimpinan pasca 50 Tahun penubuhan universiti ini melalui lima nilai iaitu amanah, empati, terbuka, telus dan jati diri.

Datuk Fauzi hari ini menyampaikan amanat tahun baru 2022 secara hybrid melalui tiga platform iaitu fizikal di Dewan Sultan Iskandar, dalam talian Webex serta turut dipancarkan secara langsung melalui Facebook UTM Community.

Sesi fizikal dihadiri oleh 389 tetamu manakala lintas langsung tersebut meraih lebih 2,000 tontonan ‘live’ di Facebook dengan jumlah keseluruhan dalam talian ialah 3,357.

Turut menghadiri majlis ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Sr Dr Hishamuddin Mohd Ali, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Rosli Md Illias, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr Mohd Hamdan Ahmad dan Pendaftar, Puan Nor Azizah Bt Ismail.

Dalam majlis tersebut turut dilancarkan wajah baharu baju korporat rasmi UTM, Pelancaran Baju Korporat UTM, Pelancaran Playbook Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC UTM), pelancaran Portal MyUTM Versi 2.0 serta Penyerahan Dokumen Strategi Envision 2025.

Pelancaran baju korporat UTM yang baharu
Naib Canselor, Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi bin Ismail (tengah) bersama barisan kepimpinan universiti usai sesi Penyerahan Dokumen Strategi Envision 2025.

Beliau turut menjentik hati penonton dengan ‘take home message’ tentang kepentingan memperkasa jati diri, memperkaya kompetensi dalam menterjemah komitmen organisasi.

“Jati diri adalah sangat penting kerana ia melambangkan akhlak dan maruah seseorang, organisasi dan negara.

Sekiranya kita semua menghayati ayat-ayat ini, ikhlas Kerana Tuhan Untuk Manusia, maka Allah akan mempermudahkan usaha kita,” kata beliau.

Beliau turut memetik sabda Rasulullah iaitu;

Daripada Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang,”

Riwayat al-Tabarani

Perbandingan akhir pernyataan beliau ini menunjukkan betapa tinggi harapan beliau terhadap warga UTM agar menitikberatkan komitmen dalam setiap perkara kerana ia turut disuruh dalam Islam.

Warga UTM amat berterima kasih atas ucapan yang penuh bermakna daripada beliau.

Kami ambil maklum akan amanat Datuk, dan bersama-samalah kita lebih maju dan berjuang lebih gigih untuk kejayaan UTM.Kerana Tuhan Untuk Manusia.

Explore More