November 22, 2024

Search
Close this search box.

Seramai 316 orang pelajar daripada Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi telah diraikan dalam Majlis Apresiasi Pelajar Dekan Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi (SHARPS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Majlis tersebut merupakan program anjuran Student of Human Resource Development Club (SMART) dengan kerjasama Psychology Interactive Club (PSYCHIC) dan telah disiarkan secara langsung melalui Facebook Live SMART UTM sebagai media utama.

Tujuan utama program ini dijalankan adalah untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada para pelajar yang telah berjaya menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam bidang akademik sekaligus untuk menggalakkan para pelajar meningkatkan usaha mereka dalam pembelajaran.

Program bermula pada jam 8.00 malam pada 16 Disember 2021 dan telah dirasmikan oleh Pengerusi Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi, Prof. Dr. Siti Aisyah binti Panatik.

AJK program diketuai oleh Nurulhuda binti Md Rozi yang merupakan salah seorang exco protokol dan komunikasi dari kelab SMART UTM.

Seramai 58 orang pelajar bagi tahun 2, 45 orang pelajar bagi tahun 3 dan 26 orang pelajar bagi tahun 4 bagi Program Ijazah Sarjana Muda Sains (Pembangunan Sumber Manusia) dengan Kepujian telah menerima anugerah dalam majlis ini.

Manakala bagi Program Ijazah Sarjana Muda Psikologi dengan Pembangunan Sumber Manusia dengan Kepujian pula, seramai 76 orang pelajar tahun 2, 45 orang pelajar tahun 3 dan 46 orang pelajar tahun 4 telah menerima anugerah.

Dalam majlis ini juga terdapat beberapa acara yang disampaikan seperti persembahan daripada pelajar dan seterusnya program diakhiri dengan sesi cabutan bertuah.

Diharapkan semua pelajar dapat menyunting semangat mereka melalui program ini untuk meneruskan perjuangan dalam menimba ilmu dan mencipta lebih banyak pencapaian di masa hadapan.

Explore More