Disember 4, 2024

Search
Close this search box.

KUALA LUMPUR, 30 Nov – Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) (JTNCPI), Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL) sekali lagi bergerak aktif dalam usaha membantu masyarakat sekitar UTMKL yang terkesan dengan masalah ekonomi akibat penularan wabak Covid-19 ini.

Kali ini, sebuah Tabung Prihatin Komuniti Covid-19 telah ditubuhkan bertujuan untuk membantu masyarakat yang terkesan dalam menyelesaikan bil-bil utiliti seperti bil air, bil elektrik, serta bil data internet yang tertunggak bagi melancarkan keperluan pembelajaran PDPR anak-anak mereka.

Inisiatif ini merupakan satu tanggungjawab sosial yang perlu dilakukan bagi membantu masyarakat sekitar.

Antara matlamat utama program ini juga adalah sebagai satu usaha dalam menyebarluaskan aktiviti tanggungjawab sosial serta keprihatinan JTNCPI UTMKL terhadap penduduk sekitar UTM Kuala Lumpur, khususnya dari latar belakang keluarga berpendapatan rendah (B40).

Selain itu, ianya juga sebagai  usaha dalam meringankan beban kewangan yang dihadapi penduduk menerusi peruntukan kewangan yang diberikan bertujuan untuk membayar bil-bil utiliti yang tertunggak.

Dalam masa yang sama, aktiviti ini juga diharap agar dapat mempertingkat serta memupuk jalinan ukhuwah dan kebersamaan dengan komuniti/masyarakat setempat.

Tabung yang beroperasi sekitar tempoh dua bulan ini telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM4,928.00 yang mana para penyumbang rata-rata terdiri dari warga UTM KL.

Sebanyak RM2,795.93 telah diagihkan kepada seramai enam belas (16) buah keluarga yang telah telah dikenalpasti dari PPR Sungai Bonus, Kuala Lumpur.

Manakala selebihnya pula, sebanyak RM2,132.07 telah diagihkan kepada seramai empat belas (14) buah keluarga yang telah dikenalpasti dari PPR Seri Semarak, Kuala Lumpur. Sumbangan secara ‘one off’ ini bertujuan untuk membayar tunggakan bil-bil utiliti keluarga  berkenaan.

Kedua-dua sesi serahan ini berlangsung pada Isnin, 8 November 2021 dan Isnin, 29 November 2021.

Turut sama hadir sewaktu sesi penyerahan adalah En Hasbullah, Pengerusi PPR Sg Bunus, serta Tn Hj Mahat, Pengerusi Surau Al Husna PPR Seri Semarak. Manakala wakil dari UTM pula adalah Profesor Madya Dr Sheikh Ahmad Zaki bin Shaikh Salim, Pn Sharifah Fadzlina binti Syed Ahmad Helmy, Ts. Mohd Hazri bin Ishak, En. Mohd Rushidi bin Shaari, En. Ahmad Mustaqim bin Ahmad Fauzi dan En. Muhammad Hafizul Halim bin in Zawawi

Sesi serahan sumbangan kepada penerima di PPR Sg Bunus
Sesi suai kenal dan ramah mesra bersama JK Persatuan Penduduk PPR Sg Bunus
Sesi serahan sumbangan kepada penerima di PPR Seri Semarak
Sesi serahan sumbangan kepada penerima di PPR Seri Semarak

Explore More