Disember 26, 2024

JOHOR BAHRU, 15 Dis – Semangat serta kesungguhan merupakan resepi terbaik kepada seorang staf Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam menamatkan pengajian dengan jayanya di universiti ini.

Walaupun sibuk dengan tanggungjawab kerja, Arina Syairah Maslani yang menyambung pengajian secara separuh masa berjaya bergelar graduan dengan Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan Sumber Manusia di Majlis Konvokesyen ke-64 universiti itu yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, kampus Johor Bahru.

Beliau merupakan antara 21 orang staf UTM yang bergraduan pada sesi konvokesyen kali ini.

Menyorot kembali pengalamannya ketika belajar, Arina yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Tadbir di UTM International mengakui pengurusan masa merupakan cabaran yang terbesar dalam memastikan pelajaran dan kerjayanya dapat dilaksanakan dengan terbaik.

“Memang saya akui tanggungjawap sebagai ibu, isteri dan staf UTM sememangnya berat kerana setiap satunya menuntut perhatian dari saya.

“Untuk makluman saya mula belajar pada tahun 2012 dan sepatutnya bergraduat pada 2017 tetapi pada tahun 2016 terpaksa tangguh pengajian kerana melahirkan anak kedua dan bercuti selama satu semester lagi pada 2018 kerana melahirkan anak ketiga,” katanya lagi.

Menurut ibu kepada empat anak ini, masa bersama keluarga juga amat terhad kerana beliau bekerja dari jam 8 pagi hingga 5 petang pada hari Ahad hingga Khamis manakala pada hari Jumaat dan Sabtu pula menghadiri kelas.

“Kelas bagi pengajian separuh masa diadakan pada cuti hujung minggu iaitu Jumaat dan Sabtu serta bermula dari jam 8 pagi hingga 10 malam.

“Sepanjang 12 jam menghadiri kelas ini segala urusan rumahtangga dan penjagaan anak diserahkan sepenuhnya kepada suami, Mohd Nashriq Ismail yang sentiasa membantunya ketika mengikuti pengajian,” katanya lagi.

Selain menghadiri kelas dan menduduki peperiksaan,menyiapkan tugasan yang diberikan juga adalah salah satu tanggungjawap pelajar universiti tanpa mengira samada mengikuti pengajian secara perdana (sepenuh masa) atau separuh masa.

“Sebagaimana pelajar program perdana, kami juga dikehendaki untuk menyiapkan tugasan yang diberikan kerana penilaian markah di hujung semester juga akan dicampur dengan markah tugasan yang dihantar.

“Antara memori manis yang tidak dapat dilupakan adalah ketika sibuk dengan tugasan kerja dan menyiapkan tugasan pada masa yang sama. Saya pernah menyiapkan tugasan sehingga jam empat pagi dan tidur ‘sekejap’ sementara menunggu untuk bangun jam enam pagi dan bersiap untuk ke tempat kerja”, ujarnya.

Diminta memberikan ‘tips’ untuk berjaya dalam pengajian separuh masa ini Arina berkata kunci kejayaan adalah semangat juang yang tinggi serta tidak mudah mengalah dengan tekanan perasaan.

“Bukan mudah untuk menyambung pengajian terutamanya jika anda telah bekerja. Nasihat saya kuatkan semangat dan habiskan apa yang telah anda mulakan.

“Persefahaman dengan pasangan juga amat penting dalam mengharungi kehidupan sebagai pelajar separuh masa ini.  Jika anda telah mempunyai pasangan pastikan berbincang dengannya terlebih dahulu supaya dia boleh bersedia dengan pelbagai komitmen yang perlu dipikul apabila anda memulakan pengajian kelak,” katanya mengakhiri perbualan.

Explore More