Majlis Konvokesyen UTM ke-64 raikan 8,956 graduan

JOHOR BAHRU, 11 Dis. – Seramai 8,956 orang graduan telah diraikan dalam Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-64 yang berlangsung di kampus Johor Bahru bermula pagi tadi.

Majlis yang berlangsung selama tujuh hari itu merupakan yang pertama diadakan selepas tiga kali ditangguhkan sejak akhir 2019 akibat dari pandemik COVID-19 dan diadakan di Dewan Sultan Iskandar (DSI).

Majlis tersebut merupakan julung kali diadakan setelah tiga kali ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19.

Mengambil kira besarnya erti sebuah konvokesyen kepada kegirangan graduan, MK64 telah dijalankan bermula 11 hingga 18 Disember, bertempat di Dewan Sultan Iskandar (DSI), UTM Kampus Johor Bahru.

Diadakan dalam 13 sesi, penganugerahan Ijazah diberikan kepada 748 graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Ijazah Sarjana (1915), Ijazah Sarjana Muda (4326) dan Diploma (1967).

Daripada jumlah tersebut, seramai 812 orang graduan antarabangsa dari 54 buah negara turut dianugerahkan ijazah di mana Nigeria, Iran dan Pakistan merupakan tiga negara dengan bilangan graduan tertinggi.

Bagi sesi pertama yang berlangsung pagi tadi, sesi pengurniaan telah disempurnakan oleh Canselor UTM, Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah, Tuanku Permaisuri Johor.

Selain pengurniaan diploma dan ijazah serta pengurniaan pelbagai hadiah akademik, MK64 turut menyaksikan sesi perisytiharan Pro-Canselor yang baharu, Yang Amat Mulia Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam dan Tan Sri Dato’ Sri Jamaludin Ibrahim di samping Mantan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Abdul Halim Ali yang  dikurniakan Anugerah Kehormat

Lima tokoh Negara turut mendapat penganugerahan gelaran Profesor Emeritus iaitu Datuk Ir. Dr Siti Hamisah Tapsir, Datuk Ir.Dr. Ishak Ismail, Dato’ Dr. Mohamed Mansor Abdullah, Ir. Dr. Warid Hussin dan Datuk Dr. Mohd Ruddin Abd. Ghani.

Yang Amat Mulia Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam menerima watikah pelantikan sebagai Pro-Canselor UTM yang baharu dari Canselor UTM, DYMM Raja Zarith Sofia Almarhum Sultan Idris Shah di Majlis Konvokesyen UTM ke-64 sesi pertama yang berlangsung pagi tadi di Dewan Sultan Iskandar (DSI), kampus Johor Bahru.

Turut menerima watikah pelantikan Pro-Canselor baharu adalah Tan Sri Dato’ Sri Jamaludin Ibrahim (gambar bawah).
Sesi perisytiharan Pro-Canselor baharu, Tan Sri Dato’ Sri Jamaludin Ibrahim (kanan) semasa menerima watikah pelantikan oleh Canselor UTM, DYMM Raja Zarith Sofia Almarhum Sultan Idris Shah.

MK64 turut menghargai kecemerlangan akademik pelajar dengan pelbagai anugerah seperti Anugerah Canselor, Anugerah Pro-Canselor, Anugerah Pelajaran Diraja dan lain-lain.

Menariknya kali ini, penerima Anugerah Diraja, Yap Sin Yee adalah merupakan Felo di Pejabat Perdana Menteri Malaysia dan turut telah menerima tawaran untuk menyambung PhD di University of Cambridge, United Kingdom untuk sesi pengajian pada Oktober 2022.

Yap Sin Yee

MK64 kali ini juga meraikan kejayaan luar biasa graduan warga emas iaitu Dr. Abdul Rahim Ramli yang menamatkan pengajian pada usia 70 tahun dalam program Doktor Falsafah (Perancangan Bandar dan Wilayah), graduan adik-beradik, Dr Sarah Athirah dan Dr Sarah ‘Atifah Saruchi serta pasangan ibu dan anak, Dr Yasmin Hanafi Zaid bersama anak beliau, Yazlin Izzati Yaakop.

UTM turut meraikan wakil graduan anumerta yang tidak berkesempatan untuk menghadiri sesi konvokesyen tersebut termasuk staf, Allahyarham Mohamed Hafiz Mohamed Tajuddin dari program Sarjana Muda Sains (Pembangunan Sumber Manusia).

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Azman Mokhtar (dua dari kiri) bersama wakil penerima Anugerah Anumerta, Siti Aishah Binti Md Johari sambil disaksikan oleh Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi bin Ismail (kiri) dan Pendaftar UTM, Encik Abdul Razib Bin Hj Shahuddin (kanan)

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata UTM telah melahirkan seramai 206,301 graduan dengan 9,005 adalah graduan antarabangsa daripada lebih 70 buah negara.

“Menurut laporan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada tahun 2021, kadar kebolehpasaran graduan (GE) UTM 2020 ialah 91.5 peratus iaitu antara yang tertinggi dalam kalangan Universiti Awam (UA) Malaysia melebihi purata UA lain iaitu pada 84.4 peratus.

“Laporan KPT ini sekaligus membuktikan bahawa UTM berjaya menghasilkan graduan yang berkualiti yang menjadi rebutan industri di pasaran,” kata beliau.

Datuk Fauzi turut mengucapkan tahniah kepada semua graduan dan berharap mereka akan mencurahkan pengetahuan, pengalaman dan kepakaran di alam pekerjaan kelak bagi meneruskan kegemilangan UTM.

“Graduan UTM merupakan penyambung perjuangan mengangkat martabat universiti ini sebagai institusi pendidikan tinggi yang telah membentuk jiwa dan raga dengan kepakaran teknologi dan nilai-nilai insani.

Justeru, graduan UTM harus menjadi insan yang mempunyai hubungan spiritual yang kuat dengan Tuhan Semesta Alam, menampilkan nilai hikmah dalam tutur kata dan perbuatan untuk mendampingi masyarakat dengan penuh santun, sentiasa berdiplomasi dengan pelbagai pihak serta menjadi penyelesai masalah yang dihadapi negara dan dunia, ” tambah beliau.

Sesuai dengan situasi semasa yang masih dalam tempoh pasca pandemik COVID-19, sesi MK64 dijalankan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat dengan hanya graduan dibenarkan masuk untuk sesi konvokesyen menggunakan kenderaan bas ulang-alik yang disediakan oleh Universiti dari Dataran UTM.

Buat pertama kalinya juga tiada perarakan graduan masuk ke DSI sepertimana majlis konvokesyen terdahulu kerana setiap graduan perlu melalui sesi saringan kesihatan seperti bacaan suhu dan sanitasi tangan sebelum masuk ke tempat duduk masing-masing sepertimana yang ditetapkan melalui sistem UTM i-Convo.

Turut menghadiri sesi MK-64 kali ini adalah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan juga Menteri Besar Johor, Dato’ Haji Hasni Mohammad.

Kedudukan graduan dalam DSI sementara menunggu untuk menerima skrol masing-masing dari Canselor UTM, DYMM Raja Zarith Sofia di atas pentas.

Tempat duduk yang diatur secara berjarak antara satu sama lain adalah selaras SoP pencegahan COVID-19 yang dipraktikkan di MK-64 kali ini.
Graduan beratur sebelum menerima skrol masing-masing dalam MK
-64 UTM yang berlangsung di DSI