November 16, 2024

Search
Close this search box.

Kepentingan Kemahiran Employabiliti bagi Graduan Bidang Teknik Dan Vokasional

Penulis : Nurul Aini Mohd. Ahyan, Mohamad Rasidi Pairan, Nur Hazirah Noh@Seth & Hanifah Jambari

Era globalisasi kini memperlihatkan peningkatan permintaan terhadap sumber manusia melalui kemahiran dan ilmu pengetahuan yang diperlukan untuk pasaran kerja.  Hal ini demikian kerana kemahiran yang tinggi dan berpengetahuan berupaya untuk meningkatkan sesebuah organisasi yang kekal berdaya saing pada masa kini. Berdasarkan kepada Jabatan Statistik Negara 2020, perangkaan Tenaga Buruh Malaysia pada Januari 2020 memperlihatkan sebanyak 68.9 peratus kadar penyertaan dalam sektor tenaga buruh.  Setiap pihak yang bertanggungjawab haruslah mengorak langkah dalam memainkan peranan untuk pembentukan kerjaya para graduan untuk melahirkan graduan yang lebih kompeten dan berketerampilan.

Bagi memenuhi cabaran ini, institusi pendidikan turut tidak terkecuali untuk mentranformasi kaedah pengajaran dan pembelajaran seiring dengan keperluan pendidikan baharu ini. Pendidikan Teknik dan Vokasional (PTV) adalah satu jurus pendidikan yang bermatlamat melahirkan pelajar yang mempunyai ilmu pengetahuan dan kepelbagaian asas kemahiran bagi peningkatan kualiti tenaga mahir ketika menceburkan diri di alam pekerjaan.  Dengan kata lain, kekuatan PTV sendiri ialah untuk melahirkan graduan berkebolehan dalam memenuhi keperluan industri.

Majikan pada hari ini memerlukan pekerja yang bukan hanya memiliki kemahiran teknikal, tetapi juga kepada kemahiran insaniah. Justeru, para pelajar haruslah ditekankan dengan kemahiran generik semasa tempoh pengajian mereka.  Antara yang menjadi keutamaan di dalam memastikan mereka berjaya mendapatkan pekerjaan dalam tempoh 5 tahun bergraduasi ialah penguasaan dalam kemahiran employabiliti yang diterapkan kepada para graduan untuk mencapai pembangunan kerjaya.  Ia merangkumi elemen kemahiran komunikasi, kemahiran bekerja secara berkumpulan, kemahiran pengurusan diri, kemahiran menggunakan teknologi dan kemahiran berfikir.

Antara inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia untuk meningkatkan lagi mutu dan kualiti para graduan adalah dengan mengambil langkah proaktif dalam pemantapan kendiri terhadap kemahiran employabiliti. Kemahiran ini terdiri daripada beberapa elemen generik iaitu kemahiran berkomunikasi, kemahiran berfikir, kemahiran bekerja secara berkumpulan, kemahiran pengurusan diri dan kemahiran menggunakan teknologi.

Kemahiran yang seimbang dari segi kemahiran teknikal dengan kemahiran bukan teknikal merupakan satu asset yang signifikan kepada para pelajar dan graduan untuk persediaan dalam persaingan untuk menepatkan diri dalam alam pekerjaan.  Persaingan yang dimaksudkan adalah persaingan dengan graduan-graduan dari institusi pengajian yang pelbagai. Kemahiran employabiliti merupakan kemahiran bukan teknikal yang sering dikaitkan dengan sikap dan personaliti bagi setiap graduan dalam mendapatkan pekerjaan.

Maklum balas dari pihak majikan di industri menyatakan bahawa mereka lebih cenderung untuk memilih graduan yang mempunyai kemahiran praktikal sedia ada (ketika dilantik) tanpa perlu diberi latihan praktikal (selepas dilantik).  Beberapa kajian terdahulu juga mengesahkan dakwaan tersebut, di mana, graduan yang mempunyai daya saing dan penguasaan kemahiran employabiliti berkecenderungan untuk dipilih oleh majikan untuk mengisi kekosongan di tempat kerja.  Semakin tinggi tahap penguasaan kemahiran employabiliti dalam kalangan graduan dipercayai dapat menyumbang kepada pengurangan tahap pengangguran graduan.

Institusi pendidikan khususnya haruslah menerapkan nilai kemahiran employabiliti dalam kalangan para pelajar bagi memastikan kesediaan pelajar untuk menempuh alam pekerjaan. Penerapan kemahiran employabiliti melahirkan graduan yang bermutu tinggi dan dapat memberikan impak yang positif dalam memajukan sesebuah negara.  Kemahiran employabiliti ini penting untuk dikuasai para graduan untuk bersaing menempatkan diri dalam bidang pekerjaan.

Explore More