JOHOR BAHRU, 13 Dis. — Dua beradik kembar dari Alor Setar, Kedah telah mencipta kenangan manis apabila berjaya mengharungi segala cabaran getir dalam pelajaran dan menamatkan pengajian dengan jayanya di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Pasangan kembar seiras, Mohd Zulfahmi Malek dan adiknya, Mohd Zulhamdi Malek hari ini masing-masing tersenyum bangga sambil menggenggam segulung Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) dan juga Sarjana Muda Sains Komputer (Rangkaian dan Keselamatan).
Bercakap dalam sesi wawancara dengan media selepas menerima ijazah di Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-64 yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar pagi tadi, Mohd Zulfahmi berkata beliau bersyukur kerana sehingga kini tidak perlu berpisah dengan adik kembarnya itu.
“Sebenarnya saya amat bertuah. Ibarat satu dalam seribu peluang yang diberikan kepada kami berdua untuk menyambung pengajian dalam bidang yang sama iaitu sains komputer.
Terus terang saya katakan yang saya amat bersyukur disebabkan boleh mengulang kaji dan belajar bersama adik.
“Walaupun mengambil pengkhususan yang berbeza namun terdapat beberapa subjek serupa yang membolehkan kami untuk membantu antara satu sama lainnya,” katanya yang ditemani kembarnya, Mohd Zulhamdi pada sesi tersebut.
Sementara itu Mohd Zulhamdi melahirkan rasa syukur kerana masih diberikan peluang oleh Yang Maha Esa untuk menghadiri majlis konvokesyen ini dan menerima ijazahnya.
“Sebenarnya saya pernah pengsan dan mendapat kecederaan kepala ketika hadir solat Jumaat di Masjid Sultan Ismail (MSI) dan langsung dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan lanjut.
Di sana selepas menjalani sesi imbasan X-Ray doktor memberitahu terdapat gumpalan darah beku di bahagian otak dan memberikan pilihan iaitu makan ubat ataupun pembedahan di kepala yang mana tidak ada kepastian untuk hidup,” ujarnya mengenang kembali peristiwa hitam itu.
Akibat dari kecederaan kepala ini, Mohd Zulhamdi terpaksa berehat dari pengajian selama satu semester dan mengambil ubat yang diberikan doktor di samping menghadiri sesi rawatan susulan di hospital.
“Apabila kembali semula ke kampus, ramai rakan-rakan sekuliah yang telah mengikuti latihan industri dan tidak sempat untuk memberikan bantuan kepada subjek-subjek yang telah terlepas.
Keadaan ini amat menyusahkan tetapi saya masih bertuah kerana mempunyai seorang abang yang sanggup mengorbankan masa dan tenaga dalam memberikan tunjuk ajar kepada saya sehinggalah berjaya menghabiskan pelajaran di UTM,” katanya.
Berpesan kepada rakan-rakan yang masih menuntut, Mohd Zulhamdi tidak menafikan keperluan untuk mempunyai ramai kawan semasa pengajian universiti tetapi menegaskan tidak semua yang sanggup bersama ketika kesusahan melanda.
“Kepada yang masih menuntut, pilihlah rakan yang sanggup untuk bersusah dengan kita.
Ketahuilah bahawa rakan menangis ini satu dalam seribu dan tidak mudah untuk mendapat sahabat seperti ini,” katanya mengakhiri perbualan.