Disember 3, 2024

Search
Close this search box.

Oleh Syuhaida Ismail

Bertempat di Dewan Masyarakat Semporna, enam staf Pengurusan Profesional dan Pelaksana (PPP) dari Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) dan Pusat Pengurusan Makmal Universiti (PPMU) UTM Kuala Lumpur telah berjaya menjalankan program perpindahan ilmu bagi aktiviti Makmal Komuniti SULAM kepada masyarakat belia di Semporna, Sabah.

Bertemakan “Simen Fero: Menyantuni Masyarakat Semporna”, program yang diketuai oleh Ts. Mohd Hazri Ishak, penceramah Mohd Nor Azsuan Mohd Yaacob serta fasilitator Ts Wan Abdul Fattah Wan Abdullah, Norlaili Abd Jalal, Suhaini Mashuri dan Sarah Nadeha Samad telahpun dihadiri oleh 22 orang peserta dalam kalangan lelaki dan wanita berumur antara 20 tahun hingga 50 tahun di sekitar pekan Semporna.

Program berbentuk hands-on ini bermatlamat untuk memberikan pendedahan upskilling dan reskilling kepada masyarakat Semporna berkenaan kemahiran membuat binaan menggunakan teknologi simen fero yang dikenali sebagai bahan binaan yang murah, mudah dikerjakan, tahan lasak, tidak memerlukan teknologi yang tinggi serta mudah diselenggara.

Para peserta yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil bagi memastikan penjarakan sosial dipatuhi, telahpun dilatih untuk membina binaan kerusi, meja, cendawan hiasan, tapak pejalan kaki dan hiasan mini menggunakan bahan binaan seperti jaring keluli, simen, pasir dan beberapa bahan lain sebelum dicat menggunakan cat berasaskan air dan acrylic finishing gloss bagi memastikan ketahanan binaan terhadap cuaca panas dan hujan.

Hasil binaan ini akan diletakkan di halaman Pejabat Daerah Semporna sebagai tanda simbolik penghargaan UTM kepada Pegawai Daerah Semporna yang banyak menyokong program kerjasama CCIN dan PPMU seperti ini, yang telahpun dijalankan semenjak tahun 2017.

Dalam program ini, CCIN dan PPMU turut dibantu oleh pihak Kolej Komuniti Semporna yang memberikan kemudahan peralatan tangan bagi memudahcara serta menjayakan program “Simen Fero : Menyantuni Masyarakat Semporna” ini.

Program ini dijalankan bersempena dengan pelancaran Makmal Komuniti SULAM anjuran Institute for Life – Ready Graduate (UTM iLeague) yang berlangsung selama 2 hari bermula 24 November 2021 hingga 25 November 2021.

Program yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, YB Datuk Jahid Jahim turut dihadiri oleh Pengerusi UTM iLeaGue, Prof. Dr. Shafry Mohd Rahim; Pengarah Centre for Academic and Experiential Learning (CAEL), Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus; Pengarah UTM iLeaGue Kuala Lumpur, Prof. Madya Ts. Dr. Asnul Dahar Minghat; dan Ketua Green Cities and Construction Research Group (GCCRG) UTM Kuala Lumpur, Prof. Madya Ts. Ir. Dr. Syuhaida Ismail.

Pada penutup program “Simen Fero : Menyantuni Masyarakat Semporna” ini, kumpulan terbaik yang menghasilkan binaan yang paling kreatif dalam ruang kerja yang paling bersih dan selamat di samping mengamalkan kawalan SOP COVID-19 telah pun diberikan hadiah berbentuk hamper serta hiasan simen fero hasil kerja tangan staf CCIN dan PPMU.

Kesemua peserta juga turut menerima sijil penyertaan dari pihak UTM iLeaGue.

Hasil dari kajian soal selidik yang dijalankan ke atas para peserta menunjukkan bahawa program ini telah memberikan impak ke atas mereka bukan sahaja dari segi upskilling dan reskilling, malah mempertingkatkan daya tahan mereka dalam menghadapi era kejatuhan ekonomi ekoran pandemik COVID-19 melalui aktiviti penjanaan ekonomi dari produk-produk simen fero.

Malah, Datuk Jahid Jahim juga dalam ucapan perasmian turut memuji usaha keras UTM yang berusaha membantu memperkasakan masyarakat di Semporna melalui program makmal komuniti SULAM ini.

Gambar 1: Para peserta bekerjasama menghasilkan produk tapak pejalan kaki untuk Pejabat Daerah Semporna di bawah penyeliaan para fasilitator dari CCIN dan PPMU
Gambar 2: Sekitar lawatan YB Datuk Jahid Jahim, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah yang turut berbangga dengan hasil kerja masyarakat Semporna dan kemampuan mereka menghasilkan produk simen fero yang mampu membantu menjana pendapatan mereka dalam tempoh 2 hari sahaja atas tunjuk ajar dan perkongsian ilmu dan kemahiran dari 6 orang staf PPP CCIN dan PPMU

Explore More