Disember 22, 2024

Muhammad Zakwan Hafiz Terajui 180 Krew Jayakan Minggu Mesra Mahasiswa Sesi 2021/2022

Lanjutan kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 14 September 2021 dan seterusnya Pekeliling Pelajar Bil 14/2021 yang dikeluarkan oleh JTNCHEP telah menyatakan berkaitan pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pergerakan Pelajar Memasuki Kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang berkuat kuasa mulai 15 Oktober 2021, Minggu Mesra Mahasiswa (MMM) telah berlangsung secara dalam talian sepenuhnya ketika pelajar baharu masih berada di rumah dan belum hadir ke kampus pada 11-14 Oktober 2021.

Penganjuran MMM ini memberi peluang kepada 3,968 pelajar baharu untuk berinteraksi dan mengetahui program-program dan kursus yang dijalankan serta kemudahan-kemudahan yang ada selain membantu mahasiswa mengenal dan menyesuaikan diri dengan sistem pembelajaran dan kehidupan dalam kampus.

Semua slot dan pengisian acara dalam MMM berlangsung secara atas talian melalui Facebook (FB) live berpengkalan di Studio UTMLead dengan pengendalian slot-slot di dalam MMM sebahagian besarnya ditunjangi oleh pasukan krew pimpinan Ketua Operasi iaitu Muhammad Zakwan Hafiz Zakaria, pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Geomatik yang juga merupakan Bendahari Kehormat, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2020/2021.

Muhammad Zakwan Hafiz berkata seramai 180 pelajar telah terpilih sebagai krew yang mengendalikan slot-slot dalam MMM sebagai moderator, penulis skrip, penerbit, promosi, penyediaan video ’teaser’, persiapan teknikal dan lain-lain lagi. Pelbagai aktiviti berbentuk pertandingan kepada pelajar baharu juga diperkenalkan pada kali ini yang diuruskan sepenuhnya oleh krew. Sebelum hadir bertugas, kesemua krew juga telah mengikuti Kursus Pengurusan Krew yang berlangsung secara dalam talian pada 30 September 2021.

”Kesemua krew terpilih telah hadir ke kampus lebih awal mulai 3 Oktober 2021 untuk kerja-kerja persiapan melalui kelulusan Jawatankuasa Pergerakan Pelajar selain menjalani Ujian Saringan Kendiri di bawah pemantauan Pusat Kesihatan Universiti,” ujar anak ketiga dari 3 dari 3 beradik kelahiran Melaka ini lagi.

Zakwan Hafiz juga dibantu oleh Nurul Nabilah Binti Mat Ropi, pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik selaku Timbalan Ketua Operasi.

Bagi Nurul Nabilah, antara program menarik yang diuruskan ialah sesi perkongsian pengalaman oleh YB Tuan Mohd Shahar Bin Abdullah, Timbalan Menteri Kewangan. “Sebagai alumni UTM, perkongsian pengalaman sepanjang bergelar mahasiswa UTM itu sangat bermanfaat kepada semua pelajar baharu dan seterusnya mencapai objektif MMM itu sendiri,” tambahnya lagi yang juga Ketua Jabatan Kesejahteraan Pelajar dan Kelestarian Kampus, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2020/2021.

Explore More