Disember 19, 2024

Pesta Tanglung di UTM

Manusia seringkali mencari hiburan untuk membahagiakan jiwa mereka. Hiburan boleh membuat hati yang sedih menjadi gembira, perasaan kurang bersemangat menjadi lebih bermotivasi dan merawat kekecewaan. Namun begitu seringkali hiburan juga boleh menjadikan manusia terlalai dan merosakan jiwa. Firman Allah SWT;

وَمِنَ النّاسِ مَن يَشتَري لَهوَ الحَديثِ لِيُضِلَّ عَن سَبيلِ اللَّهِ بِغَيرِ عِلمٍ وَيَتَّخِذَها هُزُوًا ۚ أُولٰئِكَ لَهُم عَذابٌ مُهينٌ

Maksudnya: “Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita dan perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.” (Surah Luqman 31: 6)

Menurut Ibn Kathir, perkataan “lahwa al-hadis” atau “hiburan yang melalaikan” dalam ayat ini adalah merujuk kepada nyanyian dan muzik. Dikaitkan pula ia sebagai kesesatan kerana terdapat nyanyian dan muzik yang bertentangan dengan Islam. Ayat ini sebenarnya merujuk kepada satu golongan manusia yang lebih senang mendengar seruling, nyanyian dan suara muzik berbanding dengan mendengar dan membaca ayat al-Quran. Dalam ayat tersebut, Allah SWT memberi peringatan kepada golongan ini dengan ancaman azab yang menghinakan.

Pada dasarnya, Islam mengharuskan atau membenarkan hiburan kerana ia merupakan naluri semulajadi manusia yang suka kepada sesuatu yang menghiburkan dan mengembirakan. Terdapat sebuah hadis Nabi Muhammad SAW yang memberi gambaran bahawa hiburan adalah sesuatu yang harus di dalam Islam. Imam al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis daripada Nabi Muhammad SAW:

دَخَلَ أَبُو بَكْرٍ وَعِنْدِي جَارِيَتَانِ مِنْ جَوَارِي الْأَنْصَارِ تُغَنِّيَانِ بِمَا تَقَاوَلَتْ الْأَنْصَارُ يَوْمَ بُعَاثَ، قَالَتْ: وَلَيْسَتَا بِمُغَنِّيَتَيْنِ، فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ: أَمَزَامِيرُ الشَّيْطَانِ فِي بَيْتِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَذَلِكَ فِي يَوْمِ عِيدٍ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” يَا أَبَا بَكْرٍ إِنَّ لِكُلِّ قَوْمٍ عِيدًا وَهَذَا عِيدُنَا”

Maksudnya: “Sesungguhnya Abu Bakar masuk kepadaku, sedang di sampingku ada dua gadis hamba daripada orang Ansar sedang menyanyi dengan nyanyian yang dinyanyikan oleh orang Ansar pada hari peperangan Bu’ath. Aku berkata, kedua-dua orang ini bukanlah penyanyi. Abu Bakar berkata, adakah di rumah Nabi ini terdapat serunai syaitan? Sedangkan pada hari ini adalah hari raya Aidilfitri. Rasulullah SAW bersabda, “Wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kaum ada hari rayanya dan ini adalah hari raya kita”. (HR al-Bukhari)

Berdasarkan hadis ini, Nabi Muhammad SAW tidak melarang Saidatina Aisyah untuk menonton persembahan nyanyian itu. Ini menunjukkan bahawa dalam keadaan tertentu, hiburan dan nyanyian adalah dibenarkan. Tetapi keharusan ini bukanlah bersifat mutlak kerana hukum hiburan dan nyanyian bergantung kepada beberapa syarat dan keadaan tertantu yang menyebabkan hukumnya sama ada harus, makruh atau haram.

Menurut Yusuf al-Qaradawi, antara hiburan yang dapat menghiburkan jiwa, menenangkan hati dan menyedapkan telinga adalah nyayian yang tidak dicampuri dengan kata-kata kotor, keji dan mengalakkan kepada perlakuan dosa dan maksiat.

Sungguh pun Islam mengharuskan hiburan dan menonton persembahan. Namun terdapat beberapa syarat dan ketetapan yang perlu dipatuhi agar hiburan yang dinikmati tidak menjerumuskan kita kepada kelalaian dan maksiat kepada Allah SWT.

Dalam hal ini, berdasarkan Garis Panduan Hiburan Dalam Islam yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), berkenaan panduan persembahan artis adalah seperti berikut;

  1. Berinteraksi dengan penonton secara sopan dan disertai kata-kata yang boleh membina nilai kemanusiaan.
  2. Berpakaian kemas, sopan dan tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton, serta tidak bercanggah dengan kehendak Islam.
  3. Tidak melakukan gerak geri dan perkataan yang boleh menimbulkan dorongan kepada maksiat dan menghina Islam.
  4. Tidak mengucapkan kata-kata yang menggalakkan perbuatan maksiat dan menghina Islam.

Dalam konteks UTM, Dasar Kebudayaan dan Kesenian UTM 1993 telah memberi garis panduan kepada pihak penganjur sama ada pelajar atau staf sebelum menjalankan aktiviti yang terdapat nyanyian dan persembahan di dalamnya. Perkara yang boleh dirumuskan daripada dasar tersebut ialah;

  1. Menghormati kemuliaan bulan atau hari kebesaran Islam seperti Jumaat, Rejab, Syaaban dan Ramadan.
  2. Artis yang dijemput mempunyai imej dan keterampilan yang sopan dan sederhana.
  3. Personaliti dan latar belakang artis yang baik seperti tidak merokok atau tidak mengambil dadah.
  4. Artis tidak terpalit dengan kontroversi yang menjejaskan maruah mereka dan bersih dari sebarang kes jenayah.
  5. Lirik, lagu dan muzik yang dibawa pula, tidak keterlaluan, sederhana dan sesuai dengan norma tempatan.
  6. Tiada jemputan penonton ke pentas untuk menyanyi dan mengambil bahagian dalam persembahan.
  7. Persembahan artis wanita untuk tontonan wanita sahaja, dan
  8. Pengasingan penonton mengikut jantina.

Alasan biasa yang dikemukakan oleh pihak penganjur menjemput para penyanyi dan penghibur adalah kerana mahu menarik ramai pengunjung datang ke program yang mereka anjurkan. Dengan jumlah pengunjung yang ramai, maka akan terjuallah barang dagangan para pengerai dan program menjadi meriah. Kita tidak sama sekali menafikan bahawa tiada penjual yang mahu rugi. Sudah tentu mereka inginkan barang mereka laris terjual. Tetapi apakah kita perlu bertindak sehingga mengadaikan prinsip dan melanggar norma, budaya dan syariat Allah SWT semata-mata ingin mengejar keuntungan?

Kita sedar dengan risiko kerugian para peniaga jika tidak ramai pengunjung yang datang, lalu menjemput artis sebagai daya penarik. Namun, menjadi tanggungjawab kita untuk membuat penilaian sewajarnya terhadap artis yang ingin diundang, agar seboleh-bolehnya, dengan sepenuh kemampuan, untuk mengurangkan atau meminimakan kemudharatan dan kerosakan (fasad) yang akan berlaku terhadap agama dan akhlak.

Dalam hal ini, syarak telah menetapkan kaedah; الضَّرَرُ يُدْفَعُ بقدر الإمكان yang bermaksud “Kerosakan perlu dihalang dengan kadar kemampuan”.

Pusat Islam UTM sebagai jabatan yang diberi amanah untuk memastikan setiap nyanyian dan persembahan, agar selari dengan syarak dan mematuhi dasar ini. Sehubungan itu, pihak penganjur perlulah cakna dan perihatin terhadap perkara ini.

Bukanlah Pusat Islam ingin menghalang kreativiti dan kemahuan warga UTM dalam aspek hiburan. Tetapi sebagai sebuah institusi akademik yang menjunjung ketinggian ilmu dan keluruhan budi pekerti yang tinggi, marilah kita sama-sama menjadikan UTM sebagai sebuah pusat pengajian tinggi yang ulung dari sudut akademik, penyelidikan dan warga yang bersahsiah mulia. Kita tidak mahu UTM dikenali kerana keterbukaannya kepada gaya hidup hiburan melampau atau hendonisme.

Selain itu, syarat utama dalam memberi kelulusan sesuatu program hiburan, kebudayaan dan kesenian, adalah memastikan program utama dan program/aktiviti dibawahnya tidak mempunyai unsur-unsur syirik dan khurafat yang boleh menjejaskan akidah Islam. Perkara ini penting kerana kita tidak akan berkompromi dengan unsur pemujaan dewa, jin, makluk halus dan syaitan yang terdapat dalam sesuatu program/aktiviti kesenian dan kebudayaan. Ketegasan ini berasas kerana Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 18 Februari 2009 telah mengharamkan Permainan Kuda Kepang, walaupun Kuda Kepang menjadi salah satu ikon kebudayaan Negeri Johor kerana disifatkan mempunyai unsur khurafat dan berkaitan dengan jin.

Menjadi syarat penting juga berkaitan dengan masa dan waktu sesuatu program yang dijalankan. Contohnya, program/aktiviti bukan dilangsungkan pada malam Jumaat dan hari atau malam kebesaran Islam seperti bulan Ramadhan dan Isra’ Mikraj. Dalam hal ini, Pusat Islam juga mengambil kira kesesuaian program/aktiviti yang dijalankan sewaktu UTM berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan cabaran menangani Covid19. Waktu inilah kita dianjurkan memperbanyakkan doa dan munajat agar Allah SWT melindungi kita dari bahaya wabak dan kesukaran. Maka program/aktiviti yang tidak memenuhi aspirasi ini wajarlah dihentikan.

Pusat Islam sentiasa menyedari kepentingan menghormati budaya, agama dan kesenian kaum-kaum lain. Ini dibuktikan dengan program/aktiviti yang telah banyak dianjurkan seperti Forum Silang Budaya dan Agama, Aktiviti Lawatan ke Rumah Ibadah, Charity Corner Untuk Semua dan banyak lagi. Namun demikian, kita tidak dapat bersetuju dengan program/aktiviti yang mempromosikan unsur liberalisme dan pluralisme agama melalui kesenian, kebudayaan dan hiburan.

Adalah sesuatu yang menyedihkan jika keunggulan dan kehebatan UTM dicemari dengan kontroversi yang melibatkan persembahan yang tidak sesuai. Jika terpaksa menganjurkan aktiviti hiburan sekalipun, pilihlah yang paling sederhana, yang bersesuaian dengan norma dan budaya kita di menara gading. Apa yang lebih penting, ia tidak sampai menjejaskan akidah dan melangar syariat Allah SWT.

Maka marilah kita sama-sama membentengi UTM ini agar mesra kepada budaya ilmu dan akhlak mulia. Marilah kita imarahkan bumi UTM ini dengan majlis ilmu, zikir dan fikir untuk memantapkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Takutlah kita kepada peringatan Nabi Muhammad SAW berkaitan penganjuran aktiviti dan program:

مَنْ سَنَّ فِـي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً، فَلَهُ أَجْرُهَا وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُوْرِهِمْ شَيْءٌ، وَمَنْ سَنَّ فِـي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِـّئَةً، كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهَا وَوِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ

Maksudnya: “Barangsiapa yang memberi teladan (contoh) perbuatan yang baik, ia akan mendapatkan pahala perbuatan tersebut serta pahala orang yang mengikutinya (sampai hari kiamat) tanpa mengurangi pahala mereka sedikit pun. Dan barangsiapa yang memberikan contoh kejahatan, maka ia akan mendapatkan dosa perbuatan tersebut serta dosa orang-orang yang mengikutinya (sampai hari kiamat) tanpa mengurangi dosa mereka sedikit pun.” (HR Muslim)

Firman Allah SWT;

وَمَا هَـٰذِهِ ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَآ إِلَّا لَهۡوٌ۬ وَلَعِبٌ۬‌ۚ وَإِنَّ ٱلدَّارَ ٱلۡأَخِرَةَ لَهِىَ ٱلۡحَيَوَانُ‌ۚ لَوۡ ڪَانُواْ يَعۡلَمُونَ

Maksudnya: “Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat.” (Surah al-Angkabut, 29: 64)

Explore More