November 22, 2024

Search
Close this search box.

Bersama kita menjulang

Keunggulan terbilang

Ke mercu jaya kita usaha

UTM puncak letaknya

Martabat keilmuan

Cendekiawan beriman

Cekal bersama takwa

Menara cita-cita

Sebagai warga UTM, bait lirik lagu Keunggulan Terbilang ciptaan Tamjis Kastiran dan susunan lagu ciptaan Hamzah Ibrahim ini sememangnya tidak asing lagi. Namun begitu, Keunggulan Terbilang ini sepatutnya bukan sekadar dinyanyikan di upacara-upacara rasmi UTM, tetapi ia sepatutnya dihayati dan ditelusuri bait-baitnya dalam membentuk warga UTM yang beriman, bertakwa dan beramal dengan ilmu yang diperoleh.

Untuk tujuan pembentukan warga UTM yang beriman dan bertakwa, maka mahu tidak mahu pengisian program pembangunan pelajar berbentuk kerohanian sewajarnya perlu terus diperkasakan.

Quran Time merupakan antara program sinergi yang baik antara Pusat Islam UTM bersama biro-biro kerohanian JKM kolej-kolej kediaman.
Sinergi Pusat Islam UTM dan kolej kediaman diterjemahkan menerusi penganjuran program berbentuk dialog harmoni merentas agama.

Dalam memperkasakan program-program berbentuk kerohanian ini, Pusat Islam UTM dilihat sebagai rujukan utama dalam merencana perancangan dan pelaksanaannya.

Namun, institusi atau pusat tanggungjawab yang lain seharusnya tidak menyerahkan dan mengharapkan bulat-bulat kepada Pusat Islam UTM semata-mata. Seharusnya, sinergi dan kerjasama perlu ditingkatkan. Antara contoh sinergi yang terbina adalah melalui program Quran Time, di mana Pusat Islam UTM telah menjalinkan kerjasama dengan Biro-Biro Kerohanian Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) kolej-kolej kediaman. Inisiatif ini sememangnya ditunggu-tunggu oleh warga UTM terutama mahasiswa dan mahasiswi yang sentiasa dahagakan ilmu Al-Quran, sekaligus mempersiapkan diri menjadi generasi teknokrat yang beriman dan bertakwa.

Pengisian ilmiah, Halaqah Ilmu Bulanan antara program berbentuk kerohanian yang dianjurkan di KTHO.
Inisiatif yang baik daripada JKM KTHO yang menganjurkan bengkel pemantapan ilmu tajwid.

Era pandemik Covid-19 yang mencabar ini seharusnya tidak dijadikan alasan untuk tidak menganjurkan program-program berbentuk kerohanian. Mengambil contoh Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Hussein Onn (JKM KTHO), mereka telah mengambil inisiatif yang baik dalam menganjurkan program-program kerohanian berkonsepkan pengisian ilmiah seperti Halaqah Ilmu Bulanan, Bicara Ilmiah, Forum Bicara Empat Penjuru, di samping program pemantapan ilmu tajwid. Malah, semasa UTM berada dalam tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) sewaktu bulan Ramadan, solat tarawih berjemaah juga dilaksanakan di peringkat kolej dengan pematuhan operasi prosedur standard (SOP) penjarakan fizikal yang ketat.

Penganjuran solat tarawih berjemaah di KTHO mengikut prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal.

Seharusnya, sebagai anak kandung UTM, kita seharusnya menjadi lebih ke hadapan dalam merancang dan melaksanakan program-program kerohanian, yang mana impaknya mampu membentuk karakter mahasiswa dan mahasiswi untuk lebih berakhlak, bermaruah dan berbudi bahasa seiring teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W, para sahabat baginda, tabi’in dan tabi’ tabi’in. Semoga bumi UTM kekal meriah dengan alunan ayat suci Al-Quran, zikrullah dan selawat sekaligus menjadi azimat dan penguat jatidiri warganya. Sesungguhnya, bumi UTM rimbun bernaung ini lebih mendambakan majlis-majlis ilmu yang dinaungi para malaikat agar semua warganya beroleh rahmat.

‘Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.’

(Surah Ali Imran, ayat 133)

Explore More