April 25, 2024

Search
Close this search box.

Kenyataan Rasmi UTM : Pelaksanaan PKPD UTM Johor Bahru

KENYATAAN RASMI
UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA
PELAKSANAAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN DIPERKETAT (PKPD)
UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA (UTM), JOHOR BAHRU

Sebagaimana arahan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) akan dilaksanakan di UTM berkuat kuasa mulai 21 Mei 2021 sehingga 3 Jun 2021. Keputusan ini dibuat berikutan penularan kes jangkitan COVID-19 di dalam kampus UTM Johor Bahru. 

2.     Pelaksanaan PKPD di kampus UTM Johor Bahru ini adalah selaras dengan Seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.  Pelaksanaan PKPD ini adalah untuk memudahkan KKM menjalankan pengesanan awal kes COVID-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin serta menyekat penularan jangkitan ke kawasan luar sebagaimana kenyataan media Menteri Kanan Pertahanan pada 19 Mei 2021.

3. Sehubungan dengan itu, perkara-perkara berikut juga adalah turut perlu dipatuhi warga UTM;

(i)     Semua operasi fizikal di dalam kampus adalah TIDAK DIBENARKAN sepanjang tempoh ini; 

(ii)    Staf adalah diminta untuk Bekerja Dari Rumah (BDR) sepanjang tempoh ini. Hanya staf Pusat Kesihatan Universiti DIBENAR untuk bertugas dari kampus;

(iii)   Pintu pagar utama hanya akan dibuka sehingga jam 5.00 petang, 20 Mei 2021 untuk sebarang urusan penutupan pejabat;

(iv) Pelajar TIDAK DIBENARKAN keluar dari kampus berkuatkuasa serta merta. Perkhidmatan penghantaran makanan sehingga jam 10 malam, 20 Mei 2021 ;

(v)   Kawalan pergerakan terdahulu kepada tiga (3) kolej iaitu Kolej Datin Seri Endon (KDSE), Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI) dan Kolej Tun Hussien Onn (KTHO) akan DILANJUTKAN sehingga 20 Mei 2021.  Walau bagaimanapun, bermula 21 Mei hingga 3 Jun 2021 keseluruhan kampus UTM Johor Bahru merangkumi Kolej Tun Hussein Onn (KTHO), Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI) dan Kolej Datin Seri Endon (KDSE) adalah tertakluk kepada arahan PKPD di bawah MKN;

(vi)   Hanya pintu pagar utama universiti (Pintu 1) sahaja yang akan digunakan sepanjang PKPD;

(vii)  Staf yang bertugas dalam perkhidmatan perlu (essential services) PERLU tinggal di dalam kampus selama tempoh PKPD.

(viii)  Kafeteria dan kedai di dalam kampus dibenarkan beroperasi sehingga 10 malam, 20 Mei 2021. Kafeteria dan kedai akan DITUTUP sepanjang PKPD.

4.     Mulai 21 Mei 2021, kawalan di kampus akan diambil alih sepenuhnya oleh MKN. Segala keperluan dan kebajikan staf dan pelajar yang tinggal di dalam kampus akan diuruskan oleh MKN.

Kebajikan warga UTM, terutamanya pelajar dan staf yang berada di dalam kampus adalah prioriti. Seluruh warga universiti adalah dinasihatkan untuk kekal tenang, patuhi SOP yang dikeluarkan MKN dan KKM, serta tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan penularan wabak ini. Perkembangan terkini kes COVID-19 di UTM dimaklumkan secara harian melalui emel. Selain itu, peringatan amalan SOP juga dihebahkan dari semasa ke semasa melalui semua medium hebahan rasmi universiti.  

Bersama-sama kita berdoa agar urusan dipermudahkan.

Pengerusi                                                                                                                                     
Pasukan Emergency Response Team (ERT)                                                                          
Universiti Teknologi Malaysia                                                                                                        
UTM Johor Bahru                                                                                                                                  
19 Mei 2021

Explore More