📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengiktiraf 96 graduan kepimpinan pelajar dalam Majlis Apresiasi Graduan Kepimpinan Pelajar UTM 2026. Majlis itu meraikan sumbangan dan dedikasi pelajar dalam bidang kepimpinan dan mengiktiraf komitmen, dedikasi dan sumbangan mereka sepanjang menggalas amanah dalam organisasi kepimpinan pelajar.
JOHOR BAHRU, 15 November 2026 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mengiktiraf sumbangan dan dedikasi pelajar dalam bidang kepimpinan menerusi penganjuran Majlis Apresiasi Graduan Kepimpinan Pelajar UTM 2026 yang berlangsung di Hotel Grand Paragon, Johor Bahru, bersempena dengan Majlis Konvokesyen UTM Ke-70.
Majlis yang menghimpunkan barisan pengurusan universiti, graduan kepimpinan, ibu bapa serta ahli keluarga itu meraikan seramai 96 penerima Anugerah Graduan Kepimpinan UTM 2026 merupakan penghargaan universiti terhadap komitmen, dedikasi dan sumbangan mereka sepanjang menggalas amanah dalam organisasi kepimpinan pelajar sepanjang tempoh pengajian.
Wakil kepimpinan graduan, Muhammad Hazim bin Azatul Amery, dalam ucapannya berkongsi pengalaman serta pengajaran sepanjang menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin pelajar.

Menurutnya lagi, pengalaman mengurus organisasi, merancang program, menyelesaikan konflik dan membuat keputusan merupakan antara proses pembelajaran yang membentuk kematangan, tanggungjawab serta keupayaan memimpin. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa, pensyarah, penasihat, pegawai universiti, jurulatih dan mentor yang menjadi sebahagian daripada perjalanan kepimpinan pelajar di UTM.
Mengambil inspirasi daripada pesanan bapanya, beliau mengingatkan rakan-rakan graduan agar sentiasa merendah diri dan tidak melupakan tanggungjawab untuk menyumbang kepada orang lain.
“Jadilah insan yang tidak pernah berhenti belajar, pemimpin yang sentiasa merendah diri, dan individu yang tidak pernah lupa untuk memberi kembali kepada ibu bapa, keluarga dan masyarakat,” ujar Hazim.
Perkongsian tersebut turut membawa kepada pengertian kepimpinan yang lebih luas apabila Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar, dalam ucapannya mengingatkan graduan bahawa kepimpinan tidak seharusnya diukur berdasarkan jawatan, gelaran atau populariti, sebaliknya melalui impak dan sumbangan seseorang kepada orang lain.

“Ilmu menjadikan kamu berupaya, adab menjadikan kamu insan,” kata beliau sambil mengingatkan para graduan agar mencontohi resam padi, semakin berisi semakin tunduk.Â
Tambah beliau lagi, nilai adab ini selaras dengan aspirasi UTM ASCEND 2030 yang mahu melahirkan graduan bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah berdaya fikir tinggi, berintegriti dan berupaya memimpin perubahan. Graduan juga diseru agar tidak sekadar mencari peluang, tetapi berani mencipta peluang serta terus menyumbang kepada masyarakat.
Beliau turut mengingatkan bahawa jawatan mempunyai tempoh, namun walaupun selepas tamat pengajian, para graduan diseru agar terus membawa nama baik UTM melalui tindakan dan sumbangan, termasuk kembali menyumbang kepada universiti sebagai alumni.
Penerima anugerah terdiri daripada pelajar yang pernah menyumbang dalam pelbagai organisasi kepimpinan, termasuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Jawatankuasa Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (JPMPP), Majlis Tertinggi Kelab dan Persatuan serta Majlis Tertinggi Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP). Penyampaian anugerah dalam tiga sesi itu disempurnakan oleh Profesor Ir. Dr. Rubita Sudirman, Profesor Ts. Dr. Abd. Latif Saleh dan Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar.


Pengalaman dan penglibatan dalam organisasi berkenaan memberi ruang kepada pelajar untuk mengasah kemahiran komunikasi, kerja berpasukan, pengurusan organisasi dan pembuatan keputusan. Pengalaman tersebut turut menjadi bekalan penting untuk mereka melangkah ke alam pekerjaan dan memainkan peranan sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab.
Penganjuran majlis ini mencerminkan komitmen UTM dalam mengiktiraf kepimpinan pelajar sebagai sebahagian daripada proses pembangunan graduan secara holistik, bukan sahaja melalui pencapaian akademik, malah melalui pembentukan sahsiah, integriti dan keupayaan memimpin.
Tahniah kepada kesemua 96 graduan kepimpinan UTM 2026. Semoga pengalaman dan bakti yang dicurahkan terus menjadi legasi bermakna serta inspirasi kepada generasi pemimpin pelajar seterusnya.
Oleh: Sharmini Devi Kaledahs & Nazratul Hazirah Rushdan