Mei 9, 2024

Search
Close this search box.

Latihan Industri di SITC iHumEn Dedah Pelajar Dengan Pengalaman Berharga Bidang Sukan 4.0

Pelajar yang Menjalani Latihan Industri di Pusat Inovasi dan Teknologi Sukan UTM (SITC iHumEn) timba pengalaman berharga dalam sukan 4.0 dan bersedia sebarkan dan kembangkan ilmu yang dipelajari kepada komuniti masyarakat dan negara

PENGENALAN

Latihan industri merujuk kepada penempatan pelajar selama minimum dua puluh (20) minggu di organisasi luar untuk mengalami dan menerapkan pengetahuan mereka secara teori dalam pekerjaan profesional. Hal ini juga bertujuan agar pelajar mendapat pendedahan dalam setiap aspek kehidupan kerjaya – sosial, budaya, interaksi dan tingkah laku kerja.

Pusat Inovasi dan Teknologi Sukan telah menerima pelajar latihan industri selama tiga tahun bermula tahun 2018 sehingga sekarang. Bermula tahun 2018, seorang pelajar latihan industri daripada Sekolah Komputeran telah menjalani latihan industri. Pada tahun 2019, seramai 4 orang pelajar Sekolah Komputeran telah menjalani latihan industri di SITC dan kini seramai 2 orang pelajar Sekolah Komputeran sedang menjalani latihan industri di SITC bermula pada tahun 2020.

Justeru, perkembangan ini adalah satu tanda positif yang baik di mana pelajar dari bidang yang berlainan iaitu Sekolah Komputeran menjalani latihan industri di bawah Sports Innovation and technology centre UTM. SITC UTM telah memberi sumbangan yang bermakna dalam bidang baharu iaitu Sukan 4.0 seiring arus industri revolusi 4.0. Pelajar dan staff SITC UTM berganding bahu dan bertanggungjawab memastikan projek inovasi dan teknologi sukan berjaya dijalankan di Malaysia.

SEJARAH PROJEK LATIHAN INDUSTRI DI SITC

Pelajar yang menjalani latihan industri akan diberikan pelbagai jenis tugasan dan tanggungjawab yang berkaitan dengan jurusan komputeran. Ia bergantung kepada pelajar tersebut dari bidang apa dan projek yang di berikan akan berkaitan bidang masing masing. Setiap pelajar perlu menyediakan satu projek utama yang berkaitan SITC sebagai projek latihan industri mereka.

Mereka diberikan kebebasan untuk memilih tajuk projek utama. Pelajar-pelajar ini juga perlu membentangkan status projek mereka kepada penyelia LI sepanjang minggu, ini bagi membolehkan aktiviti tersebut dipantau dan berjaya disiapkan mengikut tempoh masa yang diberikan.

Pada sesi 2018/2019, saudara Muhammad Syafik bin Rahmat telah membangun aplikasi mudah alih yang bertajuk “Pembangunan Aplikasi Mudah Alih bagi Tempahan Makmal Menggunakan Ionic”. Seterusnya pelajar LI pada sesi kedua pula menjalankan projek utama yang bertajuk “Innovative Information System using Immersive Technology for Sports Innovation & Technology Centre” dibangunkan oleh saudari Amira Hani binti Abd Latif dan saudari Athirah binti Mohd Lazim dan projek “Sports Innovation & Technology Centre Lab & Room Booking System” telah dibangunkan oleh saudari Nazwa Binti Ahmad dan Nazatul Asyikin binti Mohammad Akhir pada latihan industri sesi 2019/2020. Semua projek ini di bawah penyelian Ts Dr Hadafi Fitri bin Mohd Latip.

GAMBAR 1 : POSTER PELAJAR-PELAJAR YANG TELAH BERJAYA MENJALANI LATIHAN INDUSTRI DI SITC UTM

 FACIAL EMOTION RECOGNITION FOR ATHLETES

Projek ini dibangunkan oleh saudari Anisah Farhati binti Amin Khalid pelajar latihan industri sesi 2020/2021 di bawah penyeliaan Ts Dr Hadafi Fitri bin Mohd Latip. Objektif utama projek ini adalah untuk membantu jurulatih mengesan dan memantau emosi atlet mereka sebelum, semasa dan selepas menjalani latihan atau kejohanan. Emosi atlet semasa latihan dan petandingan adalah sangat penting untuk memastikan atlet memberikan sepenuh perhatian dan menentukan prestasi mereka.

Peralatan yang diperlukan untuk projek ini ialah kamera dan komputer riba. Kamera akan dipasang dan disambungkan kepada komputer riba yang mempunyai aplikasi ini. Aplikasi ini akan mengesan riak wajah atlet dan memproses ramalan emosi yang dikeluarkan oleh riak wajah atlet yang dirakam melalui kamera. Semua data akan disimpan untuk kegunaan masa akan datang. Projek ini masih di dalam proses pembangunan.

Projek ini merupakan kesinambungan projek PSM 1 di bawah bimbingan penyelia utama PSM 1 iaitu Dr Farhan bin Mohamed daripada Sekolah Komputeran. Pada permulaannya, skop projek PSM 1 adalah lebih umum dan tidak merangkumi kepada apa-apa jenis profesion. Namun begitu, kata sepakat telah dicapai melalui perbincangan bersama penyelia latihan industri dan penyelia PSM untuk menukar skop projek kepada subjek yang lebih terperinci iaitu spesifik kepada face recognition atlet.

GAMBAR 2 : QR CODE YOUTUBE VIDEO PROJEK DAN CONTOH INTERFACE PROJEK FACE RECOGNITION

STRESS MANAGEMENT APPLICATION FOR ATHLETES

Pada sesi 2020/2021 projek sedang dibangunkan oleh saudari Nurhafiyah Hazwani binti Haris Fadzillah pelajar latihan industri daripada Sekolah Komputeran. Projek ini diselia oleh Ts Dr Hadafi Fitri bin Mohd Latip. Objektif utama projek ini ialah membantu atlet dalam pengurusan tekanan dan membantu jurulatih mengesan tahap tekanan atlet mereka. Atlet dan jurulatih hanya memerlukan telefon bimbit yang mempunyai talian internet kerana aplikasi ini merupakan sebuah aplikasi mudah alih dan friendly users.

Aplikasi ini membenarkan pengguna iaitu atlet untuk menjalani beberapa jenis ujian untuk menguji tahap tekanan mereka seperti ujian bertulis, ujian bunyi dan ujian ‘What happend next?’. Selain itu, atlet juga boleh mencari tempat-tempat yang mampu membantu mereka mengurangkan tekanan seperti tempat urut, spa dan pusat kaunseling yang berdekatan dengan mereka. Jurulatih pula boleh memeriksa keputusan ujian tekanan yang telah dijawab oleh atlet dan membantu atlet yang mengalami masalah. Walau bagaimanapun, aplikasi ini masih di dalam proses pembangunan yang di jangka akan siap pada bulan Februari 2021.

Projek latihan industri ini merupakan kesinambungan kepada projek PSM 1. Pada peringkat awal, fokus projek PSM 1 lebih umum dan tidak melibatkan atlet. Tetapi melalui hasil perbincangan bersama penyelia latihan industri dan penyelia PSM, persetujuan telah dicapai untuk menukar fokus projek ini kepada atlet dan jurulatih. Projek ini dibawah bimbingan penyelia Utama iaitu Dr Zuraifah Syazrah binti Othman daripada Sekolah Komputeran.

GAMBAR 3 : QR CODE YOUTUBE VIDEO PROJEK DAN INTERFACE PROJEK STRESS MANAGEMENT FOR ATHELETES APPS

BADMINTON ASIA PLANNER (BA PLANNER)

Projek ini di bawah seliaan Dr Najeb Jamaluddin dan sedang dibangunkan oleh saudara Mohd Afiq Ikmal bin Anis, pelajar latihan industri daripada Sekolah Komputeran, jurusan Kejuruteraan Perisian. Projek ini merupakan projek antara Persatuan Badminton Asia dan Pusat Inovasi dan Teknologi Sukan. Objektif utama projek ini untuk menaiktaraf sistem lama yang berasaskan Microsoft Excel kepada sistem baru iaitu sistem aplikasi mudah alih.

Fungsi utama BA Planner adalah untuk membolehkan pengguna yang merupakan Persatuan Badminton Asia memasukkan data untuk setiap negara di Asia mengikut senarai atau secara manual satu persatu. BA Planner akan menterjemahkan semua data dan memaparkannya dalam bentuk grafik. Applikasi ini boleh didapati di dalam dua versi iaitu versi android dan versi ios. Namun, projek ini masih di dalam proses pembangunan dan sedang dijalankan.

GAMBAR 4 : THE DIGIT PARTNERSHIP DAN INTERFACE PROJEK

PENUTUP

Setiap pelajar yang menjalani latihan industri di SITC didedahkan dengan pelbagai jenis pengalaman terutamanya di dalam aspek Sukan 4.0. Seiring dengan revolusi perindustrian 4.0, sukan 4.0 mempunyai konteks rapat dengan tiga domain teknologi iaitu fizikal, digital dan biologikal yang merentasi sembilan tonggak Industri 4.0, merangkumi simulasi dan realiti maya, industri Internet of Things (IoT), keselamatan siber, pengkomputeran awan, dan robot automasi. Pelajar boleh melakukan kajian dan menghasilkan projek yang berkaitan dengan Sukan 4.0 di SITC UTM.

Konklusinya, SITC UTM mengalu-alukan pelajar-pelajar daripada institusi pengajian tinggi untuk menjalani latihan industri di sini. SITC akan berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada anda daripada pelbagai aspek seperti fasiliti, dan pengalaman kerja. Diharapakan dengan pendedahan yang diberikan oleh SITC UTM, pelajar dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat pada masa akan datang.

Akhir kata, majulah sukan untuk negara.

YANG MENJALANKAN AMANAH.

Penulis Bersama

Ts Dr Hadafi Fitri Mohd Latip

(Timbalan Pengarah SITC UTM)

Nurhafiyah Hazwani binti Haris Fadzillah

(Pelajar Latihan Industri SITC IHUMEN UTM)

Anisah Farhati binti Amin Khalid

(Pelajar Latihan Industri SITC IHUMEN UTM)

Explore More