SIMPANG RENGGAM, 19 Dis. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) amat prihatin dengan situasi semasa dan memandang serius akan peningkatan kes positif Covid-19 di serata Malaysia.
Selaras dengan misi UTM Mensejahterakan Kehidupan, inisiatif prihatin UTM ini dizahirkan dengan mewujudkan UTMShield, projek yang diinspirasikan khas untuk menggalakkan penyelidik menghasilkan inovasi mengikut kepakaran untuk membantu petugas barisan hadapan dalam memerangi pandemik Covid-19.
Projek UTMShield telah bermula sejak fasa pertama pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sehingga kini, UTM telah menghasilkan beberapa peralatan seperti 3D face shield, hand sanitizer, facemask strap, ventilator, robot penghantaran Mak Cik Kiah 19 dan aplikasi “Jejak Johor”.
Terbaharu, sejumlah 1,000 unit aerosol intubation box bernilai RM200,000.00 telah diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Majlis Penyerahan Sumbangan UTMShield yang telah dihadiri oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Yang Berhormat Dato’ Sri Dr Adham bin Baba bertempat di Dewan Muafakat Simpang Renggam untuk edaran ke hospital sekitar Johor.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi bin Ismail, barisan Exco Johor dan beberapa Pengarah Hospital sekitar Johor.
Dalam majlis tersebut, YBM Dato’ Sri Dr Adham secara simboliknya menyerahkan aerosol intubation box kepada Pengarah Hospital untuk edaran ke hospital di sekitar Johor.
Edaran ini akan dijalankan dengan kerjasama Hospital Sultanah Aminah (HSA) melalui Jawatankuasa Ahli Lembaga Pengarah HSA yang bertanggungjawab untuk pengedaran ke hospital yang memerlukan di Johor.
Aerosol Intubation Box ini merupakan hasil kerjasama pensyarah UTM, Dr Wong Tuck Whye bersama Dr Hsien Yung Lai dari Taiwan.
Ianya digunakan oleh para petugas perubatan semasa proses intubasi ke atas pesakit-pesakit kritikal yang disyaki atau dijangkiti virus COVID-19.
Dengan adanya kotak ini, petugas perubatan akan terlindung daripada percikan air pesakit (air liur, batuk, bersin) yang akan membawa risiko jangkitan kepada petugas tersebut.
Majlis ini dianggap sebagai penutup tirai terbaik projek UTMShield tahun ini dan diharap akan lebih banyak lagi kerjasama seperti ini dapat dijalankan agar UTM dapat terus menyumbang kepada petugas barisan hadapan pada masa hadapan.