Disember 28, 2024

Pada bulan Mac 2020, kita telah dikejutkan dengan satu pengumuman penting oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan perintah kawalan pergerakan berikutan pandemik COVID-19 yang telah menyerang dunia. Rakyat disarankan untuk duduk di rumah dan membiasakan diri dengan norma baru apabila keluar rumah.

Justeru, Kelab Iqra’, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengambil inisiatif untuk menganjurkan sebuah program atas talian yang akan memberi manfaat kepada mahasiswa UTM walaupun tidak bersemuka. Program usrah atas talian yang diberi nama “Usrah Heart2Heart” telah berjaya dilaksanakan pada 7 Jun 2020 sehingga 31 Ogos 2020.

Program yang dianjurkan hasil kerjasama daripada Belia Harmoni dan Kelab Hikmah UTM telah mendapat sambutan daripada warga UTM amnya. Seramai 31 orang peserta yang terlibat merangkumi enam orang murobbi dan 25 orang peserta.

Program dimulakan dengan pengenalan dan bacaan Al-Quran. Kebiasaannya, setiap peserta akan melakukan tilawah bagi beberapa ayat Al-Quran. Kemudian, murobbi akan melakukan pembentangan bahan yang dipilih untuk dibincangkan pada minggu tersebut. Sejurus selepas itu, perbincangan dilakukan antara ahli kumpulan.

Program akan ditamatkan pada jam 11.00 malam. Aturcara yang sama digunakan bagi setiap kali perjumpaan dengan pelbagai pengisian topik yang berbeza bagi setiap minggu.

Selaku yang bertanggungjawab dalam unit modul (penyediaan bahan), saudara Muhammad Haqqul Yaqin bin Mohd Jelani telah membuat modul untuk kegunaan murobbi sepanjang program berlangsung. Antara topik yang dibincangkan ialah isu budaya meniru dalam kalangan pelajar dan bagaimana Islam relevan dalam menyelesaikannya.

Budaya meniru bukanlah sesuatu yang patut diteruskan kerana meniru adalah salah di sisi undang-undang dan agama. Sikap tidak jujur ini tidak boleh diterapkan dalam diri kerana sikap ini akan sebati dalam diri kita sehingga terbawa kepada kehidupan seharian kita. Hal demikian akan memusnahkan reputasi kita sebagai mahasiswa Islam.

Sebagai seorang mahasiswa, pegangan agama yang kukuh menjadikan kita manusia yang lebih bersyukur dan berakhlak mulia. Oleh itu, pembelajaran adalah proses untuk kita mendapatkan ilmu dan peringatan untuk terus istiqamah dalam menuju kehidupan yang lebih diberkati.

Kejayaan seseorang bukanlah diukur daripada pencapaian harta benda semata-mata, malah kebahagian hati adalah yang terutama. Mahasiswa yang menguruskan masa dengan baik mampu menjadi graduan yang cemerlang pada masa akan datang kerana di alam universiti, banyak perkara yang kita dapat belajar.

Sebagai contoh, kemahiran berfikir, kemahiran komunikasi, sikap jujur, amanah dan tangungjawab dapat diperoleh dengan menyertai program dan kelab di universiti. Justeru, mahasiswa perlu mencari ilmu dan pengalaman supaya alam universiti ini mampu mengubah kita menjadi manusia yang lebih baik daripada sebelumnya.

Program Usrah Heart2Heart ini bermatlamat untuk melahirkan mahasiswa UTM yang harmoni dan berpengetahuan agama. Ilmu yang disampaikan sepanjang program sedikit sebanyak membantu peserta untuk menambahkan pengetahuan tentang agama Islam. Perbincangan yang dilakukan dapat memberi pencerahan untuk segala persoalan yang terbuku di hati.

Peserta mendapat ilmu tambahan selain ilmu formal yang dipelajari sepanjang di UTM. Maka, mahasiswa lebih bersedia untuk menggunakan ilmu formal seperti sains, teknologi dan kejuruteran, dan pengetahuan agama yang dipelajari untuk kemakmuran dan kesejahteraan sejagat.

Program yang berakhir pada 31 Ogos 2020 ini telah diketuai oleh saudara Muhammad Zarif Aiman bin Amir Hamzah. Beliau mengucapkan ribuan terima kasih dan segulung tahniah kepada senua yang terlibat dalam pelaksanaan program ini.

Explore More