Disember 22, 2024

Sebanyak tiga buah gerai makanan dari Arked Makanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah terpilih untuk menerima sijil pengiktirafan Kafe BeSS dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Perkataan BeSS yang bermaksud ‘Bersih, Selamat dan Sihat’ diberikan kepada pengusaha premis makanan di Arked Makanan untuk mengiktiraf dan menggalakkan mereka supaya menyediakan makanan yang sihat dan selamat kepada pelanggan.

Penolong Jurutera (Kluster Perkhidmatan), Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Ahmad Fadly Samsuri berkata penganugerahan sijil ini adalah satu program penambahbaikan terhadap program pemantauan sedia ada yang dilaksanakan oleh KKM.

“Secara umumnya, terdapat empat kriteria utama yang perlu dipatuhi oleh pengusaha premis makanan bagi mendapatkan pengiktirafan ini iaitu pengekalan kebersihan premis jualan, penyediaan makanan yang sihat dan selamat serta penyediaan makanan dalam saiz hidangan yang betul mengikut keperluan individu. Pengiktirafan ini juga melibatkan keselamatan dan kualiti makanan serta komponen pemakanan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai pemberian sijil pengiktirafan ini, Ahmad Fadly berkata pihak pengurusan ‘Business Outlet’, Kluster Perkhidmatan, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM sentiasa memandang serius ke arah penyediaan perkhidmatan makanan yang berkualiti tinggi di premis sewaan milik UTM.

“Kami sentiasa memberikan galakan yang serius kepada penyewa premis jualan makanan UTM dalam menyediakan makanan yang bukan sahaja selamat dan sihat malah premis yang bersih dan kondusif untuk semua.

Dengan pengiktirafan ini, ia sedikit sebanyak dapat meningkatkan mutu kebersihan, keselamatan dan kesihatan dalam aspek penyediaan makanan di premis sewaan UTM,” katanya lagi.

Menurut Ahmad Fadly lagi, Unit ‘Business Outlet’ juga komited ke arah melaksanakan pengiktirafan BeSS ini secara menyeluruh di masa akan datang di samping pengiktirafan lain yang lebih spesifik dan akan dikaji keberkesanannya seperti Kafeteria Sihat dan Persijilan Halal.

Setakat ini, seramai tiga pengusaha makanan yang menyewa premis makanan UTM telah diberikan sijil pengiktirafan BeSS oleh KKM iaitu dua pengusaha dari Arked Meranti dan satu pengusaha dari Kafeteria P19.

Terdapat beberapa pengusaha lain yang telah mengisi borang pendaftaran Kafe BeSS dan akan dinilai oleh Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Kulai untuk proses saringan sebelum dianugerahkan sijil BeSS ini.

 

Ketiga-tiga pengusaha makanan di Arked Makanan UTM menerima sijil masing-masing dari KKM melalui Pengarah Pusat Kesihatan UTM, Dr. Nor’Ashikin Sharif.

Explore More