Demi meneruskan agenda pemerkasaan budaya penyelidikan di kalangan ahli dalam kumpulan penyelidikan atau research group (RG), satu retreat dan perbincangan halatuju strategik RG Royal Belum-Temengor (RB-T), Fakulti Teknologi dan Informatik Razak (FTIR), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah dijalankan pada 10 hingga 12 Ogos 2020 bertempat di Kem Pulau Tujuh, Temengor, Gerik, Perak.
Perjalanan daripada Kampus UTM Kuala Lumpur ke Gerik yang mengambil masa selama enam jam telah disertai oleh kesemua lima ahli iaitu Dr. Mohd Nabil Muhtazaruddin, Dr. Khamarrul Azahari Razak, Prof. Madya Dr. Shamsul Sarip, Dr. Rozaimi Che Hasan dengan diketuai oleh Dr. Khairul Hisyam Kamarudin (Ketua RB-T RG).
Retreat ini juga menjadi lebih bermakna dengan kehadiran penasihat dan mentor kumpulan iaitu Prof. Dr. Awaluddin Mohd Shaharoun (mantan Dekan Sekolah Razak) yang kini menabur bakti bersama Universiti Islam Madinah.
Retreat selama 3 hari 2 malam dirangka bagi mencapai objektif utama iaitu memperkukuh ukhuwah dan semangat kerjasama di kalangan ahli RG dan merangka aktiviti-aktiviti yang relevan supaya dapat menggalakkan budaya penyelidikan sesama mereka untuk tahun 2020 dan 2021.
Antara aktiviti yang dilaksanakan sepanjang retreat adalah solat berjemaah, memasak bersama-sama dan sesi motivasi yang disampaikan oleh YBhg Prof. Awaludin. Pengisian yang turut dikongsikan oleh Prof. Awaludin adalah pengalaman beliau yang luas dalam aspek kolaborasi penyelidikan serta peluang-peluang yang perlu direbut oleh RG bagi mendepani suasana dunia akademik yang semakin mencabar.
Mesyuarat dan perbincangan untuk mengenal pasti aktiviti dan program relevan yang melibatkan ahli RG juga diadakan semasa retreat. Aktiviti pemetaan strategik yang diterapkan adalah dengan mengenal pasti aktiviti-aktiviti yang menjadi keutamaan (priority) dan aktiviti-aktiviti yang perlu disegerakan (urgent) sebagai sasaran jangka pendek. Manakala, aktiviti yang menjadi keutamaan namun belum perlu disegerakan pula dikenal pasti untuk sasaran jangka panjang.
Antara persetujuan yang dicapai adalah untuk menyiapkan sebuah “Coffee Table Book” dengan membabitkan penglibatan UTM di Royal Belum iaitu mengumpulkan segala maklumat berkaitan aktiviti para penyelidik UTM dari tahun 2013-2020. Keduanya adalah untuk menjalankan sesi webinar berkaitan “Royal Belum – Permata Biodiversiti Negara” dengan menjemput tokoh yang berkaliber sebagai penceramah.
Meskipun tahun 2020 ini ditempuhi dalam suasana yang begitu mencabar dengan ujian pandemik Covid-19 dan batasan pergerakan untuk penyelidikan di lapangan, tempoh berbaki sehingga Disember 2020 pastinya akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Kumpulan Penyelidikan RB-T untuk melaksanakan beberapa aktiviti yang dapat mengukuhkan penyelidikan di kalangan ahli RG khasnya, dan untuk manfaat kumpulan penyelidik yang lain amnya.
Disediakan oleh: Dr. Khairul Hisyam Kamarudin,
Ketua RB-T RG
UTM Kuala Lumpur