November 5, 2024

Search
Close this search box.

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) mencipta sejarah apabila buat julung kalinya melancarkan program Latihan Mengajar 2020 pada 5 Februari lalu.

Pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Dekan, Prof. Dr Zaidatun Tasir.

Menurut Prof. Zaidatun, pelancaran ini amat signifikan memandangkan FSSK mengambil pandangan terhadap kepentingan menghubungkan para pelajar secara terus dengan pihak pengurusan FSSK bagi mendapat input langsung tentang visi dan misi program Latihan Mengajar.

Dalam ucapan beliau juga, Prof. Zaidatun menyampaikan pesanan agar para guru pelatih UTM menjadi lebih berani dan yakin untuk berkomunikasi serta bekerjasama dengan pelbagai pihak di sekolah-sekolah terlibat. Ini termasuklah membina jaringan kerja yang lebih mantap antara guru pelatih dengan pengetua dan pentadbir sekolah selain mencipta perubahan kepada nasib para murid yang kurang berkemampuan dalam prestasi akademik.

“Para guru pelatih perlu menjadikan medan Latihan Mengajar 2020 sebagai platform kepada permulaan kerjaya sebagai seorang guru,” tambah beliau.

Pesanan ini melonjakkan pemikiran para guru pelatih kerana mereka kini dapat melihat program latihan mengajar bukan sekadar memenuhi keperluan pengajian, sebaliknya muncul sebagai faktor penting dalam mempersiapkan diri dengan realiti sebenar dalam alam pekerjaan.

Satu perkara yang menarik dalam program Latihan Mengajar 2020 ialah seramai 15 orang guru pelatih UTM akan menjalani program ini di Indonesia dengan kerjasama Universitas PGRI Semarang dan Universitas Lambung Mangkurat.

Ini bakal menjadikan guru pelatih UTM lebih terdedah kepada perbezaan budaya di luar negara dalam mempersiap jati diri mereka untuk menjadi graduan global.

“Sejajar dengan matlamat melahirkan graduan UTM yang bersedia menghadapi kehidupan atau Life-Ready Graduates, pelancaran program Latihan Mengajar 2020 mencipta satu sejarah baru buat FSSK.

Sehubungan itu, pelancaran program ini bakal menjadikan para guru pelatih UTM lebih bersedia menempuh pelbagai cabaran dengan membina diri yang lebih kental jiwa dan bijak memanfaatkan peluang untuk belajar menjadi guru pelatih yang kompeten,” tambah Prof Zaidatun lagi.

Semoga para guru pelatih UTM beroleh manfaat besar daripada pelancaran program Latihan Mengajar 2020 dengan menterjemahkan visi dan misi FSSK dalam menjadi pusat kecemerlangan sains sosial dan kemanusiaan yang diiktiraf oleh pelbagai pihak, melalui penghasilan graduan FSSK yang bijak segenap dimensi, ilmu, kemahiran, dan sikap, selari dengan hasrat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, dan seterusnya dapat mencurah jasa mendidik anak bangsa apabila mereka dalam alam pekerjaan kelak.

Dekan FSSK menyampaikan amanat kepada semua guru pelatih UTM.

Dekan dan pengurusan FSSK bersama-sama dengan guru pelatih UTM yang akan menjalani program Latihan Mengajar 2020 di Indonesia.

Kesemua guru pelatih UTM bergambar bersama Dekan dan pengurusan FSSK.

Explore More