Seramai 33 orang mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang mengikuti Kursus Budi Penyayang, Pusat Kursus Kokurikulum dan Pembelajaran Servis (CCSL) telah mengadakan program pertunjukan demo pembuatan sabun menggunakan sisa minyak masak terpakai kepada penduduk setempat di Mukim Sedili.
Program yang berlangsung di Taman Sinar Sedili itu bertujuan untuk mendidik serta membantu masyarakat setempat bagi menguruskan sisa minyak masak dengan menggunakannya untuk dijadikan sabun.
Wakil mahasiswa, Norashikin Hashim berkata selain menjaga kelestarian alam sekitar dari pencemaran yang diakibatkan oleh sisa buangan minyak masak terpakai ini, program ini juga bertujuan memberi kesedaran kepada penduduk mengenai bagaimana sisa ini boleh dikitar dan digunakan semula sebagai sabun.
“Dengan pengetahuan untuk mengitar semula bahan terbuang ini, kita juga berjaya mengurangkan kadar pembuangan sisa minyak ke dalam saluran-saluran perparitan yang akan menyebabkan berlakunya pencemaran air, tanah dan sebagainya.
Kebanyakan daripada penduduk di sini berasa sangat teruja kerana diberi peluang untuk melihat dan membuat sendiri sabun yang dihasilkan dari minyak masak terpakai,”katanya ketika ditemui selepas sesi demonstrasi pembuatan sabun itu.
Sementara itu wakil penduduk yang hanya dikenali sebagai Azman berkata beliau berasa sangat teruja untuk mencubanya sendiri dan bercita-cita untuk menjadikan pembuatan sabun ini sebagai salah satu punca pendapatan bagi penduduk di situ.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada UTM kerana sudi berkongsi satu ilmu baru yang amat berfaedah kepada penduduk setempat. Selain membangkitkan kesedaran untuk mengitar semula, kami juga boleh mengaplikasikan kemahiran ini bagi menjana sumber kewangan daripada ilmu ini,” katanya lagi.