November 22, 2024

Search
Close this search box.

Hentikan Tuduhan Tidak Berasas Terhadap Universiti Awam

KENYATAAN MEDIA

HENTIKAN TUDUHAN TIDAK BERASAS TERHADAP UNIVERSITI AWAM

Masyarakat perlu bijak dan adil dalam menilai sesuatu isu terutamanya yang menyentuh sensitiviti masyarakat seperti isu politik, kaum dan agama yang tersebar dalam pelbagai media bagi mengelakkan berlakunya perpecahan rakyat.

Isu-isu yang belum pasti sahih, tidak benar, berunsur provokasi atau berbaur fitnah yang tersebar luas akan mengakibatkan keresahan dan kacau bilau yang akhirnya mengganggu gugat kestabilan negara. Negara dan rakyat akhirnya yang akan rugi.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bertanggungjawab memainkan peranan dalam menjaga perpaduan dan keutuhan masyarakat dan negara.

Oleh itu universiti memandang serius terhadap penulisan artikel bertajuk Islamic Assault on Malaysia’s Higher Education pada 15 Januari 2020 yang disiarkan oleh portal Asia Sentinel adalah tidak benar, berbaur fitnah dan tidak beretika.

Kenyataan berkenaan pelantikan Naib Canselor (NC) dan Timbalan Naib Canselor (TNC) UTM berdasarkan keahlian IKRAM dan dilantik oleh YB Dr Maszlee Malik adalah tidak berasas.

NC UTM sedia ada adalah dilantik pada tahun 2013 oleh YB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memegang jawatan Menteri Pendidikan pada ketika itu, disambung oleh YB Dato’ Seri Idris Jusoh pada tahun 2016, dan kemudiannya disambung sekali lagi semasa era YB Dr. Maszlee pada tahun 2018.Manakala semua pelantikan dan penyambungan TNC UTM telah dibuat ketika Dato’ Seri Idris Jusoh menjadi Menteri Pengajian Tinggi.

Perlu ditegaskan bahawa pihak pengurusan UTM tidak pernah menjadikan universiti sebagai platform propaganda dan pendoktrinan negatif.

Warga universiti terdiri daripada ahli akademik yang bertauliah, pakar yang diiktiraf, dibarisi oleh pentadbir dan staf yang sentiasa berpegang utuh pada nilai teras utama iaitu integriti dan juga terdiri daripada berbilang kaum dan agama. Justeru penulisan tersebut adalah tidak berasas sama sekali.

Universiti Awam sentiasa memenuhi misi dan visi pendidikan tinggi negara, berkecuali dari politik dan selari dengan kerajaan semasa yang memerintah.

Pelan pendidikan negara melalui Malaysia Higher Education Blueprint terus dilaksanakan bagi memperkasakan pendidikan tinggi negara.

Jelas, universiti awam bukanlah platform pendoktrinan atau platform untuk menyebar propoganda oleh mana-mana pihak.

Semua pihak mempunyai hak yang sama untuk berkata sesuatu tetapi kebenaran adalah apabila sesuatu pernyataan yang dibuat adalah berpandukan asas yang tepat, bukti yang kukuh serta bebas daripada niat jahat terutamanya yang akan mengganggu gugat keharmonian dan ketenteraman awam, tidak terkecuali warga universiti awam.

Pejabat Hal Ehwal Korporat
Universiti Teknologi Malaysia
Johor Bahru, Johor
18 Januari 2020

Explore More