Kegigihan, kepantasan dan gaya kerja kelas pertama 177 sukarelawan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya membantu kejayaan penganjuran Standard Chartered Singapore Marathon (SCSM) 2019 yang berlangsung di The Float @ Marina Bay, Singapura baru-baru ini.
Pasukan sukarelawan UTM menjadi tulang belakang mengendalikan hentian minuman (water station) di beberapa lokasi pada jarak 10km dan 15km laluan SCSM.
Mereka bukan sahaja menguruskan air mineral dan minuman berkarbonat 100 plus yang menaja acara itu malah turut mengedar dan memastikan bekalan penambah tenaga (energy booster) mencukupi sepanjang larian berlangsung.
Ternyata penglibatan mereka dalam acara bertaraf dunia ini juga membuka peluang untuk berkolaborasi bersama pelbagai pasukan sukarelawan lain seperti marshal dan Unit Trafik yang membuat kawalan lalulintas dan keselamatan kepada pelari-pelari pada acara tersebut dengan kekuatan anggota seramai hampir 100 orang.
Memandangkan jarak yang agak hampir, para sukarelawan UTM juga mendapat sahabat baru iaitu pasukan pemuzik dan pemukul drum yang sentiasa mengalunkan irama bagi merangsang pelari berlari lebih pantas, iaitu satu lagi keunikan di SCSM.
Standard Chartered Singapore Marathon 2019 merupakan salah satu acara larian tumpuan dunia yang berjaya menggamit penyertaan lebih 50,000 peserta dari 133 negara. Acara bermula dengan larian kanak-kanak yang dinamakan ‘Kids Dash’ pada Jumaat sebelum acara kemuncak Half Marathon dan Marathon (42km) pada Sabtu,
Antara fakta menarik lain ialah rekod pelari tertua yang menyertai dalam marathon pada tahun 2018 berusia 86 tahun, sementara peserta termuda berusia 4 bulan.
Juara 2018, Joshua Kipkorir dari Kenya berjaya mempertahankan gelarannya dengan catatan masa 2 jam 19 minit dan 13 saat untuk meraih hadiah wang tunai $50,000.00 (US).
Beliau mempimpin larian sejak dari awal lagi untuk menjadi pelari kedua dalam sejarah SSCM yang berjaya mempertahankan gelaran. Rakan senegaranya Priscah Cherono pula menguasai acara wanita dengan masa 2:28:53 yang berjaya memecahkan rekod kejohanan.
Pegawai Penyelaras, Mohd Iskandar Ishak berkata penglibatan sukarelawan UTM ini adalah melalui jemputan rasmi dari World Endurance Malaysia Sdn. Bhd., sebuah badan yang mengendalikan pengurusan sukarelawan di pelbagai acara besar seperti ini. “Paling penting sekali ialah para sukarelawan turut meperolehi pengalaman antarabangsa, kemahiran kerja serta yang paling berharga, kemahiran bekerjasama,” tambah Iskandar lagi.
Salah seorang sukarelawan Samuel Rentap anak Meran berkata sebenarnya secara tidak langsung sebagai sukarelawan, pelajar juga ibarat duta kepada penganjur dan semua yang terlibat.
“Kita sedang membawa suatu persepsi yang baik kepada masyarakat luar melalui akhlak dan mentaliti kerja kami,” ujarnya lagi yang juga merupakan tonggak pasukan ragbi UTM Pirates.
Bagi Goh Sche Hui pula menjadi sukarelawan di SCSM bukan sahaja memberikan kepuasan malah mewujudkan semangat setiakawan.
“Sukar dipercayai bahawa dalam keakraban ini, ada antara kami sebenarnya hanya baharu saling mengenali ketika dalam perjalanan di dalam bas,” tambahnya yang juga Bendahari Kelas Bahasa mandarin UTM.
Para sukarelawan turut menerima sehelai baju, topi rasmi kejohanan, makan minum sepanjang tugasan dan wang tunai RM 100.00.