Disember 19, 2024

JOHOR BAHRU, 22 Okt.  – Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Durrishah Idrus telah mengukir sejarah unik apabila dilantik sebagai Komandan bagi Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) universiti itu.

Dengan perlantikan itu, Prof. Durrishah telah mencatat rekod istimewa sebagai wanita pertama yang dilantik memegang jawatan tersebut di UTM dengan menyandang pangkat Assisten Komissioner Polis (ACP) Kehormat.

Prof. Durrishah berkata bahawa penyertaan mahasiswa dalam aktiviti badan berunifom sedikit sebanyak membantu dalam pembinaan sahsiah dan penerapan elemen-elemen disiplin dalam diri pelajar berkenaan.

“Justeru itu, UTM amat menggalakkan penyertaan yang maksimum mahasiswa dalam setiap badan berunifom yang ada di universiti ini,” katanya.

Menurutnya lagi, perwatakan profesional yang disulami dengan elemen-elemen disiplin yang tinggi sememangnya perlu ada dalam diri setiap mahasiswa yang juga merupakan bakal-bakal pemimpin negara pada masa hadapan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam majlis Sesi Pasukan Beruniform UTM bersama Ketua Polis Johor dan Majlis Penyampaian Sijil Perlantikan Komandan SUKSIS UTM yang berlangsung di Dewan Alumni, kampus Johor Bahru.

Turut hadir adalah Pendaftar UTM, Abdul Razib Hj. Shahuddin dan juga Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (KJPJKK) kontinjen Johor, Senior Assisten Komissioner (SAC) Razimi Ahmad yang mewakili Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din.

Prof. Durrishah berkata sebagai salah sebuah universiti awam yang kini bergelar Universiti Penyelidikan (RU), UTM amat menitikberatkan aspek disiplin di dalam setiap aktiviti pembentukan sahsiah mahasiswa.

“Ini termasuklah di dalam soal pematuhan peraturan universiti sewaktu menganjurkan sebarang aktiviti mahasiswa samada di dalam atau luar kampus.

“Setiap peraturan haruslah dipatuhi dengan sebaiknya. Kegagalan mahasiswa untuk mematuhi peraturan berkenaan akan mengakibatkan mereka dikenakan tindakan tatatertib iaitu digantung ataupun diberhentikan terus dari mengikuti pengajian di UTM,” katanya lagi.

Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi atau ringkasnya Kor SUKSIS ialah sebuah badan beruniform polis bagi mahasiswa di universiti tempatan Malaysia. Mahasiswa yang menyertai Kor SUKSIS akan diberi status kadet dan diwajibkan menjalani tiga tahun latihan di universiti masing-masing sebelum digelar sebagai inspektor Sukarelawan Polis.

Di antara objektif penubuhan pasukan ini adalah melahirkan seorang Pegawai Kor SUKSIS Polis yang berpengetahuan dalam lapangan undang-undang berkaitan, mempunyai sikap serta elemen disiplin (kepolisan) yang sesuai diantara Pasukan Polis dengan IPTA.

“Penyertaan dalam pasukan ini juga memungkinkan individu tersebut memainkan peranan dan tanggungjawab dengan cekap dan berkesan sebagai seorang Pegawai Kor SUKSIS Polis ke arah mengujudkan kesedaran sivik dan hubungan baik polis dengan masyarakat di samping mempunyai ketahanan fizikal, mental serta personaliti bersesuaian dengan peranan sebagai seorang Pegawai Kor Siswa Polis,” katanya lagi.

Prof. Durrishah (kiri) menerima sijil perlantikan sebagai Komandan Kor SUKSIS UTM dari Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (KJPJKK) kontinjen Johor, SAC Razimi Ahmad dalam majlis yang berlangsung di Dewan Alumni, UTM Johor Bahru semalam. Kanan sekali adalah Pendaftar UTM, Abdul Razib Hj. Shahuddin.

Explore More