Disember 24, 2024

Program Libatsama Komuniti Pensyarah dan Pelajar FABU di SM Pendidikan Khas Vokasional Indahpura, Kulai

JOHOR BAHRU, 15 Julai — Sekumpulan pensyarah dan pelajar daripada Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), UTM telah berjaya melaksanakan program bersama komuniti, iaitu Mitigasi Perubahan Iklim Libatsama Komuniti di SMPK Vokasional Indahpura, Kulai, Johor.

Program ini adalah sebahagian daripada Program Matematik Pendidikan Islam Pendidikan Moral Literasi Komputer (MaPIML FIESTA) yang dianjurkan oleh pihak sekolah.

Program ini bertujuan untuk mendedahkan kepada pelajar berkenaan isu pemanasan global dengan menggabungkan pelbagai teknik pembelajaran, iaitu pameran, taklimat ringkas, dan permainan yang berdasarkan kepada punca dan kesan pemanasan global, serta kaedah untuk mengurangkan pemanasan global daripada terus berlaku.

Selain itu, para peserta juga diberikan maklumat berkenaan ilmu falak dan astronomi, terutama berkaitan sistem matahari dan planet-planet sistem suria.

Aktiviti yang pertama adalah pengumpulan maklumat, di mana para peserta akan mengunjungi pameran yang ada, dan mengumpul maklumat daripada pameran itu. Selepas selesai sesi pameran, para peserta kemudiannya diberikan taklimat berkaitan astronomi oleh Dr Othman bin Zainon. Dalam sesi ini juga, peserta diminta untuk membina jam matahari menggunakan peralatan yang disediakan.

Selepas sesi taklimat, aktiviti seterusnya adalah sesi permainan. Sesi ini bertujuan untuk menerangkan beberapa kaedah yang boleh dilaksanakan bagi mengurangkan pemanasan global dalam bentuk permainan. Antara permainan yang dilaksanakan adalah pembinaan kincir angin, dan padanan gambar bagi barang yang boleh dikitar semula.

Semua permainan ini dikaitkan dengan isu semasa berkaitan pemanasan global, dan bagaimana pelajar-pelajar ini mampu menjadi ejen kepada pengurangan kesan kepada pemanasan global.

Program ini telah dilaksanakan bersama sekitar 150 orang pelajar sekolah. Seramai 5 orang pensyarah, diketuai oleh Dr Ainur Zaireen binti Zainuddin bersama 3 staf teknikal dan seorang pelajar daripada FABU telah bersama-sama menjayakan program ini.

Program ini telah dirasmikan penutupannya oleh Penyelaras Program Matematik Pendidikan Islam Pendidikan Moral Literasi Komputer (MaPIML FIESTA) SM Pendidikan Khas Vokasional Indahpura, Kulai, iaitu Puan Sulasteri Hairodin.

Sesi pameran: astronomi
Sesi pameran: alat teleskop
Sesi taklimat perkongsian berkenaan astronomi

Jam matahari yang dihasilkan oleh pelajar
Kincir angin yang dihasilkan oleh pelajar
Peserta mengambil gambar bersama para pensyarah dan guru
Kumpulan pensyarah dari FABU, UTM

Artikel disediakan oleh Dr. Othman bin Zainon, pensyarah kanan Fakulti Alam Bina dan Ukur, UTM

Explore More