JOHOR BAHRU, 22 Jul. — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah menganjurkan program Forum sempena sambutan Hari Ibu Bapa 2019 peringkat Negeri Johor.
Forum yang bertajuk ‘Kita Kan Keluarga : Membina Harapan Malaysia Baru’ ini telah berlangsung di Dewan Jamuan, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, kampus Johor Bahru dan telah disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, YB Liow Chai Tung.
Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Durisshah Idrus, Pengarah LPPKN Negeri Johor, Dr. Azimah Ahmad dan juga Pengarah Pusat Kaunseling UTM Johor Bahru, Dr. Zulfikar Ahmad.
Penyelaras Program, Hjh. Noor Hadayah Ahmad berkata penganjuran program ini adalah bagi menyahut seruan kerajaan supaya hari ibubapa diadakan secara serentak pada hari yang sama.
“Bermula Mei 2018, kerajaan telah pun mengeluarkan saranan supaya hari ibu dan bapa disambut secara serentak berbanding sambutan secara berasingan sebelum ini.
“Bagi menyahut saranan ini, kami telah pun mengambil inisiatif dengan menganjurkan program ini bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Ibu Bapa 2019 ini,” katanya.
Menurut Noor Hadayah lagi, di samping menyahut seruan kerajaan, penganjuran program ini juga adalah bertujuan bagi memperkasakan jaringan kerjasama antara UTM dan pelbagai agensi kerajaan yang lain.
“Penganjuran program ini juga mampu untuk memasyarakatkan universiti di samping mempelbagaikan fungsinya selaku tempat menimba ilmu dan juga sebagai pembina tamadun bangsa,” katanya lagi.
Sebanyak 10 buah gerai dan booth pameran telah dibuka bagi memberikan khidmat nasihat dan juga penerangan kepada para pengunjung di samping menjual pelbagai makanan ringan keluaran usahawan tempatan.
Antara agensi yang menyertai sesi pameran ini adalah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT), Pusat Kaunseling UTM, Jabatan Pembangunan Wanita dan juga LPPKN.