Disember 27, 2024

34 Peserta Rebut Peluang Wakil Malaysia ke Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2019

Kuala Lumpur, 28 Jul.  — Seramai 34 orang peserta pidato daripada 21 Universiti Awam (UA), 4 Politeknik, 5 Institut Pendidikan Guru (IPG), dan 3 IPTS telah menyertai sesi Pemilihan Wakil Malaysia ke Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2019 yang bertempat di The Royal Widad Residence @ Residensi UTM Kuala Lumpur.

Pemilihan Wakil Malaysia ke PABM Piala Perdana Menteri 2019 ini adalah untuk memilih wakil Malaysia ke Pertandingan Akhir PABM 2019 yang akan diadakan pada 22 hingga 28 September 2019 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Penganjuran PABM 2019 dengan kerjasama Universiti Awam pada tahun ini membuktikan kebersamaan keluarga besar KPM dalam menganjurkan program bertaraf antarabangsa.

Menurut Pengarah Bahagian Pembangunan Mahasiswa Holistik, Dr. Zaid bin Omar, inisiatif Kementerian melalui penganjuran PABM adalah untuk mendaulatkan dan mengantarabangsakan bahasa Melayu wajar mendapat pengiktirafan.

PABM 2019 ini wajar dijadikan gelanggang wacana ilmiah bagi menyatukan generasi muda dalam kalangan peserta pelbagai latar belakang negara, budaya dan agama. Usaha serta keupayaan peserta menguasai bahasa Melayu dengan baik harus dipuji. Mereka bukan sahaja dinilai dari segi kemahiran berbahasa Melayu tetapi juga melalui penyaluran idea dan pemikiran kritis mengikut tema yang diberikan.

Pertandingan PABM tahun ini dan mendatang akan terus menjadi kebanggaan Malaysia dengan sokongan padu dari semua pihak sebagai salah satu usaha memartabatkan bahasa Melayu di peringkat global.

Pada sesi akhir pemilihan, peserta dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) saudara Iskandar Zulkarnain bin Ramli telah dipilih sebagai johan dan naib johan di sandang oleh peserta dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), saudara Amirul Iqmal bin Razlan. Ke dua-dua peserta tersebut akan mewakili Malaysia di Pertandingan Akhir PABM 2019 di UPSI.

Explore More