Disember 23, 2024

 

Ketibaan Datuk Naib Canselor disambut oleh Panglima-panglima HEP

Selari dengan hasrat Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk merealisasikan agenda kelestarian dan menyantuni inisiatif Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) menerusi pengisytiharan Kampus Tanpa Plastik Sekali Guna (No Single-Use Plastic), semua staf Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan semua tetamu jemputan menunjukkan komitmen tinggi membawa bekas makanan dan alatan makanan masing-masing semasa Majlis Sambutan Hari Raya HEP baru-baru ini.

Satay antara juadah tumpuan

Timbalan Naib Canselor HEP UTM, Prof Dr Durrishah Idrus berkata, lanjutan dari kejayaan larangan penggunaan plastik sekali guna dalam Majlis Sambutan Hari Raya peringkat universiti baru-baru ini, pihak HEP mengambil langkah yang sama dengan beberapa penambahbaikan bukan hanya tiada plastik sekali guna malah tiada sisa dihasilkan selepas selesai program.

“Kesemua penggerai dan pengunjung juga tidak dibenarkan membawa bekas makanan, minuman, sudu dan garfu berasaskan plastik sekali guna,” tambahnya lagi yang turut bermurah hati menyampaikan duit raya kepada staf HEP dan juga para pelajar yang hadir.

Menurut Timbalan Pendaftar Kanan HEP, Tuan Hj Dahari Hj. Derani, HEP menyahut baik seruan kerajaan ke arah persekitaran yang lebih bersih dan sihat menjelang 2030.

“Merujuk kepada statistik yang diperoleh daripada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) pada 14 Julai 2017 menerusi Laporan Survey on Solid Waste Composition, Characteristic and Existing Practice of Solid Waste Recycling in Malaysia yang dijalankan pada 2012, jumlah populasi penduduk Malaysia sebanyak 32 juta orang manakala faktor janaan sisa bagi setiap penduduk adalah sebanyak 1.17 kilogram (kg) seorang sehari,” kata beliau.

Ahmad Najahalhayyi Zulkifli dinobatkan pemenang pakaian tercantik kategori lelaki manakala kategori wanita dimenangi oleh Zaidah Yasin.

Bagi staf HEP, Abd. Hamid Dahar pula selain mengelakkan pencemaran, inisiatif tanpa palstik sekali guna ini juga menghindarkan wabak penyakit bawaan seperti denggi dan malaria.

Pelbagai juadah raya disediakan antaranya ketupat, lemang, mee rebus, kuih muih dan paling istimewa sup kambing yang disumbangkan oleh Majlis Pengetua Kolej Kediaman serta beberapa acara menarik turut diadakan sepanjang majlis tersebut antaranya Teka Lagu Raya, Cabutan Bertuah dan Pakaian Tercantik.

Pegawai khas TNC (HEP), Ahmad Najahalhayyi Zulkifli yang menggayakan pakaian ala pahlawan melayu lengkap bertanjak dan keris dinobatkan pemenang pakaian tercantik kategori lelaki manakala kategori wanita dimenangi oleh Zaidah Yasin.

Jelas sekali tema tanpa plastik sekali guna ini berjaya mengubah minda warga HEP dalam mengelakkan sisa sampah yang akhirnya mengakibatkan pihak universiti terpaksa menanggung kos yang tinggi bagi melupuskan sisa sampah dan menjadi punca kepada masalah pencemaran plastik selain memupuk identiti Universiti Bersih, Lestari dan Proaktif.

Barisan Pengetua bersama TNC (HEP)

Turut hadir memeriahkan majlis tersebut Naib Canselor, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Pengantarabangsaan), Prof. Ir. Dr. Zainuddin Abdul Manan, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Azlan Ab. Rahman, Pro Naib Canselor, Pro Naib Canselor (Strategi), Prof. Dr. Shahrin Mohammad, Pendaftar UTM, Abdul Razib Hj. Shahuddin, wakil fakulti/sekolah, pelajar-pelajar UTM dan para penasihat kelab dan persatuan.

Explore More